Dengan kebangkitan komuniti celik dan mahir internet serta populariti media sosial, larangan terhadap sebarang sebaran maklumat sudah tidak berkesan lagi, ujar Syerleena Abdul Rashid.
Dari semasa ke semasa, kerajaan Malaysia melalui golongan tertentu, sering kali mengambil sikap menentang apa saja penulisan atau bahan-bahan bacaan umum yang didakwanya sebagai lucah, berbahaya atau menggugat kesejahteraan rakyat.
Malahan kita sering menyaksikan betapa pihak berkuasa sanggup bertindak secara tidak rasional dengan mengharamkan karya sastera yang dianggapkannya tidak sesuai untuk rakyat.
Bukan sekadar itu saja malahan setengah-setengah perkataan seperti bir, babi, liberalisme, pluralisme, Marxisme atau bahagian tertentu anatomi manusia adalah dianggap “sensitif” sehingga ada antaranya dilarang penggunaannya.
Segalanya ini tidak lain hanyalah suatu bentuk eskapisme, iaitu satu cara mudah bagi pihak berkuasa menangani isu-isu yang kompleks atau subjektif.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Langkah dan tindakan seperti ini secara tidak langsung merupakan pendekatan untuk melaksanakan bentuk piawaian moral ke atas rakyat seperti yang dikehendaki pihak berkuasa.
Pada umunya, pihak berkuasa negeri menganggap diri mereka sebagai pengawal moral. Amat ketara dan jelas sekali dengan tanggapan berdasarkan kewajaran itu, mereka bertindak menentang apa saja yang mereka anggap sebagai “ancaman” – haram, tidak bermoral, isu-isu dianggap sensitif dan lain-lain yang mereka anggap sendiri boleh mempengaruhi dan menggugat sokongan terhadap mereka.
Malahan sekalipun dakwaan mereka itu tidak berasas, tidak benar berdasarkan fakta saintifik, ataupun berdasarkan bukti sejarah, namun mereka tegak meluru mengikut tafsiran mereka.
Kontroversi soal penapisan dan polemik tentang kebebasan bersuara bukanlah fenomena baru, malahan ini merupakan isu yang diperkatakan sejak dahulu dan terus berlegar sehingga kini.
Menghukum rakyat hanya kerana melahirkan pendapat secara ikhlas dan jujur yang tidak sealiran dengan elit pemerintah haruslah dihentikan kerana ia ternyata bercanggah dengan prinsip demokrasi yang termaktub dalam sistem perlembagaan kita.
Isu seumpama ini bukan saja sukar untuk dijustifikasikan, malah ia juga sensitif untuk dibicarakan kerana ia menyentuh persoalan membabitkan moral awam dan isu keagamaan.
Ia merupakan suatu strategi mengawal minda awam yang dikawal pihak berkuasa yang barangkali mungkin ada agenda tersendiri apabila memperkenalkan polisi-polisi sedemikian.
Kita tidak perlu berasa takut kerana berani mengkritik polisi yang ternyata mendiskriminasikan rakyat dan menyuarakan ketidakadilan, tidak sama sekali bermakna kurangnya semangat patriotisme dan martabat kita sebagai rakyat setia Malaysia.
Kita hanya menyoal golongan pemerintah bangsawan, di mana letaknya nilai-nilai demokrasi?
Kebebasan bersuara memang boleh dilihat atau dinilai sama ada sebagai sumbangan kepada pembangunan manusia atau kemudaratan manusia tetapi ia bergantung bagaimana kita mengukur dan menilainya.
Dalam perkara subjektif tiada penilaian yang mutlak. Walau apa sekali pun langkah kawalan, kalau hendak diadakan juga, hendaklah minima.
Sekiranya penapisan dan kawalan hendak dilaksanakan demi kebaikan rakyat – atas alasan rakyat lemah akidah, lemah pendirian, menggugat ketenteraman awam serta mudah dipengaruhi anasir subversif, tidak bertanggungjawab dan kelompok-kelompok ekstremis – hanya untuk memenuhi agenda pihak berkepentingan, maka dasar sedemikian perlu difikirkan secara yang lebih rasional.
Dalam era globalisasi kini, dengan kebangkitan komuniti celik dan mahir internet serta populariti media sosial, kita harus fahami sekatan, larangan dan tegahan terhadap sebarang sebaran maklumat dan berita sudah tidak berkesan lagi, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan percambahan intelektualisme dan wacana logik moral.
Source: The Malaysian Insider
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme