
Pagi saya dimulakan dengan panggilan kepada teman, MZ *, salah seorang dari ribuan doktor muda yang berdepan kemungkinan tidak diserap masuk ke dalam perkhidmatan kesihatan.
MZ sendiri masih menunggu akan status perlantikannya selepas hampir dua tahun berkhidmat secara kontrak di sebuah hospital di selatan tanahair. Bayangkan, sistem kontrak ini bukan sahaja mengakibatkan para doktor ini seakan-akan digantung tidak bertali khususnya melibatkan soal jaminan pekerjaan tetapi turut melibatkan masa hadapan mereka sendiri selaku pengamal perubatan.
Sistem kontrak, tegas MZ, “seakan menjadi satu pagar”, khususnya bagi mereka yang rata-rata mula menginjak usia 30-an; umur cukup ranum dalam mengejar cita-cita. Status kontrak, malangnya, menafikan terus hak mereka untuk menduduki peperiksaan bagi melanjutkan pengkhususan dan kepakaran tertentu dalam bidang perubatan.
Tuntutan mereka ini, saya percaya, adalah gambaran kelam masa hadapan sistem kesihatan kita. Menafikan peluang mereka gara-gara sistem kontrak yang culas ini adalah sebuah bencana yang akan memberi kesan kepada sistem dan kepakaran kesihatan kita semua bergenerasi lamanya.
Malang seribu kali malang, isu kontrak yang sudah berlanjutan hampir lima tahun ini seakan-akan tidakkan selesai walau pemerintah bersilih ganti. Bahkan, ianya bertambah hingar-bingar kebelakangan ini atas dua sebab utama.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pertama, diumumkan bahawa akan digerakkan #HartalDoktorKontrak yang dijadualkan berjalan dalam tiga fasa dengan kemuncaknya, protes para doktor lantikan kontrak untuk tidak hadir ke hospital pada akhir Julai nanti.
Kedua, ianya melondehkan seperti apa perkhidmatan perubatan kita saatnya berdepan dengan pandemik – bukan sahaja melibatkan para doktor muda ini, malah bersangkutan keseluruhan ekosistem kesihatan sedia ada.
Awal tahun lalu, saat berdepan gentingnya ombak pandemik yang pertama, kita turut didedahkan bagaimana golongan pekerja pembersihan hospital dinafikan hak keselamatan di tempat kerja. Rintihan para pekerja yang merasakan diri mereka ‘dilayan seperti hamba’ cukup menggugah nurani. Bayangkan, sudahlah sejak sekian lama tidak mendapat kenaikan gaji, sewaktu pandemik menggila dan mereka bekerja-keras di barisan hadapan, ada di antara mereka yang tidak mempunyai akses terhadap kelengkapan pakaian perlindungan peribadi (PPE) serta dinafikan ujian calit Covid sewaktu berkhidmat.
Seperkara yang dapat kita simpulkan dari keadaan pekerja pembersihan hospital ini adalah ianya bukan sebuah keadaan yang berlaku dalam keterasingan. Sebaliknya, ia merupakan manifestasi krisis yang mengakar di dalam ekosistem kesihatan kita sekarang.
Pun, krisis ini jugalah yang membuka ruang untuk kita saling belajar. Barangkali, pengalaman para pekerja pembersihan hospital yang cukup berani melakukan beberapa siri protes dan menubuhkan kesatuan sekerja bagi mengedepankan tuntutan mereka penting untuk kita memahami konteks #HartalDoktorKontrak. Lebih-lebih lagi, isu kontrak ini bukan saja melibatkan para doktor tetapi turut melibatkan jabatan-jabatan lain, misalannya, ahli farmasi, psikologis, pembantu perubatan dan juga pergigian.
Tuntutan yang diketengahkan melibatkan jaminan pekerjaan, penyelarasan gaji serta peluang melanjutkan kepakaran perubatan oleh para doktor ini mencakupi ruang perkhidmatan yang cukup luas dan memperlihat betapa seriusnya kemerosotan perkhidmatan kesihatan yang wujud.
Tuntutan para doktor yang bersedia untuk hartal di tengah-tengah pandemik Covid ini perlu difahami bukan sahaja sebagai krisis kesihatan semata-mata; ia juga merupakan sebab-akibat sebuah krisis pentadbiran yang sedia ada sekarang. Apatah lagi, jika kita melihat secara khusus kepada kemampuan sesebuah negara untuk keluar dari suasana pandemik dalam jangka masa panjang. Soalnya, adakah kita mampu?
Caca-marba isu kontrak yang berlanjutan selama lima tahun ini; yang berlaku jauh sebelum pandemik, adalah hasil puluhan tahun arus deras penswastaan, outsourcing serta dasar penjimatan (austerity) melibatkan pembangunan awam. Krisis yang kita hadapi ini jauh dari ahistorikal. Ianya merupakan rentetan kepada pengabaian dan culasnya pihak pemerintah, bukan saja di Malaysia tetapi trend di seluruh dunia, dalam melihat peri-penting perkhidmatan awam.
Kertas kerja ringkas yang diusahakan oleh UCL Institute for Innovation and Public Purpose (IIPP) yang diterajui oleh Mariana Mazzucatto ini penting dalam kita memperhalusi dampak Covid kepada sistem perkhidmatan awam yang diabaikan sejak sekian lama. Krisis memaksa kita untuk memikir ulang logik model pentadbiran sedia ada dalam membangunkan kapasiti jangka masa panjang serta orientasi pembangunan khususnya melibatkan perkhidmatan kesihatan. Dan itulah isu pokok yang membelenggu keadaan ekosistem kesihatan kita sekarang melibatkan para doktor ini.
Apa yang berlaku menunjukkan bahawa bukanlah kita ketiadaan sumber ilmu dan tenaga kerja perubatan. Ribuan graduan yang dikeluarkan saban tahun sepatutnya disalurkan untuk menampung perkhidmatan kesihatan awam kita. Sebaliknya, ia memperlihat ketidakmampuan pentadbiran dalam menguruskan dan menginovasi sumber tenaga kerja perubatan pada tempatnya khususnya dalam menambah nilai kepada perkhidmatan awam.
Memburukkan lagi keadaan adalah hampir tidak wujud sebuah pelan jangka masa panjang yang mapan dan demokratik dalam membentuk kapasiti perkhidmatan kesihatan awam di Malaysia. Bahkan, graduan perubatan pula seakan dimusuhi kononnya mengakibatkan ‘lambakan’ tenaga kerja. Logika sebeginilah yang perlu kita waspadai.
Polisi kesihatan, seperti juga perbahasan ekonomi, sepatutnya tidak cuma berlegar dan terbatas seputar soal produksi dan penggunaan semata-mata. Sebaliknya, adalah untuk memperdalam persoalan bagaimana kita mahu dan mampu mengagihkan sumber. Gawatnya pandemik hari ini memperlihat kesenjangan yang luas dalam sistem perubatan yang perlu kita perbaiki bersama.
Kenyataan dikeluarkan oleh menteri kesihatan bertarikh 23 Jun merupakan sebuah kepandiran dan selangkah ke belakang saatnya kita di tengah kancah pandemik. Tarik-tali dalam menafikan jaminan pekerjaan kepada para doktor di bawah skim kontrak yang dimulakan sejak tahun 2016 ini serta kenyataannya yang berbaur perkauman untuk hanya “memastikan graduan perubatan khususnya dalam kalangan bumiputera” saja yang berkhidmat itu sendiri cukup bermasalah.
Ditambah pula, sikap lepas tangan sebegini seakan-akan menyatakan dengan jelas bahawa para doktor berstatus kontrak ini ‘dialu-alukan’ untuk berkhidmat di luar sistem hospital awam. Seperti ditegaskan MZ, kenyataan semberono menteri ini nampaknya seperti memberi ‘lampu hijau’ kepada keputusan ribuan para doktor dalam membulat tekad untuk menjayakan hartal menjelang akhir bulan depan.
Sungguh, kita perlu akui keadaan pandemik yang semakin memburuk ini pasti terkesan dengan tindakan hartal nanti. Mengulas tentang hal ini, MZ dengan penuh tanggungjawab menyatakan bahawa beliau sendiri akan berbincang dan menyusun jadual kerja pada hari tersebut bertujuan untuk meminimumkan kesan terhadap para pesakit.
Namun, para doktor ini sendiri berada di persimpangan. Ada di antara mereka akan ditamatkan kontrak di dalam masa kurang dari lima bulan. Juga, ada yang sudah bekerja dengan bilangan cuti yang semakin berkurangan akibat sistem kontrak yang menafikan cuti tugas khas (hazard pay).
Bahkan, menambahkan betapa ironinya keadaan sekarang, MZ sendiri menyatakan bahawa tiga dari tujuh doktor yang berkhidmat di jabatannya sekarang merupakan para doktor berstatus kontrak. Kebergantungan terhadap doktor berstatus kontrak ini adalah sebuah kebiasaan. Persoalannya, bagaimana mungkin sistem perkhidmatan kesihatan seperti ini dapat bertahan saatnya para doktor bukan saja bergelut dengan ketidakstabilan pekerjaan, malahan, di tengah-tengah krisis ini dipaksa pula mereka bekerja sepenuh hati? Saya fikir, bagi para doktor untuk bekerja sepenuh hati itu bukanlah masalah utama yang dihadapi mereka sepanjang krisis.
Sebaliknya, yang memberi kesan kepada mereka adalah bolak-balik serta ketidakstabilan jaminan pekerjaan itulah yang cukup meresahkan mereka. Kita pun tahu, cukup banyak laporan bagaimana para doktor ini turut terjejas kesihatan mental mereka sendiri ekoran dari tuntutan pekerjaan. Sistem hierarki dan senioriti yang berleluasa di tempat kerja juga tidak membantu dalam mewujudkan persekitaran kerja yang baik bagi membangunkan generasi pekerja perubatan kita.
Tuntutan para doktor muda ini tidak boleh dipandang enteng. Ianya menggambarkan segala-galanya tentang generasi kita yang seakan-akan dinafikan hak bagi sebuah kelangsungan hidup yang lebih baik. Seperti dinyatakan oleh MZ, tuntutan hadir dengan niat untuk menyatakan bahawa peri-penting peranan pekerja perubatan saatnya kita di dalam ruang dan masa segenting sekarang ini. Hartal sehari akhir Julai nanti barangkali tidakkan menyelesaikan apa-apa. Namun, untuk tidak pula menggerakkannya adalah sebuah kesia-siaan.
Krisis membuka jalan untuk kita bukan saja menuntut sebuah sistem yang lebih adil, namun juga, untuk menggali permasalahan sistemik yang kita hadapi bersama. Pandemik ini hanya melondehkan segala pagar kegagalan yang kita sudah ketahui sejak sekian lama. – Jentayu (Malaysia Muda)
* MZ merupakan nama samaran seorang doktor berstatus kontrak yang bertugas di sebuah hospital awam di selatan tanahair
Zikri Rahman merupakan seorang ahli Aliran yang juga seorang pekerja budaya dan seni. Beliau aktif menulis dan menerjemah di Malaysia Muda
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme