Home Web Specials 2016 Web Specials Ke mana hilangnya semangat ukhuwah Pakatan Harapan?

Ke mana hilangnya semangat ukhuwah Pakatan Harapan?

Photograph: themalaysianinsider.com

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Perjuangan tidak akan mencapai matlamatnya sekiranya anak muda masih terikut-ikut dengan politik lama dan enggan memeluk idealisme politik baru, ujar Vince Tan.

Pimpinan DAP dan PKR patut berasa malu dengan cara mereka menangani perbezaan pendapat dalam isu pilihan raya negeri Pulau Pinang. Walaupun kedua-dua parti berdiri di landasan yang sama dan juga berdiri sama tinggi. Kegagalan mereka untuk menangani isu ini dengan baik telah menyebabkan tercetusnya perbalahan di kalangan pimpinan dan akar umbi masing-masing.

Saya masih ingat apabila Pakatan Rakyat ditubuhkan pada tahun 2008 rakyat Malaysia seumpama telah diberikan peluang untuk menekan butang “reset” untuk negara ini. Butang reset ini penting untuk menghapuskan masalah rasuah, salah guna kuasa, ekonomi yang tidak menentu dan ketegangan agama dan kaum.

Anak muda macam saya berasa teruja dengan masa depan negara ini walaupun hanya belajar di sekolah menengah pada waktu itu. Selepas menjejak kaki ke menara gading, saya pula berkecimpung dalam aktivisme mahasiswa dan mula bekerjasama dengan parti politik khususnya DAP dan PKR.

Oleh sebab aktiviti kami yang sering melibatkan demonstrasi jalan raya, maka tidak hairanlah untuk kami bermalam di lokap. Peguam-peguam yang datang tolong kami juga dari DAP atau PKR.

Kami ditahan pada 1 Ogos 2015 di pasar raya Sogo sebab menganjurkan demonstrasi #TangkapNajib sempena skandal 1MDB yang baru meletup. Turut ditahan bersama saya adalah aktivis-aktivis daripada kumpulan anak muda Demi Malaysia yang dipimpin oleh Adam Adli.

Kami disiasat dibawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan, yang mengatakan bahawa kami melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen. Saya berasa hairan kerana sejak bila melaksanakan hak untuk berhimpun yang dijamin dibawah Artikel 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan boleh dikatakan sebagai melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Saya masih ingat peguam-peguam kita yang datang untuk membantu kita semasa prosiding reman. Ada dalam kalangan mereka merupakan pimpinan DAP dan PKR masing-masing. Gobind Singh Deo, Lim Lip Eng dan Thomas Su merupakan Ahli Parlimen DAP sedangkan Sivamalar Genapathy dan Melissa Sasidaran merupakan pemimpin wanita dan anak muda dalam PKR.

Saya juga tidak melupakan peguam-peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK): Cyrus Tiu, Rajsurian Pillai, Dinesh Munthal dan John Das. Begitu juga dengan peguam-peguam dari NGO masyarakat sivil seperti Dato Ambiga Sreenevasan dan Eric Paulsen. Mereka semua bekerjasama untuk kepentingan yang sama iaitu untuk tegakkan keadilan dan mempertahankan demokrasi.

Saya menceritakan semua ini kerana saya percaya bahawa sebagai manusia kita perlulah tahu mengenang budi dan jasa orang yang pernah tolong kita dan saya percaya kebersamaan ini pada waktu susah lebih kuat daripada faktor-faktor yang memecahbelahkan kita.

Setahun berlalu dengan sekelip mata dan saya kini melangkah keluar ke dunia pekerjaan. Tetapi idealisme dan semangat saya tetap kuat dan ingin melihat perubahan di tanah air yang tercinta ini. Namun banyak benda telah berubah belakangan ini.

Pakatan Rakyat kini berkubur tanpa batu nisan manakala gabungan baru Pakatan Harapan dengan parti Amanah masih kurang menyakinkan rakyat jelata bahawa perubahan kerajaan pusat akan berlaku dalam masa yang terdekat. Soalan yang sering ditanya adalah ke mana hala tuju kita ataupun Quo Vadis dalam bahasa latin.

Parti-parti pembangkang dah mula tunjuk kelemahan dalam pentadbiran masing-masing dan sering terlibat dalam perebutan kerusi, perbalahan sesama pimpinan parti dan juga serangan peribadi antara pimpinan parti-parti pembangkang.

Keadaan ini tidak dibantu dengan pemenjaraan Dato Seri Anwar Ibrahim, dan kini Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga berdepan dengan pendakwaan di mahkamah. Isu yang paling hangat di Pulau Pinang adalah spekulasi pilihan raya mengejut dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang.

Isu pilihan raya mengejut ini mendapat liputan media dengan komen-komen pimpinan DAP and PKR dengan kritikan dan tuduhan yang dilemparkan antara satu sama lain.

Isu ini, pada pandangan saya, sekiranya DAP bertegas hendak menjalankan pilihan raya mengejut hendaklah mendapatkan kebenaran rakan-rakan daripada parti PKR dan Amanah. Keputusan ini melibatkan semua pihak dan berdasarkan prinsip setia kawan dan solidariti.

Jikalau salah satu parti membantah keputusan tersebut, pilihan raya mengejut ini tidak haruslah diteruskan. Sekiranya DAP masih dengan egonya untuk meneruskan hasrat mereka tanpa persetujuan PKR dan Amanah maksudnya DAP tidaklah banyak berbeza daripada Umno.

Malang sekali, pimpinan DAP dan PKR membawa perbezaan pendapat mereka ke ruang awam dan beraksikan satu pertunjukan yang tidak senang dilihat oleh orang awam khususnya penyokong masing-masing.

Keadaan bertambah teruk apabila macai-macai parti masing-masing ambil peluang ini untuk membodek pimpinan masing-masing dengan menyokong pendirian parti mereka. Macai-macai ini kemudian menyerang antara satu sama lain di media sosial.

Tindakan mereka langsung tidak mencerminkan semangat ukhuwah yang ditonjolkan masing-masing pada tahun 2008 dan 2013 semasa pilihan raya umum.

Saya mengakui bahawa kini setiap parti dalam Pakatan Harapan mempunyai kepentingan masing-masing dari segi perebutan kerusi, jawatan kerajaan negeri dan berlumba-lumba mengejar habuan dalam bidang politik.

Setiap kritikan yang pernah dilontarkan oleh mereka terhadap Umno dan Barisan Nasional kini boleh digunakan balik terhadap mereka. Dan di mulut rakyat jelata dah mula kami mendengar kata-kata bahawa Pakatan Harapan tiada banyak perbezaan dengan Barisan Nasional.

Yang menghairkan saya adalah ke mana perginya suara anak muda dalam parti-parti pembangkang yang selalunya menjadi suara hati nurani.

Anak muda parti pembangkang dilihat menyokong sebulat-bulatnya keputusan orang tua dalam parti. Mungkin cara terbaik untuk mendapat dedak daripada parti adalah menjadi Pak Turut dalam parti. Tetapi lama kelamaannya kita akan melihat kesan buruk yang bakal datang ke parti tersebut.

Budaya tanggungjawab kolektif dalam politik adalah untuk mewujudkan kebersamaan dalam tindakan dan bukannya budaya Pak Turut semata-mata.

Sekiranya kita mengikut jejak langkah ahli Umno dan Barisan Nasional yang membuta tuli menyokong pimpinan yang melakukan kesalahan, maka kita sememangnya tiada perbezaan dengan mereka yang kita mengutuk.

Dah tibanya pimpinan DAP dan PKR perlu mengakui bahawa mereka tidak akan menang pilihan raya umum yang ke-14. Mereka perlu mengakui banyak kesilapan telah dilakukan dalam pentadbiran mereka sepanjang pilihan raya umum yang lepas hingga sekarang.

Dan selepas berani mengakui kesilapan tersebut, bolehlah mereka memperbaiki kelemahan masing-masing dan kembali ke pangkal jalan.

Saya menyeru anak muda dalam parti-parti pembangkang melaksanakan peranan tradisi masing-masing sebagai suara imbang kuasa dan bersuara terhadap pimpinan parti masing-masing yang telah membawa kita ke mana kita telah berada pada hari ini. Masa untuk menjadi lena dan leka dah berakhir.

Ketahui lah bahawa selepas pemenjaraan dan pendakwaan terhadap pimpinan masing-masing akan meninggalkan satu vakum atau ruang kosong yang perlu diisi untuk meneruskan perjuangan masing-masing. Tetapi perjuangan tersebut tidak akan mencapai matlamatnya sekiranya anak muda masih terikut-ikut dengan politik lama dan enggan memeluk idealisme politik baru.

Penulis merupakan Ahli Jawatankuasa DAP Cabang Medan Maktab dan merupakan bekas aktivis mahasiswa di Universiti Malaya.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Lee Thim Fatt
4 Aug 2016 10.25am

Get rid of pas first. It’s a weapon use by bn.

1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x