Usaha mereka ini harus dialu-alukan dan jika boleh, diteliti oleh parti-parti yang sedia ada bagi mewujudkan suatu platform kerjasama mengikut wadah yang baru, ujar WH Cheng.
Di negara kita ini, parti-parti politik dan kumpulan-kumpulan yang terbentuk di dalam parti-parti (party factionalism) yang bersaing untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi dan ahli-ahli parti masih dilihat menggunakan cara lama, yakni yang kuno dan konservatif, menggunakan isu-isu perkauman dan agama.
Dan apabila bersaing di peringkat dalaman, mereka sering menyerang keperibadian di antara satu sama lain.
Persaingan seperti ini menampakkan suatu perbuatan yang tidak sihat, mempertingkatkan permusuhan yang akan menyebabkan perpecahan, keruntuhan perpaduan dan juga perpecahan dalaman sesebuah parti politik.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Selepas itu, dendam mendendami di antara satu sama lain, perasaan syak wasangka, saling tidak mempercayai akan juga meningkat.
Akhirnya, budaya hasad dengki di kalangan pemimpin dan para penyokong mereka akan terus melekat sehinggalah ke beberapa generasi yang akan datang.
Beginilah suasana politik di Malaysia daripada tahun 1960an hinggalah pada hari ini. Politik agama dan perkauman, hasad dengki, dendam mendendami antara satu sama lain tertanam dengan begitu mendalam sekali sehinggakan ramai yang menyatakan sudah tidak ada lagi harapan untuk melihat suatu amalan politik yang bersih dan saingan yang sihat.
Bagi kami, amalan politik sebegini adalah suatu sifat yang dilihat seperti masih di zaman jahiliah, zaman purba kala, tidak bertamadun. Sebab itu berlaku peperangan, pengeboman dan pergaduhan politik seperti di kebanyakan negara di Timur Tengah dan Asia Barat yang meragut ratusan nyawa hampir pada setiap hari oleh kerana persaingan politik yang tidak sihat yang diselaputi dengan dendam yang membara di antara satu sama lain.
Amalan politik yang negatif ini telah merebak secara mendadak ke benua Asia Tenggara dan Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menelan arus yang tidak sihat ini. Keadaan tersebut adalah amat membimbangkan. Dikhuatiri ia akan memburukkan lagi keadaan sekiranya keadaan tersebut tidak ditangani oleh generasi pemimpin dan kader-kader politik baru yang akan datang.
Amalan politik sebenarnya bukan sesuatu profesion ataupun pergerakan yang ‘kotor’ seperti yang dilabelkan oleh kebanyakan orang.
Amalan politik ini telah dikotori oleh para pemimpin dan parti-parti politik yang taksub kepada jawatan, kuasa, kekayaan dan dominasi terhadap wilayah dan negara, sejurus itu akan menyebabkan berlakunya rasuah, penyalahgunaan kuasa dan urus tadbir kerajaan yang tidak produktif. Ini mengakibatkan negara terjerumus dalam kancah ketidakadilan, ketidakstabilan, setelah itu kemungkinan berlaku pula perpecahan, pergolakan dan akhirnya peperangan.
Mahukah kita melihat Malaysia menjadi sebegini? Apakah akan terjadi kepada negara ini sekiranya amalan politik negara ini terus diturapkan dengan isu-isu perkauman dan agama?
Jika kita perhatikan di kebanyakan negara-negara maju (kalau ada yang pantang menyebut negara-negara Barat) pada hari ini, parti-parti politik dan perkumpulan-perkumpulan dalaman parti (party internal factions) bersaing di dalam pilihanraya umum dan di dalam pemilihan parti. Mereka menawarkan atau mengketengahkan dasar-dasar yang dipelopori pihak masing-masing dan berusaha menyakinkan para pengundi dan penyokong mereka untuk mengundi calon-calon mereka untuk menduduki badan-badan perundangan dan dewan-dewan pimpinan parti masing-masing.
Bersaing dengan menawarkan dasar-dasar (policy) dan ideologi mereka dan berusaha menyakinkan orang ramai bagaimana dasar-dasar dan ideolgi yang dipelopori oleh parti-parti dan para pemimpin masing-masing dapat memberikan manfaat kepada umum adalah merupakan suatu persaingan yang sihat dan profesional serta tidak menyentuh perasaan serta keperibadian seseorang.
Yang menang, mereka perlu buktikan dasar-dasar dan ideologi yang dibawa mereka itu benar-benar memanfaatkan, manakala yang kalah perlu mengkaji semula dan menambahbaik dasar-dasar yang dipelopori dan berusaha menyakinkan serta bertanding semula di penggal-penggal yang akan datang.
Amalan yang menang akan mengekang dan menghukum yang kalah; yang tidak terpilih sebagai calon akan marah; yang kalah akan mendendami atau keluar parti, lompat ke parti lain, adalah perbuatan tidak matang dan tidak seharusnya berlaku – kerana dalam soal persaingan yang merupakan proses demokrasi pasti ada yang menang dan yang kalah.
Soalnya, agak bila amalan politik negatif di kalangan parti-parti politik dalam Malaysia ini akan tamat? Ini bergantung kepada kemunculan golongan-golongan muda yang progresif sama ada mereka dapat mencapai kekuatan dan mengambil-alih kepimpinan dan penerajuan parti masing-masing serta memperkenalkan idea-idea dan amalan politik baru yang menyakinkan dan bukannya menyakitkan.
Persoalan yang kedua, apabila kemunculan golongan muda yang progresif dalam parti masing-masing ini mula memuncak, adakah golongan konservatif yang telah lama menduduki kepimpinan parti masing-masing di semua peringkat sambil mengikuti sikap kuasa “warlordism” (seakan-akan panglima perang yang sungguh berkuasa yang enggan melepaskan kedudukannya) akan dengan rela hati melepaskan kuasa dan kedudukan mereka ini kepada generasi baru tersebut?
Setahu kami, ada ramai “party warlords” yang berasa susah untuk melepaskan kedudukan dan kuasa mereka oleh kerana takut pengaruh mereka akan hilang terus, atau golongan ini dihasuti oleh pihak-pihak yang berkepentingan agar terus berkuasa dan menyingkirkan generasi baru yang disifatkan sebagai mengganggu-gugat?
Sekiranya begitu, golongan muda atau generasi baru ini akan mungkin berundur ataupun bertukar haluan menjadi aktivis yang lebih radikal. Atau sekaligus mereka akan menjadi anarki kuat menentang sebarang pentadbiran (anti-establishment) kerana mereka sudah tidak ada tempat lagi di dalam arena politik negara yang membolehkan mereka menawarkan khidmat, dasar dan perjuangan yang dipelopori mereka.
Tetapi ada juga dari kalangan generasi baru ini yang terus keluar daripada kongkongan politik lama dan beriktiar untuk membentuk parti-parti politik yang baru yang dianggotai oleh kebanyakan muda-mudi yang sudah muak dengan amalan politik kuno dan konservatif. Mereka ini kini dilihat sedang berusaha untuk memecahkan tembelang politik kuno yang konservatif yang telah lama menguasai politik negara – tetapi apatah lagi tindakan dan usaha mereka masih belum dapat menyakinkan umum bahawa mereka telah bersedia untuk “mengambil-alih”.
Bagi kami, generasi baru ini wajar diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka, oleh kerana amalan politik kuno yang konsevatif telah lama wujud selama enam dekad, yakni lebih 60 tahun. Amalan kuno ini dibelenggui dengan banyak kelemahan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tadbir urus kerajaan yang tidak produktif. Tambahan pula, kita asyik dihantui dengan politik perkauman dan agama, serta politik berpuak-puak yang tidak habis-habis dengan rebutan kuasa dan sengketa dalaman parti.
Kami dapat melihat, generasi baru ini, golongan progresif dalam beberapa parti politik dan yang sedang didukung oleh satu parti yang baru sedang berusaha membawa dasar-dasar mereka kepada umum untuk diperdebat dan diperbincangkan bagi mendapatkan maklumbalas daripada pelbagai pihak.
Usaha mereka ini harus dialu-alukan dan jika boleh, diperhalusi dan diteliti oleh parti-parti yang sedia ada bagi mewujudkan suatu platform kerjasama mengikut wadah yang baru dan bukannya memencilkan terus golongan tersebut.
Sumber: whcheng18.wordpress.com/blog
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme