Kebanyakan projek yang dilaksanakan mereka tidak menepati ciri-ciri dan kehendak rakyat, tambahan pula lokasi projek-projeknya adalah tidak sesuai, ujar WH Cheng.
Apa yang sudah terjadi pada kemudahan perumahan di negara kita?
Harga rumah kini telah melambung dengan begitu tinggi sekali sehinggakan rakyat yang berpendapatan sederhana dan ke bawah sudah tidak mampu lagi untuk memiliki sesebuah rumah untuk keluarga mereka.
Ada pelbagai jabatan kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan pemaju swasta yang menguruskan perumahan. Di sebelah kerajaan, ada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Jabatan Perumahan Negara; Syarikat Perumahan Negara; perbadanan kemajuan negeri-negeri; lembaga-lembaga kemajuan wilayah dan kini timbul pula Perbadanan PR1MA Malaysia.
Jadi, apakah kesudahannya dengan kewujudan kesemua badan-badan kerajaan dan separa kerajaan yang menguruskan pelbagai bentuk skim perumahan agar ianya “mampu dimiliki” rakyat? Adakah kerajaan pusat berjaya mengawal harga rumah agar ianya tidak melambung begitu tinggi?
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Hakikatnya adalah kebanyakan langkah-langkah yang diambil kerajaan pusat khususnya PR1MA ternyata gagal sama sekali oleh kerana kebanyakan projek yang dilaksanakan mereka tidak menepati ciri-ciri dan kehendak rakyat, tambahan pula lokasi projek-projeknya adalah tidak sesuai serta terlalu jauh dari kawasan-kawasan strategik.
Selain daripada itu, pertindihan fungsi-fungsi di kalangan banyak jabatan-jabatan dan agensi-agensi yang menguruskan skim perumahan juga telah menyulitkan lagi penyelidikan, perancangan dan perangkaan skim perumahan yang sepatutnya dapat meringankan bebanan rakyat jelata.
Tambahan pula, campurtangan politik yang berlebihan juga telah memburukkan lagi keadaan apabila pihak tertentu yang berkuasa dan berpengaruh dipercayai sering mengambil kesempatan daripada keadaan itu untuk mengaut keuntungan daripada skim tersebut.
Apabila rakyat mengeluh mengenai kenaikan harga pasaran rumah yang mendadak yang mengakibatkan ketidakmampuan mereka untuk memiliki sesebuah rumah, para pemimpin Umno cuba bermain politik dan mengalihkan kesemua perhatian rakyat terhadap negeri-negeri Pulau Pinang dan Selangor kononnya kedua-dua kerajaan negeri tersebut telah gagal menyediakan kemudahan rumah mampu milik untuk rakyat jelata, khususnya untuk masyarakat Melayu.
Persoalannya adalah, kenapa Umno asyik menumpukan serangan mereka terhadap kedua-dua negeri Pulau Pinang dan Selangor sahaja tersebut apabila timbulnya keluhan mengenai harga rumah yang mendadak? Hakikatnya adalah, masalah rumah mampu milik ini terdapat di semua negeri, termasuk di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Umno tidak perlu bermain politik perkauman di dalam hal tersebut, kerana kita telahpun masak dengan kepelbagaian taktik parti tersebut yang sungguh keji – suka melibatkan agama dan kaum walau apajua tajuk yang dibangkitkan.
Tindakan para pemimpin Umno tersebut bukannya mencari penyelesaian, sebaliknya lebih bertumpukan kepada menaruh perasaan benci dan syak wasangka di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Sekali lagi kita perlu tekankan, masalah perumahan ini adalah bukannya masalah satu kaum dan agama yang tertentu. Ianya adalah masalah sebilangan besar rakyat Malaysia. Ianya adalah masalah negara. Ianya disebabkan oleh harga pasaran yang melonjak dengan begitu tinggi. Kenapa ianya berlaku? Kerana pembangunan negara yang pesat yang menyebabkan permintaan yang berlebihan.
Rakyat jelata berkehendakan sesebuah kediaman yang bakal dimiliki berdekatan dengan pekan atau bandar, yang mempunyai pelbagai kemudahan asas seperti pengangkutan awam, jalanraya, perhubungan serta berdekatan dengan tempat kerja mereka.
Akan tetapi, lokasi strategik yang disebut di sini selalunya dikuasai harga pasaran yang begitu tinggi, dan rakyat jelata tidak mampu meiliki rumah-rumah tersebut kerana ianya terlalu mahal untuk dibeli dan tidak layak mendapat pinjaman bank.
Pembinaan lebih banyak rumah-rumah mampu milik di kawasan luar bandar yang jauh daripada kawasan strategik bukannya suatu penyelesaian yang menyeluruh mahupun jangka panjang. Kita lihat banyak rumah-rumah mampu milik yang dibina di kawasan-kawasan yang jauh daripada bandar, kawasan yang membangun tetapi kebanyakan unit-unit tersebut menjadi terbiar kerana rakyat jelata tidak berminat terhadap rumah-rumah yang terletak di kawasan-kawasan yang tidak strategik.
Akhirnya, kerajaan pusat berpaling menyalahkan rakyat jelata pula apabila rumah-rumah yang telah dibina tersebut menjadi terbiar dan tidak laku.
Kenapa kerajaan pusat tidak pula beralih kepada kawalan harga pasaran perumahan bagi memastikan ianya tidak melambung tinggi?
Kenapa kerajaan pusat tidak mengambil langkah-langkah yang drastik untuk meminda beberapa akta perumahan dan tanah bagi memastikan para pemaju perumahan tidak mengambil kesempatan daripada permintaan yang tinggi untuk menaikan harga pasaran dengan sewenang-wenangya?
Kenapa kerajaan pusat tidak mengambil langkah yang dapat memastikan agar tidak ada pihak yang memonopoli harga pasaran hartanah dan perumahan?
Apakah kerajaan pusat masih belum sedar bahawa kemudahan perumahan adalah merupakan hak setiap rakyat?
Kerajaan pusat sering mengeluarkan kenyataan dan publisiti bahawa masalah perumahan rakyat telah diselesaikan dengan “pembinaan lebih banyak rumah”, tetapi masalah tersebut masih berlanjutan sehingga ke hari ini. Rakyat jelata juga masih dipersalahkan?
Di manakah letaknya moraliti kerajaan pusat bagi memastikan kesejahteraan rakyat jelata?
Source: g-socialaffairs.blogspot.my
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme