Surat terbuka ini saya tujukan kepada ketua menteri Pulau Pinang sebagai menjawab tujuh perkara utama daripada kenyataan media pada 13 Jun 2021 yang bertajuk “Kenyataan balas berhubung isu sumber perikanan di tapak projek tambakan selatan Pulau Pinang (PSR)”.
Saya nyatakan jawapan-jawapan bagi setiap perkara utama seperti berikut;
1. Pulau Pinang kehilangan peluang untuk membangun
Sebenarnya, kerajaan negeri akan kehilangan peluang pemilikan 70% daripada pegangan Pulau A jika projek tambakan selatan Pulau Pinang diteruskan.
Pulau Pinang tak pernah kehilangan peluang membangun tanpa tambakan laut. Pembangunan Seberang Perai adalah masa depan Pulau Pinang yang mesti diutamakan, dan sudah tentu gadaian 70% pegangan Pulau A dapat dielakkan.
Apa yang sedang dibuat oleh kerajaan negeri sekarang umpama “si suami mahu bermewah dengan berhutang membeli kereta mahal, namun barang kemas isteri digadaikan”. Idea pembangunan kononnya bijak, rupanya dengan menggadai hak milik awam.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Selain itu, peluang untuk tender terbuka bagi pelaksanaan projek ini juga hilang. Ini berlaku apabila SRS diizinkan oleh kerajaan negeri menjadi pembangun projek dan kontraktor turnkey, di mana masing-masing mendapat peluang secara runding terus.
Ke mana perginya seruan ‘open tender’ kerajaan negeri Pulau Pinang selama ini? Telah hanyut dibuai kepentingan tertentukah, atau terlalu terdesak untuk teruskan projek tambakan selatan Pulau Pinang walaupun dengan menggadai tanah pesisir pantai strategik demi pemaju kesayangan?
2. Pulau Pinang kehilangan peluang mewujudkan pekerjaan untuk rakyat (setelah melaksanakan projek tambak laut)
Jika benar projek tambak laut mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat, apa sudah jadi dengan projek tambakan Seri Tanjong Pinang fasa dua yang sedang terbengkalai kini?
Berapa banyak peluang pekerjaan yang ada dalam kalangan rakyat berbanding untuk pekerja asing? Berapa banyak peluang kerja yang sesuai untuk nelayan?
Pada hemat saya, kalau tambakan Seri Tanjung Pinang fase dua pun sedang nyawa-nyawa ikan mencari pelabur sekarang, jangan bermimpi di siang hari untuk mampu mengurus projek tambakan selatan Pulau Pinang!
3. Nelayan dikatakan mendapat manfaat ‘social impact management plan’ yang boleh memperbaiki sosioekonomi
Cukuplah dengan janji palsu yang tiada hitam putih tersebut. Pemberian RM20,000 hanya untuk tekong bot untuk seumur hidup pun sudah dikira penghinaan terhadap nelayan. Untuk rekod, saguhati seumur hidup awak-awak adalah kurang daripada amaun tersebut.
Apa kata saya cadangkan ketua menteri dan ahli-ahli dewan undangan negeri yang menyokong projek tambakan selatan Pulau Pinang, ambil sahaja pakej RM20,000 seumur hidup tersebut. Kemudian sebagai tukar ganti, berikan gaji-gaji ketua menteri dan semua ahli dewan negeri kepada nelayan terjejas.
Kalau begitulah tawarannya, barulah padan untuk ketua menteri bercakap soal memperbaiki sosioekonomi.
4. Nelayan masih ada tempat yang luas untuk aktiviti penangkapan di luar kawasan projek tambakan selatan Pulau Pinang
Sepatutnya kawasan tambakan selatan Pulau Pinang perlu dibuat jauh daripada kawasan berteluk strategik pembiakan ikan dan udang tersebut.
Dengan logik yang sama, apa salahnya jika tambakan laut selatan Pulau Pinang dibuat di kawasan luas lautan kira-kira lebih 10 batu nautika luar daripada pesisir pantai Pulau Pinang.
Sudah tentu laluan khas alur navigasi seluas 250 meter tak diperlukan lagi. Sudah tentu penghuni-penghuni tambakan selatan Pulau Pinang nanti lebih privasi dan aman di tengah laut.
Kenapa kerajaan negeri perlu merampas kawasan penangkapan nelayan yang subur tersebut?
5. Kawasan selatan hanya menyumbang 4% kepada pengeluaran ikan pada 2015
Jika benar pengeluaran ikan adalah 4%, ini bermakna selama ini kerajaan negeri seolah-olah sengaja membiarkan pengeluaran tersebut rendah untuk dijadikan alasan bagi menyokong projek tambakan selatan Pulau Pinang. Sangat tidak wajar jika kegagalan terancang direncana secara licik demi agenda jahat tambakan selatan Pulau Pinang?
Seharusnya kerajaan negeri harus fokus mempertingkatkan angka 4%, bukan melaksanakan tambakan selatan Pulau Pinang, yang boleh menjatuhkan lagi angka pengeluaran perikanan tersebut.
6. Kerajaan negeri akan memastikan kerja penambakan berlaku secara terkawal dan tidak menyebabkan pencemaran
Banyak sangat janji yang tak ditepati bahkan menyebabkan bencana. Tambakan laut Seri Tangjung Pinang fasa dua adalah bukti nyata bahawa laut di kawasan Tanjong Tokong telah tercemar. Kenapa harus berpura-pura tak tahu hal ini?
Kerajaan negeri mempunyai rekod gagal mengawal projek pembangunan yang menyebabkan bencana dan kematian seperti insiden Bukit Kukus dan Granito, Tanjong Bungah. Hasil siasatan disorok daripada pengetahuan masyarakat awam sehingga sekarang.
Projek tambakan selatan Pulau Pinang dengan kehadiran kapal-kapal korek yang mengangkut sisa akan berisiko mempertaruhkan nyawa nelayan dengan bot-bot kecil mereka apabila trafik laluan air di kawasan berkenaan menjadi sibuk.
7. Kerajaan negeri ingin menegaskan mereka tidak perlu membuat pilihan iaitu antara membangunkan PSR dan membela nasib nelayan demi keselamatan makanan. Kononnya kedua-duanya boleh dipilih
Apa yang berlaku sebenarnya adalah kerajaan negeri memilih untuk:
- mengutamakan kepentingan pemaju projek tambakan selatan Pulau Pinang dengan menggadaikan 70% pegangan Pulau A
- mengganggu ekosistem kawasan subur penangkapan ikan yang kos efektif untuk nelayan pantai beroperasi kerana dekat dengan pantai
- menghalau nelayan bot kecil untuk pergi jauh daripada laut pesisir pantai
Nelayan terus terpaksa tanggung kos tinggi untuk beroperasi, dan pemaju kesayangan terus suka hati atas tawaran istimewa daripada kerajaan negeri sebagai rakan kongsi kesayangan.
Sayang sungguh kerajaan negeri kepada pemaju SRS, ya? Inikah yang dimaksudkan dengan “tidak berniat untuk meremehkan sumbangan nelayan pesisir pantai”? Bagaikan “anak kera dihutan disusukan, anak sendiri di rumah bakal mati kelaparan”.
Semoga jawapan yang saya kemukakan ini dapat diterima dengan hati yang terbuka oleh ketua menteri dan cukup untuk semua pihak membuat penilaian tentang malapetaka yang cuba dinafikan.
Zikrullah Ismail ialah seorang aktivis di Pulau Pinang
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme