Kami di Penang Institute percaya bahawa Islam adalah bersifat kosmopilitan dan boleh menjadi asas ketamadunan masyarakat Malaysia yang pelbagai, ujar Mustafa K Anuar.
Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Penang Institute telah banyak menganjurkan program berkenaan Islam dan masyarakat Muslim dengan menghadirkan penceramah-penceramah dari pelbagai latar belakang termasuklah Prof Tariq Ramadan, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Dr Syed Farid Al-atas, Dr Anas at-Tikriti, Ahmed Keeler, Dr Chandra Muzaffar, Prof James Piscatori, Dr Maszlee Malik, Dr Nader Hashemi, Mustafa Akyol, Prof Abdullahi Ahmed An-Naim, Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid dan Dr Azhar Ibrahim.
Memandangkan pentingnya kedudukan agama Islam dan masyarakat Muslim di Malaysia, adalah wajar bagi institut penyelidikan yang dibiayai oleh dana kerajaan negeri ini mewujudkan wacana intelektual seputar topik ini dan juga topik-topik lain.
Kami jelas sekali menolak apa sahaja cadangan atau suara untuk meminggirkan atau “mengabaikan” Islam dan Muslim dalam program-program kami kerana Islam dan Muslim, tidak dapat dinafikan, merupakan sebahagian yang penting bagi Pulau Pinang. Secara sejarah, Pulau Pinang memainkan peranan yang besar dalam proses pentransformasian pemikiran-pemikiran Islam, dengan Kaum Muda sebagai penggerak terawal proses ini.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Sepertimana sokongan tidak berbelah bahagi dalam bentuk kewangan yang diberikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap institusi-institusi Islam, program-program Penang Institute berkenaan Islam juga merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri.
Walaupun demikian, kami diserang oleh sebahagian pihak kerana menganjur dan mempromosikan wacana-wacana intelektual berkenaan Islam dan Muslim. Di sini kami berikan analisis berkenaan dakwaan-dakwaan dan tuduhan-tuduhan yang dilontarkan terhadap kami. Secara umumnya, kami diserang kerana tiga sebab.
Pertama, kami menonjolkan Islam dan masyarakat Muslim dari sudut yang universal dan bukannya sektarian. Kami menolak cara pandangan permusuhan (antagonistic) dan berbentuk pemisahan bahawa masyarakat Muslim dan bukan-Muslim hidup di dalam dunia atau ruang yang berasingan serta sebaiknya orang Islam perlu dilindungi melalui pemisahan dan pada tahap paling buruk orang Islam dan bukan Islam perlu bergaul antara satu sama lain dalam suasana yang pahit dan bersaingan.
Kedua, kami percaya kepada taakul atau akal (reason) dan bukannya dogmatisme. Kami lebih mementingkan intipati lebih dari sekadar bentuk. Oleh kerana itulah kami menganjurkan forum-forum berkenaan Maqasid Syariah, maksud atau tujuan tertinggi Syariah.
Kami juga percaya perkelanaan masyarakat Islam untuk mencari jalan hidup yang lebih beragama dan bentuk ideal demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang boleh didampingkan bersama jika kita menumpukan kepada intipati dan bukannya bentuk.
Ketiga, kami percaya kepada kepelbagaian dan pilihan peribadi. Oleh kerana itu kami menggalakkan dialog berbanding monolog. Kami tidak pernah berpura-pura bahawa kamilah yang memiliki monopoli atau kewibawaan mutlak terhadap ilmu dalam apa sahaja perkara.
Sebaliknya, kami berusaha untuk memahami dengan lebih banyak, mempertanyakan soalan-soalan yang relevan dan bersedia untuk ditegur dan dibetulkan dalam apa sahaja perkara yang kami pelajari. Jika kami dilihat banyak mempersoal dan mencari pelbagai jawapan, itu adalah kerana kami perlu bersikap rendah diri dan ingin tahu. Malah, sikap sedemikian perlu dan semestinya ada bagi setiap institut penyelidikan.
Adakah semua perkara ini menjadikan Penang Institute “liberal”? Mari kita teroka istilah “liberalisme” serta penentangan sesetengah pihak terhadapnya.
Pertama sekali, kita harus memberi laluan terhadap kesemua ideologi dan wacana untuk diartikulasikan, diteliti dan dicabar asalkan kesemua ini dilakukan secara aman, rasional dan rapi. Hanya dengan cara itu kita dapat melahirkan pilihan-pilihan yang termaklum pada peringkat peribadi serta kolektif dan mewujudkan bangsa yang progresif, maju dan santifik. Tidak ada sebab untuk kita takut kepada apa-apa idea dan pemikiran yang tidak berbentuk paksaan. Sepertimana peribahasa indah Melayu, “berani kerana benar, takut kerana salah.” Jika kita sedar bahawa kita benar, untuk apa kita perlu takut dengan wacana intelek?
Kedua, serangan terhadap liberalisme sebenarnya merupakan serangan berselindung nipis terhadap tatanan dunia moden yang banyak dibentuk oleh Gerakan Pencerahan pada Abad ke-18 yang menggalakkan taakul (reason) sebagai asas utama autoriti dan keabsahan. Bermula dengan penolakan terhadap kezaliman, liberalisme telah membangunkan dunia dengan idea-idea, institusi-institusi dan amalan-amalan kebebasan bersuara, kebebasan beragama, hak memiliki harta, kedaulatan undang-undang dan kebebasan-kebebasan lain lagi. Perkara-perkara ini merupakan sebahagian daripada tatanan dunia semasa yang menjunjung demokrasi, ekonomi pasaran bebas dan sains. Sementara tidak ada satupun daripadanya suci dan bebas daripada kritikan, ke manakah fitnah dan pemomokan terhadap “liberalisme” ini akan membawa kita? Adakah kita akan menjadi negara tertutup seperti Korea Utara yang hanya dihiasi dengan keghairahan agama?
Ketiga, jika pendekatan kami terhadap Islam dan masyarakat Muslim yang menggalakkan keberadaan bersama secara aman, taakul (reason) dan kepelbagaian dilihat sebagai diilhami dari pemikiran-pemikiran liberal Barat, mari kami kongsikan inspirasi kami yang lain:
“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya. Dan tidak ada seorang pun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.” (Surah Yunus: 99-100)
Akal dan penghormatan terhadap kepelbagaian adalah bahagian penting dalam Islam. Oleh sebab itulah pemikiran falsafah Yunani Purba dipelihara oleh orang Islam ketika umat Kristian Eropah masih terperangkap di dalam Zaman Kegelapan. Banyak idea yang disalahfahami sebagai berasal daripada Barat sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar dari masyarakat Islam.
Kami di Penang Institute percaya bahawa Islam adalah bersifat kosmopilitan dan boleh menjadi asas ketamadunan masyarakat Malaysia yang pelbagai dengan janji “rahmatan lil alamin” (rahmat kepada seluruh alam). Kami akan terus menggalakkan wacana intelektual berkenaan Islam dan masarakat Muslim dalam usaha kami untuk mewujudkan negara Malaysia yang inklusif, rasional dan majmuk.
Kami mengalu-alukan para pengkritik kami untuk bersama-sama kami di dalam forum-forum atau pelbagai ruang-ruang ilmiah lain. Kami hanyalah insan dan sedia untuk diperbetulkan melalui pemajuan ilmu.
Walau bagaimanapun, kami tidak akan melayan fantasi-fantasi ahli-ahli teori konspirasi yang cuba untuk mengaitkan kami dengan mana-mana musuh-musuh khayalan, baik ianya makhluk-makhluk dari planet Marikh, Hidra ataupun Iluminati yang mitosnya telah dibuktikan palsu sekalipun dalam novel-novel Dan Brown.
Dr Mustafa K Anuar ialah ketua Bahagian Kajian Nusantara di Penang Institute.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme