Sambutan 1 Mei tahun ini sungguh bermakna, kerana tradisi berarak dapat dikekalkan dan keduanya kehadiran wakil rakyat dari Pakatan Rakyat yang memberi komitment untuk memperjuangkan hak pekerja dan masyarakat tertindas. Lapuran daripada Sivaranjani M bagi pihak Jerit.
Sambutan Mei satu 2008 kali ini adalah perarakan dari Dataran Merdeka ke SMJK (C) Confician. Namun pihak polis telah menghalang para pekerja daripada memasuki Dataran merdeka dengan menutup jalan. Polis telahpun bersedia dengan polis FRU dan meriam air untuk menyuraikan pekerja yang telahpun mula berkumpul dihadapan Bank Pertanian.
Pasukan rundingan Jawatankuasa Mei 1, 2008 yang diketuai oleh Sdr. Siva dari PSM bersama Saudara Arul; setiausaha Agung PSM dan Dr Nasir; Pengerusi PSM dan Selvam (PSM) telah berjaya berunding dengan pihak polis supaya program berarak dapat diadakan. Kejayaan ini telah dapat mengekalkan tradisi Sambutan Mei 1 dan membolehkan Hak Berhimpun secara aman diamalkan.
Lebih kurang pada pukul 10 pagi, lebih 2,000 kaum pekerja dan masyarakat tertindas telah berarak dari Dataran Merdeka ke SMKJ Confucian. Kejayaan perarakan ini meningkatkan semangat para peserta yang hadir tambah pula dengan suasana dewan yang dihiasi dengan banner perjuangan pekerja .
Sambutan tahun ini turut dihadiri oleh 12 orang wakil rakyat dari Pakatan Rakyat yang telah menang dalam pilihanraya 2008. Antaranya Dr Kumar dan Dr Nasir dari PSM, Dr Lo Lo dan Dr Mariah dari PAS, Pn Zuraida , Elizabeth Wong dan Chang Lih Khang dari PKR, Charles Santiago, Dr Tan Seng Giaw, Fong Kui Lun, Manogaran dan Ronnie Liew dari DAP.
Program dimulakan dengan nyanyian lagu Perjuangan Pekerja dan drama sejarah perjuangan Mei Satu dipersembahkan kumpulan Alaigal dari Ipoh . Mengimbas kembali sejarah ini, ramai yang terasa perjuangan pekerja pada masa dahulu dalam mendapat hak 8 jam kerja, cuti umum satu hari sedang dirampas oleh golongan kapitalis dari pekerja. Hari ini, pekerja diingatkan supaya perjuangan perlu dituruskan untuk merampas balik hak kita yang semakin hari semakin ditindas.
Acara kemuncak Sambutan Mei 1 , 2008 adalah pembacaan tuntutan pekerja oleh wakil setiap sektor kepada wakil rakyat Pakatan Rakyat. Antara tuntutan rakyat ialah Elakkan korporatan sektor tani, implimentasi akta gaji minima, tutup industri ladang jika gagal menyediakan perumahan dan gaji yang adil, mansuhkan AUKU, Mansuhkan ISA, dan banyak lagi. Berserta dengan tuntutan-tuntutan upacara pelancaran logo Mei 2008 yang bertemakan Pekerja Kuasa Perubahan, Laksanakan Janji Pilihanraya dijalankan.
Setelah itu , wakil setiap parti yang hadir telah memberi maklumbalas kepada tuntutan rakyat . Pn Zuraida Kamaruddin dari PKR, Dr. Lo’ Lo dari PAS, Charles Chantiago dari DAP dan Dr.Nasir dari PSM telah mengatakan memang patut tuntutan ini diminta kerana ia adalah hak kita. Mereka juga telah berjanji bahawa parti-parti mereka akan berjuang sedaya upaya untuk menunaikan janji pilihanraya . Dr Nasir juga mengatakan bahawa setiap hak yang diperolehi oleh rakyat adalah jasil perjuangan mereka dan adalah tugas wakil rakyat untuk memperjuangkan hak rakyat.
Acara ini diteruskan dengan pembacaan Deklarasi Mei 1, 2008 oleh para hadirin. Deklarasi kali ini disokong oleh 102 kumpulan NGO, parti politik dan kesatuan.
Sambutan 1 May 2008 diakhiri dengan nyanyian lagu pekerja antarabangsa dan laungan Hidup Pekerja, Hidup Perjuangan dalam tiga bahasa.
Sambutan Mei 1 tahun ini sungguh bermakna, kerana tradisi berarak dapat dikekalkan dan keduanya kehadiran wakil rakyat dari Pakatan Rakyat yang memberi komitment untuk memperjuangkan hak pekerja dan masyarakat tertindas. Adalah harapan kaum pekerja bahawa janji pilihanraya akan dilaksanakan demi menjaga kepentingan dan kebajikan kaum pekerja yang menjadi tulang belakang pembangunan negara ini.
Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.