Home Web Specials Bebaskan pelajar sekolah alternatif di Sabah: Seruan Gerak untuk keadilan pendidikan

Bebaskan pelajar sekolah alternatif di Sabah: Seruan Gerak untuk keadilan pendidikan

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Gerak menggesa pihak berkuasa untuk membebaskan lapan pelajar sekolah alternatif di Sabah dengan serta-merta.

Anak-anak muda ini, di mana tiga daripada mereka di bawah 18 tahun dan baki lima berusia 18-22 tahun, adalah pelajar sekolah alternatif, satu inisiatif pendidikan yang menyediakan peluang pembelajaran yang sangat diperlukan untuk anak-anak tanpa kewarganegaraan di Sabah.

Pihak berkuasa Malaysia seharusnya menghormati Konvensyen Hak Kanak-Kanak PBB (UN Convention on the Rights of the Child) yang ditandatangani oleh Malaysia pada tahun 1995 dengan komitmennya untuk menegakkan hak semua kanak-kanak dalam sempadannya.

Ini termasuk hak untuk pendidikan, kebebasan bersuara, dan perlindungan daripada penahanan sewenang-wenangnya. Penahanan berterusan lapan pelajar ini secara langsung melanggar hak-hak ini.

Latar belakang isiden ini bermula pada 10 Jun, apabila sekumpulan guru dan pelajar dari sebuah sekolah alternatif memulakan “Jelajah Universiti Alternatif dan Kesatuan Tanpa Kewarganegaraan” (Alternative University and Stateless Union Tour), bertujuan untuk mewujudkan pendidikan tinggi untuk anak-anak tanpa kewarganegaraan. Inisiatif ini dirancang untuk dilancarkan pada 8 Julai.

Sebagai sebahagian daripada jelajah tersebut, mereka melawat institusi pendidikan dan universiti, bertemu dengan organisasi yang berkhidmat untuk anak-anak tanpa kewarganegaraan, dan menyertai aktiviti-aktiviti pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pada 14 Jun, kumpulan ini menyertai demonstrasi aman yang dianjurkan oleh Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah, yang memperjuangkan akses air yang lebih bersih di Sabah.

Selepas meninggalkan demonstrasi pada hari yang sama, kumpulan ini telah diikuti dan ditahan oleh pihak polis di Jalan Tun Fuad Stephens. Seramai 16 individu telah ditangkap, namun hanya Cikgu Syahfeeq dan lapan pelajar yang ditahan di lokap.

Pada 17 Jun, pegawai penyiasat (investigating officer) cuba melanjutkan reman Syahfeeq selama dua hari lagi tanpa memberitahu peguam atau keluarganya.

READ MORE:  Saifuddin’s new claim that citizenship amendments are necessary to prevent Rohingya babies from becoming citizens is baseless

Gerak berpandangan bahawa penahanan Syahfeeq selama dua hari dan pelajar-pelajar direman selama 15 hari adalah amat tidak wajar. Kejadian ini menunjukkan bahawa terdapat layanan tidak berperikemanusiaan terhadap cikgu dan pelajar di Malaysia.

Pada 18 Jun, Syahfeeq telah dibawa ke mahkamah dan dibebaskan, tetapi lapan pelajar masih terus ditahan.

Gerak mengecam tindakan polis yang nampaknya merupakan cubaan untuk mengintimidasi dan membisukan cikgu dan para pelajar.

Penglibatan individu tanpa kewarganegaraan dalam protes ini menekankan betapa pentingnya masalah keadilan sosial terhadap kumpulan pinggiran di Sabah.

Gerak menyokong cikgu dan para pelajar dari sekolah alternatif Sabah dalam perjuangan mereka untuk hak menerima pendidikan tinggi bagi anak-anak tanpa kewarganegaraan di Sabah. Pendidikan merupakan asas penting dalam pembangunan individu dan masyarakat.

Hak menerima pendidikan bukan sahaja termaktub sebagai hak asasi manusia, tetapi juga sebagai alat penting untuk memecahkan kitaran kemiskinan dan menggalakkan pembangunan sosial dan ekonomi.

Anak-anak tanpa kewarganegaraan di Sabah menghadapi pelbagai cabaran dalam mendapatkan pendidikan yang layak, termasuk kekurangan akses kepada sekolah awam, kekangan kewangan dan diskriminasi sosial.

Tanpa pendidikan yang mencukupi, peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan kehidupan yang bermaruah akan terhad.

Gerak menekankan bahawa hak menerima pendidikan adalah hak yang tidak boleh dinafikan kepada mana-mana individu, tanpa mengira status kewarganegaraan mereka. Pendidikan adalah kunci kepada pembangunan peribadi dan profesional, serta alat penting untuk mencapai keadilan sosial.

Dengan memastikan anak-anak tanpa kewarganegaraan di Sabah menerima pendidikan tinggi, kita bukan sahaja membantu mereka mencapai potensi penuh mereka, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Oleh itu, Gerak menyeru pihak berkuasa dan masyarakat untuk berganding bahu dalam menyediakan akses pendidikan yang adil dan inklusif bagi semua anak-anak di Sabah.

READ MORE:  Increase philosophy literacy in Malaysia

Ini termasuk memperluaskan peluang pendidikan, menyediakan sokongan kewangan dan material, serta menghapuskan halangan birokrasi yang menghalang anak-anak tanpa kewarganegaraan daripada menikmati hak mereka untuk belajar.

Dengan usaha bersama, kita boleh memastikan bahawa setiap anak di Sabah, tanpa mengira latar belakang mereka, mempunyai peluang yang sama untuk mencapai kejayaan dan menyumbang kepada pembangunan negara. – Gerak

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x