Home Web Specials 2017 Web Specials Malaysia yang layu: Ke mana halatuju kita?

Malaysia yang layu: Ke mana halatuju kita?

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Mari kita gembeling kekuatan daripada keunikan dan kepelbagaian di Malaysia dan membentuknya menjadi pasak kekuatan untuk bergerak maju ke hadapan, dan bukannya kelemahan yang mematahkan, ujar Anas Alam Faizli.

Malaysia umpama sebutir permata yang unik dan tersendiri. Sebuah tempat pertemuan dan percampuran pelbagai ramuan dan resipi. Terdiri daripada pelbagai kaum dan bahasa.

Negara indah ini yang mengikat kita bersama, menyatukan kekuatan serta kelemahan kita. Kitalah negara yang berada di titik selatan terhujung benua Asia, satu-satunya negara yang tanahnya merangkumi benua Asia dan Gugusan Kepulauan Melayu.

Di sini sahajalah anda akan dapat menemui sebahagian besar penduduknya berakar umbi daripada dua tamadun tertua dunia: India dan China. Bangsa Melayu pula berkongsi banyak nilai budaya serupa dengan Indonesia, negara paling ramai penganut Islam di dunia. Islam sebagai agama membuka pintu kepada dunia Islam. Sementara sistem legasi British membuka pintu dunia Barat. Bak sesumpah kita boleh menerobos masuk ke dalam hampir semua negara di dunia!

Paling menarik, satu kajian yang dilakukan Facebook mendedahkan yang Malaysia ialah negara paling ramah bersosial dalam dunia siber dalam konteks penggunanya mempunyai jumlah kawan teramai di dunia.

Malaysia juga ialah sebuah negara kepelbagaian. Kita satu-satunya negara dunia yang miliki gabungan pelbagai kaum, pelbagai bahasa, pelbagai agama, pelbagai budaya, pelbagai persatuan sukan berasaskan kaum, pelbagai dewan perniagan dan kewangan, dan pelbagai parti berasaskan kaum, pelbagai juadah, pelbagai kerajaan (satu kerajaan persekutuan dan 13 kerajaan negeri) dan pelbagai raja (daripada 35 monarki dunia, sembilan memerintah di Malaysia)!

Sekiranya bukti di atas tidak mencukupi, lihat hujah berikutnya.

Kita satu-satunya negara di dunia ini yang bersumpah mampu untuk melindungi Allah, dengan menghalang orang lain daripada menggunakan kalimah tersebut dan didakwa telah mengharamkan “hotdogs” dan “root beer” kerana terjemahan literal perkataan itu.

Malaysia memiliki hutan hujan tropika tertua, yang dikatakan berusia 130 juta tahun, lebih tua dari Amazon dan Lembah Congo. Hutan hujan tropika kita kediaman kepada 14,500 spesis tumbuh-tumbuhan berbunga dan pokok, dengan lebih daripada 200 spesis mamalia, 600 burung, 140 ular dan 60 jenis cicak.

Dan kita juga mempunyai ular tedung selar terpanjang di dunia berukuran 5.71 meter, yang ditemui di Port Dickson pada 1937.

Malaysia juga mempunyai bulatan jalanraya terbesar di dunia di Putrajaya berukuran 3.5km diameternya, tanpa disangkal kita juga memiliki ‘spin terbesar di dunia’.

Ya, Malaysia sangat unik. Bukan sekadar “truly Asia” tetapi “truly World!” Boleh lawan ke?

Itu tidak disebut lagi tentang kepelbagaian juadah fusion makanan, dari Timur ke Barat di negara ini. Makanan apakah yang tidak boleh anda temui di sini?

Dirahmati dengan pelbagai hasil mahsul tidak ternilai, daripada timah sehinggalah getah, kelapa sawit, kayu-kayan, bauksit, dan petroleum sebagai sumber paling berharga, Malaysia negara yang kaya.

Jadi berdasarkan semua keunikan ini, kita mempunyai ramuan mencukupi untuk menjadi dan bersubur menjadi “syurga dunia”; persoalannya di manakah kita berada sekarang?

Negara kepelbagaian datang bersama kepelbagaian masalah

Sangat mengejutkan bagaimana sebuah negara kecil berpenduduk hanya 31.8 juta ini berjaya memegang pelbagai gelaran yang tidak enak didengar: negara dengan jurang terbesar kaya dan miskin rantau ini dan penggunaan tenaga paling tidak cekap adalah antara gelaran yang diraih kita termasuklah negara yang mencetuskan skandal kewangan terbesar dunia, 1MDB.

Sebelum 1MDB, kita diheret pelbagai skandal seperti Bank Bumiputera, Perwaja, Metramac, Malaysia Airlines, Bank Islam, Transmile, Megan Media, Scan Associates dan pengeluran “laporan merah” audit jabatan kerajaan seperti dilaporkan Jabatan Audit Negara setiap tahun. Semua skandal ini menggambarkan kenyataan yang tidak tersangkal lagi- Korupsi yang membarah sedalamnya!

Kita terperangkap dalam ekonomi lompong, dengan kebergantungan melampau kepada pekerja asing, dan majoriti penduduk Malaysia berpendapatan rendah tertekan dengan peningkatan kos sara hidup. Di tambah pula dengan majoriti rakyat Malaysia hanya punyai simpanan tidak lebih daripada sebulan sekiranya mereka kehilangan pekerjaan.

Krisis pencen yang serius menghimpit rakyat apabila dua pertiga pekerja berusia 54 tahun mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP mereka.

Kita dianggap mempunyai kemudahan dunia kelas pertama tetapi sedihnya memiliki budaya dan mentaliti dunia kelas ketiga. Kita terletak di tangga dua pertiga paling bawah pencapaian pendidikan dalam ukuran antarabangsa.

Pemandu kita “gila di jalan” serta pembuli jalan raya dan Mat Rempit. Kita juga berada di tangga 20 seluruh dunia dalam jumlah kemalangan jalan raya maut per kapita, di samping berdepan dengan gejala vandalisma kota. Kita juga mempunyai pemandu teksi yang buruk sikapnya dan tanggapan meluas tentang Kuala Lumpur yang didakwa antara bandar paling biadap di dunia.

Alam sekitar kita pula sedang menangis disakiti; bandar kita dilanda banjir kilat (perancangan bandar yang lemah dengan pengurusan kemudahan yang pincang); banjir besar melanda Pantai Timur saban tahun; pengurusan lemah simpanan dan bekalan sistem air kita; pengurusan sisa pepejal yang lemah, serta kewujudan berleluasa tapak pengurusan sampah haram; dan “pembalakan haram” di hutan dan gunung ganang kita, termasuklah di kawasan simpanan tadahan air.

Rakyat Malaysia juga terkenal dengan betapa mudahnya tertipu dengan skim penipuan yang menawarkan faedah dan pulangan wang mudah, pantas dan banyak! Terdapat ekonomi haram yang besar dan meluas yang wujud, meliputi perjudian haram, dadah dan bahan seludupan lain, DVD cetak rompak dan pengklonan kad kredit.

Terdapat juga “situasi yang tidak diperlukan (dan tidak dihendaki)” dalam perbadanan serta inovasi rakyat Malaysia, yang secara sinis dilabel sebagai “Malaysia Boleh”.

Paling menyedihkan ialah hampir setiap sudut jalan raya dan tiang lampu isyarat, pasti ada sekurang-kurangnya dua iklan tertampal, samada nombor telefon Ah Long atau nombor rumah urut dan wanita escort!

Arena politik pula sangat tegang sehinggakan tidak ada masa untuk menggubal dasar kerana tenaga dihabiskan menyerang satu sama lain tanpa henti. Politik kebencian dan polarisasi kaum menjadi isu utama sejak dua dekad lepas. Hak asasi manusia, kewujudan undang-undang yang boleh dipertikaikan dan pendakwaan bermotifkan politik antara isu yang mencengkam negara. Dan nampaknya kebebasan institusi penghakiman telah hilang kredibitinya.

Hasilnya, kita berada di tangga 66 daripada 73 negara dalam Indeks Integriti Pilihanraya dan tangga 146 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia.

Jadi, adakah kita sudah hancur berkecai? Adakah semuanya sudah tidak dapat diselamatkan? Mungkin. Tetapi, masih ada jalan keluar!

Kemustahilan yang tidak berkesudahan

Sekiranya sejarah ada mengajar sesuatu, pengajaran itu ialah tiada apapun yang mustahil. Sepanjang kewujudan manusia, kita sentiasa dikejutkan dengan kejayaan negara-negara yang sebelum itu dianggap tidak penting. Orang Mongolia yang buta huruf, di bawah pimpinan Genghis Khan, berjaya menawan dua pertiga dunia tanpa berjaya disekat.

Orang Arab hanyalah nomad tak ubah seperti hamba di mata orang Roman dan Persia.

Orang Jepun yang sebelum Revolusi Meiji hanyalah golongan petani termasuk pemalas yang asyik mabuk. Orang Vietnam pula berjuang habis-habisan dan mengusir tentera Perancis dan Amerika dari negara mereka dan memenangi kebebasan mereka.

Tidak ada yang mustahil walaupun situasi semasa tidak menjanjikan harapan lagi. Ingatlah bahawa sang matahari hanya akan muncul selepas kegelapan malam berlalu.

Begitu jugalah Malaysia. Kita sudah tersasar jauh, jadi adakah kita sudah mengambil iktibar daripada kegelapan dan kesengsaran yang kita boleh jadikan inspirasi untuk bangkit kembali?

Wujud keperluan mendesak untuk kembali menyusun hala tuju supaya kita boleh berada di landasan yang tepat demi negara dan Rakyat.

Masih ada jalan keluar daripada semua belenggu masalah negara ini. Kita perlu mengakui yang wujudnya masalah kritikal yang mencengkam negara tercinta. Kejujuran dan keikhlasan perlu dikembalikan dalam semua urusan negara ini.

Inilah masanya untuk setiap rakyat Malaysia untuk terus percaya dan menyumbang bakti mencapai matlamat yang ditetapkan. Satu suara mungkin tiada kesan; sepuluh suara mungkin hasilkan getaran kecil; tetapi ribuan suara boleh seperti halilintar yang mengegar dunia, paling tidakpun boleh menggegarkan Putrajaya.

Senarai hasrat untuk Malaysia yang kuat dan gemilang

Atas tujuan murni ini, berikut senarai hasrat saya untuk Malaysia:

Disebabkan terlalu banyak yang perlu dilakukan, permulaan yang baik ialah dengan penubuhan Majlis Konsultasi Negara 2 untuk kembali merangka dasar asas perubahan sosial dan ekonomi pada tahap paling dasar. Gabungan intelek terbaik seluruh negara diperlukan untuk menawarkan langkah dan strategi realistic dan boleh dilakukan bagi perubahan semula hala tuju negara.

Sumber semulajadi dan alam sekitar Malaysia ada hadnya serta sangat bernilai. Pengurusan sumber yang lebih baik diperlukan, di mana semua hasil dan faedah dikongsi bersama oleh Rakyat. Pertelingkahan royalti minyak antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu diselesaikan sebaik mungkin demi manfaat terbaik Rakyat.

Pembetulan asas ekonomi perlu dilakukan segera untuk kebaikan semua dan membetulkan cara kerja kita. Kita perlu berubah daripada kapitalis sewaan (rentier capitalism) kepada kapitalis industri teknologi. Yang paling baik ialah dengan mengambil teladan daripada amalan terbaik pasaran sosial Eropah dan kapitalis negara Cina yang bersesuaian dengan Malaysia.

Dasar perlu mengutamakan Rakyat, dengan mengagungkan prinsip keadilan sosial, meletakkan pembentukan dan penyerakan kekayaan yang seimbang dalam usaha pembangunan ekonomi, serta pada masa yang sama menyediakan persekitaran mapan untuk badan korporat berkembang pesat.

Usahawan dengan nilai tambah dan bukan hanya kapatalis semata adalah kunci kepada kejayaan yang kita mahukan.

Kita perlu mengisytiharkan ‘perang’ kepada jurang kekayaan dan pendapatan yang tanpa henti membuka kitaran ganas tanpa titik akhir yang menghancurkan masyarakat.

Sekolah rendah berasrama penuh, perumahan mampu milik dan keusahawaan sosial dan rakyat perlu diwujudkan dan digalakkan di semua tempat yang memerlukannya.

Sektor utama ‘lestari’ yang cekap iaitu tenaga, pengangkutan, pembinaan, air dan pengurusan sisa perlu diutamakan demi manfaat ekonomi dan alam sekitar.

Semua rakyat Malaysia memerlukan dan berhak menjalani kehidupan baik dan seimbang yang boleh ditawarkan oleh pekerjaan yang menawarkan gaji mencukupi. Rakyat sepatutnya tidak perlu buat dua kerja untuk menjadikan kehidupan mereka kondusif dan bahagia. Pengejaran ekonomi yang tidak berkesudahan serta tidak adil pada masa kini telah menghukum rakyat Malaysia, dan kita menggantikan belas ihsan dengan sikap tidak endah.

Unit keluarga yang berfungsi membenarkan ibubapa memainkan peranan yang proaktif dalam pendidikan dan proses membesarkan anak-anak mereka untuk menerapkan “nilai Asia” sejati yang banyak kali kita ungkapkan tetapi jarang laksanakan.

Pemerkasaan wanita akan menghaluskan halangan kepada potensi ekonomi serta menawarkan manfaat sosial dan ekonomi yang lebih bersepadu.

Pendidikan ialah pintu penyelesaian kepada hampir semua kesengsaraan sosial dan ekonomi Malaysia. Pendidikan perlulah inklusif dan menyuburkan moral, pemikiran kritikal, kemanusiaan, kerendahan diri, toleransi agama, kemajuan dan inovasi teknologi kepada semua rakyat Malaysia.

Penilaian semula falsafah pendidikan negara perlu dilakukan dan digantikan dengan Pedagogi Cinta.

Kita perlu menyemai budaya membaca, pemikiran kritikal dan menyuburkan persekitaran perdebatan intelektual. Kita perlu meraikan pemikir dan ahli falsafah, serta menyediakan persekitaran kondusif untuk wacana awam. Para intelektual perlu diberi mandat untuk menggerakkan dan menghidupkan ruang fikir awam bagi menerangi hala tuju semua.

Penjagaan kesihatan perlu mampu milik dan boleh diperolehi oleh semua kelompok masyarakat. Kita perlukan lebih banyak hospital dan hospital latihan, serta klinik yang serba lengkap untuk memberi perkhidmatan kepada mereka yang sakit dan memerlukan di mana sahaja mereka tinggal. Satu lagi perkara yang sangat diperlukan dalam perkhidmatan asas rakyat ialah perkhidmatan awam yang menyeluruh.

Pendidikan dan penjagaan kesihatan, adalah dua hak asas dan paling berharga rakyat Malaysia dan tidak sewajarnya menjadi permainan politikus.

Kesukarelawan, NGO aktivis sosial dan “pihak ketiga” perlu digalakkan dan diperkasakan bagi memperkukuhkan demokrasi dan semangat “keadilan untuk semua” di negara ini.

Tadbir urus yang baik, integriti, kebebasan maklumat untuk media dan perlindungan pemberi maklumat perlu diperkasakan bagi membolehkan kejayaan perjuangan menentang korupsi, dengan matlamat utamanya ialah menyediakan mekanisma ;pemeriksa dan penyeimbang’ dalam prinsip pemisahan kuasa.

Undang-undang Perlembangan perlu memerintah secara mutlak dan dilaksanakan secara adil, dan bukannya disalahgunakan bagi manfaat kroni tersembunyi diktator moden. Kita perlukan ‘pemerintahan undang-undang’ dan bukannya pemerintahan Mafia. Demokrasi perlulah bersifat aktif dan inklusif untuk semua rakyat sertai, dan bukannya hanya berlaku setiap lima tahun sekali ketika mengundi.

Hentikan politik perkauman dan kebencian. Keharmonian kaum perlu disemai dan disuburkan sejak dari rumah dan sekolah pada usia muda, malah sebelum mula persekolahan lagi. Bukankah kita lahir tanpa kenal beza warna kulit?

Malaysia boleh!

Senarai hasrat untuk Malaysia ini terdiri daripada semua cadangan yang saya pernah tulis, sampaikan dan perjuangkan selama ini.

Misi saya ialah untuk memberi tekanan, dengan cara membentuk kesedaran awam dan kembali semula ke jalan yang benar. Tiada apa yang mustahil, yang tidak boleh kita depani dan atasi selaku rakyat Malaysia bagi memastikan semua rakyat negara ini terjaga.

Malaysia sebuah negara unik dengan gabungan ramuan dan bahan terbaik yang didambakan mana-mana negara. Mari kita gembeling kekuatan daripada keunikan dan kepelbagaian ini dan membentuknya menjadi pasak kekuatan untuk bergerak maju ke hadapan, dan bukannya kelemahan yang mematahkan, mempercayai Tiada Yang Mustahil, Tiada Batasan dan menjadi sebaik mungkin.

Sepenuh jiwa raga, sejujurnya saya laungkan, Malaysia boleh! Marilah kita bersama-sama dalam perjalanan ini, kerana kebersamaan ini memungkinkan semuanya!

Anas Alam Faizli memegang ijazah kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau adalah seorang professional bidang pembinaan dan minyak dan gas, seorang warganegara Malaysia yang prihatin dan adalah pengarang Rich Malaysia, Poor Malaysians dan bertweet di @aafaizli.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Thuraisingham Shan
4 Feb 2017 12.56am

God is taking to distance I dont know wherw

1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x