
PH seharusnya memberikan tumpuan yang menyeluruh terhadap isu-isu negara, pentadbiran, pembuatan dasar dan perlaksanaan yang lebih praktikal, ujar WH Cheng.
Sejak daripada 9 Mei 2018 yang lalu, negara kita telah digelar “Malaysia baru” ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) di dalam pilihan raya umum 2018, di mana Pakatan Harapan (PH) berjaya memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri.
Ianya merupakan suatu keputusan yang amat mengejutkan. Ya, Malaysia baru telah bermula: rakyat jelata telah merasai kemerdekaan yang sebenarnya daripada cengkaman penjajahan Umno dan BN selama 61 tahun lamanya.
Akan tetapi di dalam Malaysia baru ini, amalan politik lama dan kuno seperti pembabitan isu-isu dan sentimen perkauman dan agama masih dapat dilihat dengan begitu jelas sekali.
Parti-parti yang kalah dalam pilihan raya umum yang lalu seperti Umno dan Pas masih dengan aksi-aksi mereka yang ketinggalan zaman, suka menggunakan tekanan politik ala perkauman dan agama bagi meraih sokongan ramai.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Di dalam perkara ini, kami juga dapati kerajaan baru pimpinan PH ini sering terperangkap dalam jaring perkauman dan agama yang sering dilontar oleh Umno dan Pas.
Akibat daripada itu, kerajaan PH sering dituduh tidak membantu masyarakat dan agama yang sepatutnya, PH dituduh membelakangi kaum dan agama tersebut, PH pula dituduh bertalu-talu kononnya telah menyebabkan kemiskinan yang melarat, kegagalan kemajuan masyarakat dan macam-macam karenah.
Adakala DAP dan PKR pula dituduh dan dihina dengan didakwanya menjadi penyebab kemunduran masyarakat tertentu.
Persoalannya, adakah PKR atau DAP wujud sejak 1950an? Adakah PH telah wujud? Adakah PH pernah berkerajaan sebelum ini? Adakah DAP pernah memerintah sejak tahun 1950an lagi?
Selama 61 tahun Umno dan BN memerintah, kemunduran masyarakat yang kononnya diperjuang dan dilindungi Umno itu terjadi disebabkan oleh angkara siapa? Siapakah yang memegang tampuk pemerintahan negara ini selama 61 tahun lamanya?
Apabila masyarakat itu mundur, apabila agama tersebut “diancam”, apabila kaum itu pula diancam kepupusan dan dibimbangi akan hilang dari dunia ini, kenapa pula si “Cina” DAP itu asyik dituduh sebagai penyebabnya? Kenapa pula si “campuran” PKR pula sering dituduh sebagai anjing suruhan sesetengah pihak dan juga sebagai penyebabnya?
Adakah hanya Umno dan Pas sahaja di dalam benua ini berupaya bertindak sebagai pejuang “agama dan bangsa” seperti yang sering didakwa itu?
Siapa sebenarnya dibelakang jutaan hinggakan berbilion ringgit dibolosi dan digelapkan tanpa disedari rupa-rupanya?
Kini ramai pemimpin Umno yang terlibat sedang menghadapi tindakan undang-undang akibat daripada perbuatan mereka sewaktu parti itu berkuasa. Ramai yang tertanya-tanya, adakah ini suatu dendam buat PH, dendam peribadi Dr Mahathir Mohamad, balasan Tuhan dan sebagainya.
Kesemua ini bukannya dendam semata-mata. Ia sebenarnya adalah jika seseorang itu disyaki mencuri dan menerima rasuah ataupun menyalahgunakan kuasa serta berbuat sesuatu yang jelas telah menyalahi undang-undang, bertindak diluar batasan perlembagaan persekutuan, maka yang bakal dihadapi para pemimpin Umno ini adalah tetap undang-undang, bukannya PH ataupun Mahathir, bukannya Lim Kit Siang ataupun Lim Guang Eng.
Para pemimpin Umno yang telah membolosi serta menggelapkan harta dan wang kerajaan wajar menghadapi tindakan undang-undang dan menerima apajua hukuman yang setimpal dengan segala dosa yang telah mereka lakukan terhadap negara ini.
Dakwanya demi mempertahankan agama dan bangsa, akan tetapi, Pas masih juga menyokong dan mendukung Umno dalam apajua perkara – termasuk para pemimpin Umno yang sedang menghadapi dakwaan salahguna kuasa, rasuah dan penggelapan wang kerajaan?
Apakah Pas ini masih buta ataupun buta huruf tidak mengenal erti jenayah, rasuah dan kecurian? Apakah Pas ini kurang pendidikan di dalam hal-hal yang berkaitan dengan dosa dan kesalahan? Jadi, Pas menyokong dan mendukung Umno demi apa? Kerana terhutang budi dengan Umno, ataupun hanya setakat hendak tumpang gembira sendiri (syiok sendiri) kerana ada ‘kawan’ yang ramai?
Di dalam menghadapi serangan Umno dan Pas yang sering mengaitkan perkauman dan agama, kerajaan PH perlu tabah dan mencabar keadaan tersebut – agar tidak terperangkap di dalam keadaan yang mengelirukan tersebut – dengan meneruskan agenda perubahan dan reformasinya, sejajar dengan manifesto pilihanrayanya yang lalu. Kepimpinan PH perlu lebih praktikal di dalam seni petadbiran mereka di Putrajaya dan kerajaan-kerajaan negeri.
Kita harus sedar, di dalam pemerintahan Umno dan BN yang lalu, bukan sahaja satu kaum ataupun masyarakat yang terpinggir atau menghadapi masalah. Rakyat jelata, tanpa mengira kaum dan agama, juga ada yang terpinggir akibat daripada sistem pemerintahan Umno dan BN yang banyak mementingkan kekayaan dan keutamaan peribadi para pemimpin mereka.
Kerajaan PH kini perlu lebih:
- menumpukan perhatian mereka di dalam mereformasikan sistem pemerintahan
- membaikpulih institusi-institusi kerajaan yang telah dicemari
- merombak struktur perkhidmatan awam dan
- melaksanakan perubahan yang lebih agresif terhadap sistem Parlimen negara kita bagi mengembalikan kuasa semak dan imbang kepada institusi perwakilan tersebut.
Institusi Parlimen yang bebas serta dasar semak dan imbang yang luas adalah perlu bagi memastikan sistem kerajaan bebas daripada apajua amalan negatif, seperti rasuah, salahguna kuasa, belanjawan yang membolos dan kecurian harta awam.
PH perlu mengutamakan tumpuan mereka terhadap perubahan di peringkat tertinggi, iaitu sistem Parlimen, sistem eksekutif dan kehakiman bagi mengembalikan keberkesanan perjalanan pentadbiran dalam negara.
PH tidak seharusnya membuang sebahagian daripada masa dan tenaganya di dalam menghadapi karenah perkauman dan agama yang sering dibangkitkan pihak lawan kerana serangan-serangan tersebut merupakan perangkap semata-mata.
Sebaliknya, PH seharusnya memberikan tumpuan yang menyeluruh terhadap isu-isu negara, pentadbiran, pembuatan dasar dan perlaksanaan yang lebih praktikal.
Sumber: g-socialaffairs.blogspot.com
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme