
Kita hidup dalam sebuah zaman yang mencabar.
Kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1989 mengalihkan imbangan kuasa kelas ke arah kanan. Dalam tempoh 32 tahun yang lalu, kapitalis terbesar telah menstrukturkan semula ekonomi global untuk memanfaatkan golongan bilionair.
Syarikat korporat besar menyumberkan luar pengeluaran mereka ke negara-negara bergaji rendah sekali gus meningkatkan keuntungan mereka.
Penyumberan luar pekerjaan perindustrian secara besar-besaran telah menghancurkan kesatuan-kesatuan sekerja di negara maju yang agak kuat sebelum ini. Pengaruh kesatuan sekerja terhadap parti-parti demokratik sosial di negara-negara maju semakin lemah sehingga menyebabkan parti-parti ini beralih ke kanan dan mengamalkan dasar neoliberal.
Dalam tempoh 15 tahun yang lalu, kita telah menyaksikan peringanan kuantitatif untuk korporat terkaya tetapi penjimatan untuk rakyat biasa. Jaringan keselamatan di negara-negara maju telah dilemahkan secara berterusan – faedah kesihatan, pendidikan tinggi yang percuma, pencen usia tua dan banyak lagi faedah, telah dikurangkan dari semasa ke semasa.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Dominasi neoliberal selama 35 tahun telah membentuk semula ekonomi global. Syarikat korporat multinasional (MNC) yang terkaya dan terbesar telah memenangi banyak konsesi melalui perjanjian-perjanjian Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas.
Perjanjian-perjanjian ini telah menyebabkan negara-negara sedang membangun lebih sukar untuk membangunkan perindustrian mereka sendiri.
Kita sekarang ini dikehendaki untuk memberikan apa yang dikenali sebagai “layanan nasional” kepada MNC. Negara-negara sedang membangun perlu memberikan terma-terma yang sama kepada MNC seperti apa yang kita berikan kepada syarikat-syarikat tempatan kita.
Pasa masa yang sama, hak harta intelek telah dipertingkatkan lagi sehingga menyukarkan lagi negara-negara sedang membangun untuk membina asas perindustrian tempatan.
Akibatnya, pembangunan industri di kebanyakan negara-negara dunia ketiga terikat kepada rantaian global yang didominasi oleh MNC. MNC menurunkan harga barangan yang dikeluarkan di negara-negara sedang membangun sekali gus memindahkan sebahagian besar surplus ke dalam poket mereka.
Gaji minimum di California sekarang ialah $14 (RM59) sejam. Jika anda mengira berasaskan kerja lapan jam sehari dan 22 hari kerja sebulan dan kadar pertukaran RM4.20 untuk setiap dolar Amerika Syarikat, gaji minimum di California adalah lebih daripada RM10,000 sebulan.
Gaji minimum di Malaysia sekarang ialah RM1,200 sebulan – kurang daripada satu perlapan gaji minimum di California.
Penilaian-kurang buruh yang melampau di dunia ketiga ini telah mengakibatkan pemindahan kekayaan secara besar-besaran kepada MNC yang terletak di AS, Eropah dan Jepun. Penjarahan terhadap Asia, Afrika dan Amerika Latin yang bermula sejak 500 tahun dahulu masih berterusan pada hari ini.
Penekanan gaji di negara-negara sedang membangun ialah imej terbalik keuntungan hebat MNC terbesar. Pembahagian pendapatan global menjadi lebih terpencong lagi dengan golongan 0.1% yang teratas menerima bahagian pendapatan global yang lebih besar setiap tahun.
Kerajaan boleh mengimbangi gaji rendah dengan menyediakan perkhidmatan sosial yang disubsidi. Namun untuk melakukan ini, kerajaan perlukan hasil pendapatan yang cukup besar.
Malangnya, cukai korporat telah dikurangkan di seluruh dunia – di Malaysia, ia adalah 40% daripada keuntungan pada tahun 1980-an. Sejak tahun 1988, ia telah dikurangkan secara berperingkat. Cukai korporat sekarang hanya 24% daripada keuntungan di Malaysia, dan kerajaan kita mahu mengurangkannya lagi kerana cukai korporat di Thailand hanya 19% daripada keuntungan.
Negara Malaysia sedang bersaing dengan Thailand dan Indonesia untuk menarik pelabur. Pengurangan kadar cukai korporat ini sedang berlaku di seluruh dunia.
Banyak kerajaan takut bahawa pengenalan cukai kekayaan akan menyebabkan perpindahan syarikat korporat terbesar di negara mereka ke negara-negara lain. Baru dua minggu yang lalu, syarikat Shell di Belanda memutuskan untuk memindahkan ibupejabatnya ke Britain kerana Shell tidak berpuas hati dengan cukai 15% ke atas dividen yang digubal oleh Parlimen Belanda.
Akibat daripada penurunan kadar cukai korporat, kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan bagi rakyat. Begitu juga kerajaan tidak mempunyai dana untuk melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, bas elektrik untuk pengangkutan awam dan penghutanan semula.
Kerajaan berpura-pura untuk menangani perubahan iklim tetapi mempunyai masalah untuk cakap serupa bikin kerana mereka tidak mempunyai dana yang mencukupi. Banyak kerajaan, termasuk kerajaan Malaysia, terlibat dalam agak banyak usaha greenwashing (berpura-pura melindungi alam sekitar).
Wujudnya keperluan terdesak untuk golongan kiri melangkah ke hadapan dan memberikan idea serta kepimpinan untuk mengemudi masyarakat kita ke arah yang lebih adil dan mampan. Untuk melakukan ini, kita perlu jelas tentang program transisi yang kita kemukakan kepada rakyat kita. Program ini haruslah sesuatu yang dapat difahami dan dipersetujui oleh majoriti rakyat kita.
Kita tidak boleh salin-dan-tampal slogan-slogan yang hanya relevan 60 tahun dahulu. Kita perlukan analisis yang realistik tentang apa yang harus dilakukan sekarang – tentang apa yang boleh dilakukan – dalam jangka masa terdekat dan sederhana.
Kita perlu dapat memberitahu rakyat kita bahawa kita akan melakukannya berbeza daripada kerajaan yang berkuasa sekarang, jika kita berkuasa di dalam negara kita masing-masing; dan bagaimana kita merancang untuk melakukannya.
Malaysia secara relatifnya ialah sebuah negara kecil yang sangat bergantung pada perdagangan. Nilai eksport Malaysia ialah lebih kurang 65% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Jika Parti Sosialis Malaysia (PSM) adalah serius untuk menjadi kuasa politik yang dominan di Malaysia, kita perlukan satu naratif yang menyakinkan berkenaan beberapa isu, termasuk bagaimana sebuah gabungan sosialis akan menguruskan ekonomi Malaysia supaya sebahagian besar kekayaan yang dicipta itu dipulangkan kepada rakyat melalui gaji yang lebih baik dan perlindungan sosial yang lebih komprehensif, tetapi tanpa menyebabkan pengaliran keluar modal dan pengangguran.
Bagaimana kita memperkasakan rakyat biasa di tempat-tempat kerja dan kawasan-kawasan kejiranan di mana mereka tinggal?
Bagaimana kita akan menangani perpecahan etnik – di mana sekarang kita berada dalam sebuah masyarakat yang agak berpecah-belah? Bagaimana kita menangani tuntutan yang sah tetapi kadang-kadang saling bercanggah daripada kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza?
Bagaimana kita menangani cabaran daripada usaha kuasa imperialis yang mencetuskan masalah dengan menggunakan kumpulan-kumpulan agama yang konservatif?
Apa yang kita akan lakukan segera mengenai perubahan iklim? Bagaimana kita mendapatkan sumber kewangan untuk semua inisatif ini?
Bagaimana gabungan kiri dapat memastikan ahli-ahli parlimennya dan pemimpin-pemimpin yang lain tidak dibeli oleh kelas korporat?
Hanya apabila kita memberikan jawapan yang jelas dan menyakinkan untuk persoalan-persoalan ini, kita baru dapat memujuk rakyat ke pihak kita dan muncul sebagai sebuah kuasa politik yang dominan di dalam negara.
Inilah kenapa persidangan seperti ini adalah penting. Ini kerana perbincangan ini akan membantu dalam membina pemahaman kita tentang zaman kita dan membolehkan kita dalam merumuskan sebuah visi untuk negara kita yang boleh dicapai dan bergema dengan aspirasi rakyat biasa.
Marilah kita memfokus pada mengubah masyarakat kita dalam dua dekad akan datang ini. Semoga idea-idea yang kita bincangkan … akan membantu kita dalam membina gerakan kita demi membawa perubahan ini….
Terjemahan dalam Bahasa Melayu teks ucapan yang disampaikan oleh Dr Jeyakumar Devaraj semasa sesi pembukaan Forum Sosialisme 2021 yang diadakan pada 27 November 2021.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme