Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan satu lagi tajuk, kini berlaku pula di dalam program imunisasi Covid kebangsaan yang dikelolakan oleh kerajaan melalui menteri penyelarasnya, Khairy Jamaluddin, sambil dibantu oleh Menteri Kesihatan Adham Baba, yang sebelum ini didapati tidak cekap dalam menguruskan perlaksanaan tersebut.
Apakah sebenarnya sedang berlaku ini? Kenapa ada segelintir petugas program imunisasi yang sanggup mencuri dan menipu para penerima vaksin dengan memberikan suntikan palsu, picagari kosong untuk menyuntik para penerima? Agaknya sudah berapa penerima yang telah ditipu? Satu kes sudahpun disahkan, manakala beberapa kes lagi sedang dalam siasatan.
Sekiranya kes kecurian dan penipuan bekalan vaksin di dalam program vaksinasi kelolaan program imunisasi Covid kebangsaan ini benar-benar berlaku dan ianya didalangi oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang bertujuan untuk mengaut keuntungan, ianya akan merupakan satu skandal ataupun kleptokrasi yang wajar disiasat dengan teliti bagi membendung amalan tersebut daripada terus merebak ke seluruh negara. Selain itu, perbuatan ini juga dilihat suatu bentuk pengkhianatan baru yang belum pernah kita saksikan.
Nampaknya kleptokrasi ini bukan sahaja telah menular di dalam Mara, Felda, Tabung Haji, 1MDB, SRC International, PKFZ dan sebagainya, kerana kleptokrasi ini masih aktif dan kini tular pula, kali ini di dalam program imunisasi covid kebangsaan yang sedang dikendalikan oleh kerajaan yang diterajui Perikatan Nasional pimpinan Mahiaddin Yasin.
Negara kita kini sedang menghadapi krisis kesihatan yang paling buruk pernah berlaku dalam sejarah, diburukkan lagi dengan ketidakcekapan kerajaan dalam pengurusan krisis kesihatan tersebut di mana perintah kawalan pergerakan telah berlanjutan berbulan-bulan lamanya, sudah menghampiri genap dua tahun. Ramai yang terputus bekalan makanan, hilang pekerjaan dan punca pendapatan. Perniagaan tidak dapat beroperasi. Syarikat-syarikat perniagaan dan pembuatan menjadi bankrap. Kadar inflasi semakin meningkat. Terdapat juga kekurangan bekalan makanan di beberapa kawasan berikutan kesukaran pergerakan dan pengedaran sewaktu perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Tambahan pula dengan perintah darurat, ia memburukkan lagi keadaan apabila kerajaan ini berbelanja secara memboros, tidak dapat dikawal atau diteliti oleh Parlimen seperti yang sepatutnya. Keadaan dalam pentadbiran PN ini kucar-kacir. Ada kegiatan perolehan awam yang nampaknya melebihi harga pasaran. Keadaan sekarang penuh dengan prosedur operasi standard dan larangan atau kebenaran yang mengelirukan serta bertindih di antara satu sama lain, serta berlaku pelanggaran demi pelanggaran prosedur ini oleh menteri-menteri dan para pemimpin PN yang kerap. Tidak ada penyelarasan yang menyeluruh bagi memastikan kecairan maklumat yang betul, tepat serta kena pada masanya bagi membantu rakyat jelata mengatasi segala cabaran berikutan perintah kawalan pergerakan yang telah banyak menghadkan kegiatan harian.
Dalam keadaan yang kelam kabut ini, golongan kleptokrat-ala baru ini mula mengambil kesempatan, kini sasarannya adalah pada program imunisasi yang kini sedang dilaksanakan di seluruh negara, memandangkan ianya sedang dalam keadaan yang kurang teratur. Agaknya sudah berapa penerima vaksin yang telah ditipu dan disuntik dengan menggunakan picagari kosong? Jika sekiranya didapati sah, adakah berlakunya puluhan suntikan kosong, mungkin ratusan atau ribuan suntikan kosong juga boleh berlaku di pusat penerimaan vaksin di seluruh negara? Jadi, di manakah bekalan vaksin yang dicuri itu akan dihantar atau dijual? Di pasaran gelap?
Masih belum pasti lagi bagaimana golongan kleptokrat imunisasi ini beroperasi dan siapakah dalangnya di sebalik “operasi menggelapkan vaksin” tersebut. Adakah kalangan para pemimpin PN itu sendiri yang telibat, kita belum pasti lagi kerana komplikasi perlaksanaan program imunisasi ini yang masih menampakkan banyak masalah sehinggakan kategori penerima vaksin yang sepatutnya berdasarkan kumpulan usia seseorang kini telah dipecahbelahkan mengikut sektor-sektor awam atau komersial yang dianggap “penting” oleh kerajaan agar ianya dapat meneruskan “penggembangan ekonomi”nya untuk negara.
Bukan sahaja pihak polis harus mengambil tindakan, menyiasat dan sebagainya, bahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga wajar turun padang bagi mendalami siasatan tersebut dan bukan sekadar menunggu laporan diterima terlebih dahulu, baru mengambil tindakan. Di manakah inisiatif SPRM dalam membendung rasuah dan salahguna kuasa?
Penyalahgunaan kuasa di dalam program imunisasi ini rasanya bukan satu perkara kecil ataupun dilakukan oleh pencuri-pencuri yang menceburi “bidang” tersebut. Adakah ianya didalangi oleh pihak-pihak atasan dalam pentadbiran yang punyai kepentingan tertentu, yang jelas dengan keadaan, inventori dan kadar pasaran serta permintaan bekalan vaksin tersebut? – whcheng18.wordpress.com
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme