Home Web Specials 2015 Web Specials Biarkan mahasiswa bersayap

Biarkan mahasiswa bersayap

FILE PHOTO

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Mahasiswa harus diberikan kebebasan berfikir dan bersuara, kata Mustafa K Anuar.

Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini dengan gembiranya mendakwa pilihanraya kampus baru-baru ini, yang menampakkan kemenangan besar pro-Aspirasi, menunjukkan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan kuat daripada golongan mahasiswa pro-pemerintah itu.

Namun begitu, ada dalam kalangan mahasiswa, termasuk pemimpin pro-Aspirasi, yang menyangkal dakwaan Najib itu. Ini kerana mereka mengatakan kemenangan pro-Aspirasi adalah disebabkan faktor lain, iaitu manifesto mereka yang prihatin terhadap pembangunan dan perkembangan dalam universiti, dan oleh itu sokongan pelajar adalah berdasarkan manifesto ini, bukan kerana menyokong pemerintah.

Nampaknya ada perbezaan pendapat dalam kalangan mereka yang sepatutnya memberi sokongan padu kepada kemimpinan BN. Jika inilah realitinya di saat ini, maka ini adalah satu perkembangan yang boleh dianggap agak positif. Ini kerana sudah seharusnya budaya politik dalam kampus menghargai, malah menggalakkan, perbezaan pendapat dan pendirian bebas.

Dalam konteks universiti yang sepatutnya menggalakkan percambahan idea dan pertembungan pandangan, mahasiswa harus diberikan “sayap”nya untuk membebaskan diri dari kongkongan feudal, kolot, nyahkritis dan konservatif, dan lantas “berterbangan” mencari dan mencakup idea dari pelbagai sisi dengan hati yang terbuka. Ini boleh berlaku dalam ruang politik mahasiswa mahupun ruang akademik mereka.

Secara idealnya, universiti seharusnya menjadi wadah bagi idealisme mahasiswa berkembang dan idea pelbagai jalur cuba menggoda dan memikat mereka. Malah, universitilah sepatutnya menjadi tempat di mana kebebasan bersuara disanjung tinggi kerana ia merupakan tempat berhujah, bertelagah dan bergeser pandangan dalam usaha mencapai kebenaran dan ilmu yang boleh dimanfaatkan manusia.

Kebebasan bersuara juga dihargai dalam kerangka kebebasan akademik yang sangat diperlukan oleh warga akademik dalam tugas mereka menimba ilmu dan kebenaran. Malah, mereka perlu menongkah arus ketika dihambat kepentingan intelektual untuk mempertikai konvensyen yang sedia ada. Hanya melalui cara ini maka idea baru dapat berputik.

Kita juga jangan lupa bahawa kebebasan bersuara — dan juga kebebasan akademik — adalah juga sebahagian dari apa yang dimaksudkan demokrasi. Malah, kegiatan ahli akademik dan juga mahasiswa dijangka berperanan penting dalam mengembangkan lagi proses demokrasi dalam masyarakat kita melalui soal-jawab, dialog, wacana intelektual dan demonstrasi yang mereka lalui.

READ MORE:  Are restrictions on pro-Palestine speech 'the new McCarthyism'?

Idealisme lazimnya membara dalam sanubari anak muda, khususnya mahasiswa. Ini kerana mereka menginginkan sesuatu yang terbaik bukan saja untuk diri mereka malah, lebih penting lagi, masyarakat di mana mereka bertapak. Apa yang tempang perlu diperbetulkan.

Dalam konteks ini, kegelisahan mahasiswa harus ditangani khususnya oleh pihak universiti dengan cara yang lebih positif dan rasional. Misalnya, mahasiswa boleh dibawa oleh pentadbir untuk berdialog, berunding dan berdebat atas persoalan atau isu kampus mahupun masyarakat yang menghantui minda mereka. Selalunya kegelisahan ini berpaksikan idealisme mereka.

Keresahan mahasiswa boleh digembelingkan untuk menjana idea dan inisiatif yang membina modal insan dan juga menggiatkan wacana intelektual yang amat diperlukan oleh warga kampus. Jika diberikan ruang secukupnya, mahasiswa berkeupayaan mengurus keperluan inteleknya sematang yang mungkin dalam menyahut cabaran akademik, sosial, budaya dan politik mereka. Pendek kata, mereka diibaratkan permata kasar yang hanya perlu digilap.

Ada beberapa aktiviti bercorak akademik, intelektual, sosial dan siasah yang dikendalikan oleh sebilangan mahasiswa yang membayangkan keinginan mendadak bagi mereka menjayakan kegiatan tanpa bergantung kepada bantuan, jika ada, yang banyak dari pihak tertentu seperti Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Malangnya, sesetengah aktiviti ini mendapat tentangan atau rintangan dari pihak universiti.

Sebagai contoh, sekelompok warga kampus tidak berpuas hati dengan apa yang disajikan oleh sebuah akhbar makmal, iaitu Berita Kampus (BK), di Universiti Sains Malaysia pada sekitar awal 2000an. Maka di sinilah menjelma Berita Kampus Alternatif (BKA), sebuah akhbar bawah tanah. Walaupun sehingga hari ini tidak diketahui siapa sebenarnya menerajui akhbar alternatif ini, kebanyakan isu yang diketengahkan oleh penerbitan ini membuat kita mengesyaki bahawa mahasiswalah yang terlibat dalam hal ini.

READ MORE:  Sedition charge against Mahiaddin is repugnant to freedom of speech

Isu yang dikemukakan oleh BKA rata-rata hal yang berkaitan dengan mahasiswa seperti pengangkutan dalam kampus dan masalah akademik. Namun, wacana yang diketengahkan bersifat sofistikated dan sudah tentunya mencabar minda mahasiswa dan ahli akademik serta pentadbir. Dalam banyak hal, BKA mengisi vakum atau kekurangan yang ada pada BK; selain dari itu, pandangan atau berita yang diketengahkan oleh BK mendapat respons kritikal daripada BKA.

Lagipun, BKA menunjukkan apa yang dianggap perkara yang “sensitif” dalam kampus sebenarnya hal yang boleh dan perlu dikupas dengan nada yang cerdik.

Dalam kerangka kebebasan akademik, kampus seharusnya mempunyai lebih daripada sebuah akhbar kampus yang boleh menampung keperluan pandangan pelbagai jalur. Persatuan mahasiswa dan kelab lain, misalnya, boleh menerbitkan akhbar untuk tatapan ahli mereka dan warga kampus lain. Keadaan sebegini sudah tentunya boleh mendatangkan manfaat kepada mahasiswa yang didedahkan kepada pelbagai sudut pandangan.

Sekumpulan mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia, misalnya, pada satu ketika dahulu telah mendirikan laman blog bernama Diskopi (singkatan kepada Diskusi Santai Kopi) yang bertujuan menjana perbincangan idea dan isu yang dirasakan penting untuk dirungkai. Kematangan mahasiswa dalam kebanyakan wacana yang dimajukan dalam blog ini amat menyerlah.

Begitu juga halnya dengan kelompok mahasiswa di beberapa kampus di Malaysia yang dari masa ke semasa mengadakan diskusi artikel dan pembedahan bab atau buku bagi membudayakan ilmu dalam kalangan mahasiswa. Kumpulan ini juga merupakan “kuasa ketiga” (third force) kepada golongan pro-Aspirasi dan pro-Mahasiswa yang cuba bersikap bebas dari hambatan ideologi kepartian.

Seperti yang dinyatakan di atas, perbezaan pandangan dalam kampus dan percambahan idea perlu digalakkan untuk menjadi pemangkin kepada daya intelek mahasiswa dan juga untuk memberi kerelevanan apa yang diperoleh dalam kuliah dengan realiti sosial di luar kampus. Ini juga membuat mahasiswa prihatin dan peka terhadap cabaran dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat luar.

READ MORE:  Are restrictions on pro-Palestine speech 'the new McCarthyism'?

Dalam hal ini, kehadiran penceramah di kampus dari pelbagai ideologi dan sudut pandangan boleh memeriahkan lagi aktiviti intelektual para mahasiswa. Bagi keperluan mahasiswa, tidak cukup dengan sekadar mendengar ceramah dari satu pihak atau satu sisi saja, iaitu pihak atau pandangan yang hanya direstui pentadbir universiti. Ini kerana ia adalah sebahagian daripada proses mahasiswa mencari-cari kepastian dalam kehidupan intelektual mereka.

Oleh itu adalah mengaibkan dan anti-intelektual bila si pentadbir universiti sewenang-wenangnya menggunakan kuasa dan peraturan universiti untuk “mengawal” kegelisahan mahasiswa ini. Tindakan keras sering digunakan terhadap mahasiswa yang dianggap “rebellious” dan kritikal.

Maka terjadilah, misalnya, kuasa elektrik terganggu dengan tiba-tiba dengan ketibaan penceramah yang diundang oleh mahasiswa yang kononnya tidak selari dengan falsafah universiti berkenaan. Amatlah malang peranan yang sepatutnya dimainkan oleh universiti dalam menyediakan wadah kepada pelbagai wacana intelektual terpaksa diambil alih oleh pihak luar kampus seperti pertubuhan bukan pemerintah (NGO), badan penyelidikan dan lain-lain.

Akibatnya ialah perdebatan dan forum yang dianjurkan oleh universiti menjadi hambar kerana tiada penceramah dijemput yang berlawanan pandangan dengan panelis jemputan yang bersifat pro-pemerintah di atas pentas.

Ahli akademik yang juga berperanan sebagai birokrat universiti perlu sedar bahawa mereka jangan mudah terikut-ikut perangai politikus pemerintah yang rata-rata bersifat anti-intelektual melalui arahan mereka untuk melarang itu dan ini – tanpa bersedia untuk berdialog dan berdebat dengan rakyat. Yang menyedihkan, ada pula si pentadbir yang bersifat lebih sudu dari kuah.

Mahasiswa harus diberikan kebebasan berfikir dan bersuara hingga ke penghujung hayat akademiknya di kampus – walaupun dia berkeputusan akhirnya untuk bersayap kanan. Ini asalkan kekananannya (atau kekiriannya) tidak menggunakan kekerasan dan keganasan walaupun sekecil menampar muka orang.

Source: themalaymailonline

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x