Pihak berkuasa agama adalah tertakluk kepada peruntukan kebebasan memberi pandangan malah Islam amat tegas dalam isu ini dalam prinsip “Tiada paksaan dalam agama”, ujar Mujahid Yusof Rawa.
Sayugia diingatkan bahawa Tamaddun Islam yang gemilang dibangunkan di atas wadah kebebasan kegiatan aktivisme intelektual yang vibran dan sihat sehingga melahirkan pemikir-pemikir ikonik seperti Ibn Sina, Al-Farabi, Ibn Rushd dan sebagainya.
Kebanggaan umat terhadap lmam-lmam mazahib juga lahir dari suasana (biah) wacana ilmu atau ‘intellectual discourse’ yang bukan sahaja mengiktiraf bahkan meraikan perbezaan serentak penajaman dan perkembangan daya intelek umat. Sebaliknya sejarah menyaksikan umat mula mundur keupayaan inteleknya apabila penguasa menyekat kegiatan ilmiah dan menghalang kebangunan intelektualisme seperti itu.
Dengan berlatarkan naratif itu, penahanan Mustafa Akyol seorang penulis dan pemikir dari Turki baru-baru ini adalah amat dikesali. Walaupun beliau dibebaskan kemudian, namun kesan penahanan terhadap kebebasan bersuara di negara ini terus meninggalkan persepsi buruk sekaligus merobek kepercayaan status Malaysia selaku negara majoriti Muslim yang “moderate” di kacamata masyarakat antarabangsa.
Tidak cukup dengan itu, penganjur dari IRF yang diketuai oleh Dr Farouk Musa pula disoal-siasat oleh Jawi dan akan dihadapkan ke mahkamah pada 4 Disember ini. Isu yang dibangkitkan oleh pihak Jawi ialah tentang kebebasan beragama di mana sebelum ini siri wacana tajuk ini telahpun dibahaskan. Juga perlu dibezakan kaedah berwacana dari pendekatan mengajar secara kuliah agama.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Amanah merasa kesal isu kebebasan bersuara atas nama wacana intelektual disekat. Pastinya pada sifat kegiatan intelektualisme ia akan terdedah kepada pelbagai pandangan yang saling bersaing dan mungkin juga saling bersilang termasuklah isu kebebasan beragama.
Pun begitu, kedudukan kebebasan beragama sudahpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perkara 3 dan 11. Lalu mewacanakan secara ilmiah tajuk atau maudhu’ ini bagi menekuni posisi pelbagai pandangan termasuk padangan aliran pemikiran kontemporari nisbah pandangan ulama silam dan dari kitab Turaath, tentunya akan memperkayakan khazanah kefahaman umat dewasa ini.
Pihak berkuasa agama juga adalah tertakluk kepada peruntukan kebebasan memberi pandangan malah Islam amat tegas dalam isu ini dalam prinsip “Tiada paksaan dalam agama”. Ia mempertahankan kebebasan beragama dan bukan menggalakkan murtad. Ia memelihara asas dan prinsip Syariah supaya orang ramai menilai ‘Rahmat Islam’ terlaksana melalui dialog, wacana ilmiah dan perdebatan sihat.
Justeru, Amanah menyeru semua pihak agar memelihara keutuhan asas-asas dan sendi-sendi utama negara-bangsa ini, yang antara lainnya menjamin kebebasan individu dan kebebasan berkumpulan bagi mencapai maksud dan tujuan yang murni dan sihat. Setiap tindakan atas apa pun alasan yang tidak munasabah, tidak boleh sewenang-wenang menjejaskan dan menafikan hak dan peruntukan yang telah sedia diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa ialah naib presiden Amanah dan ahli Parlimen Parit Buntar.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme