Home Web Specials Memartabatkan Bahasa Melayu?

Memartabatkan Bahasa Melayu?

Untuk memperjuangkan bahasa, kita perlu bertenang-tenang dan bantulah dalam mengembangkan sastera dan dunia penulisan sendiri

MORALES/UNSPLASH

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Izzuddin Ramli

Saya tidak pasti kalau tindakan Tuan Ibrahim Tuan Man yang berbahasa Melayu di PBB atau Ismail Sabri ketika bertemu Prayuth Chan o-cha di Bangkok merupakan satu tanda kemenangan besar buat bahasa itu.

Apatah lagi kalau alasannya semata-mata kerana mereka tidak tahu atau tidak yakin untuk berbahasa Inggeris.

Namun, tidak sedikit yang merasa bahawa bahasa Melayu akhirnya sudah terbela dan dimartabatkan ketika dua orang pemimpin negara dengan bangga berbicara dalam bahasa sendiri di pertemuan antarabangsa.

Alasan keraguan saya mudah.

Pertama, seperti kebanyakan orang lain yang bahasa Inggeris bukan bahasa ibunda mereka, saya memang menanggapi bahasa itu selayaknya sebuah lingua franca – dipelajari dan dituturkan kerana terpaksa. Bahasa Melayu sendiri – setidak-tidaknya di wilayah-wilayah pelabuhan di Kepulauan Melayu – pernah memegang status bahasa pengantar atau penyatu ini. Maka, saya mempelajari dan bertutur dalam bahasa Inggeris dalam keadaan yang memerlukan saya untuk berbahasa itu. Mungkin bukan di pasar, tetapi dalam situasi kerja, ketika bertemu orang yang – mahu tidak mahu – memerlukan bahasa Inggeris kalau ingin memahami satu sama lain.

Alasan kedua mungkin kerana saya tidak pernah merasakan bahawa bahasa Melayu sedang dibunuh atau dihina apabila saya, dalam keadaan tertentu, memilih untuk berbahasa Inggeris atau mencampuradukkan bahasa ketika bertutur.

Tidak seperti bahasa Inggeris, bahasa Melayu adalah bahasa ibunda yang tidak sengaja saya kuasai. Saya dilahirkan dan membesar dalam bahasa tersebut – seperti ramai orang lain di negara ini yang hidup dalam bahasa ibunda masing-masing. Melalui bahasa Melayu saya berfikir dan membentuk salah satu dunia, di samping bahasa-bahasa lain yang saya kenali, khususnya Inggeris.

READ MORE:  Are we serious about improving English proficiency or just bulls****ing!

Maka, tindakan seseorang wakil negara bertutur di pertemuan antarabangsa dalam bahasa yang difahami semua – dalam kes ini, bahasa Inggeris – didorong tidak lebih daripada sekadar satu keperluan. Tidak ada pertarungan antara bahasa dan tidak ada apa yang ingin dimenangi oleh bahasa dalam keadaan sempit seperti itu.

Bahasa Inggeris – atau apa sahaja bahasa yang mungkin akan menjadi bahasa penghantar pada masa hadapan – adalah salah satu daripada banyak tempat bertemu sebelum kita berangkat ke bahasa-bahasa lain. Oleh itu, perjuangan terhadap bahasa, kalaupun ada, terletak di arena lain.

Namun, itu yang selalunya terjadi kepada bahasa kalau di tangan negara – atau apa sahaja bentuk kekuasaan. Bahasa dibawa masuk ke ranah politik dan menjadi seperti objek dan lambang yang boleh dipegang-pegang lalu bermati-matian dipertahankan.

Maka, tidak pelik jika ada orang yang selama ini tidak pernah mengendahkan atau benar-benar bergelumang dengan bahasa, berdiri di barisan paling depan dalam tunjuk perasaan memartabatkan bahasa. Di sini, bahasa seringkali menjadi umpan untuk meraih kekuasaan.

Malah, di negara ini kita bertemu dengan ironinya. Sejak merdeka lagi, bahasa Melayu – yang sudah pun menjadi bahasa perantara – diinstitusikan menjadi bahasa rasmi negara. Sekolah dan pejabat kerajaan wajib menggunakan bahasa Melayu ketika berurusan.

Bahasa ini juga dijamin lagi keberlangsungannya melalui penubuhan badan khusus seperti Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menyelia penggunaan bahasa Melayu dan perkembangan sastera.

Tidak terkecuali kelebihan Akta Bahasa Kebangsaan yang diluluskan pada tahun 1963.

Sekalipun demikian, kita – atau tepatnya orang politik – tetap sahaja resah.

Mungkin kita tidak perlu berbuat apa-apa kepada bahasa. Bahasa – baik apa pun rupanya – perlu dibiarkan sendiri, dan tidak perlu dibela. Kalaupun negara tetap ingin masuk campur dalam cara kita berbahasa, peranan negara sudah cukup sekadar memastikan adanya ruang untuk apa sahaja bahasa dipelajari, dituturkan dan dikembangkan dengan lebih alami.

READ MORE:  DLP controversy: Recycling of failed PPSMI

Hakikatnya, bahasa tidak berkembang atau terbela dengan sekelip mata melalui paksaan, tetapi dalam jangka panjang lewat penyemaian.

Saya kira, kerja-kerja sebenar dalam mempertahankan dan mengembangkan bahasa selama ini bukan dilakukan oleh orang politik atau negara, tetapi di peringkat bawah oleh para penulis, penyair, atau lebih umum, oleh kesusasteraan.

Jadi, letak duduk sesuatu bahasa dinilai bukan kepada kebolehan seseorang pemimpin untuk berucap dalam bahasa sendiri di pentas antarabangsa, tetapi lewat karya-karya sastera, kegiatan penulisan, industri perbukuan, serta wacana-wacana bahasa yang terjadi dalam sesuatu bahasa tersebut.

Tidak ada orang yang lebih akrab dengan bahasa selain daripada seorang penulis – baik yang mengarang prosa ataupun puisi.

Tetapi, jauh dari sekadar lambang, di tangan penulis, bahasa menjadi alat dan wadah yang tidak ada sucinya, senantiasa anjal, dan terbuka untuk dimanipulasikan. Hampir setiap hari penulis dan penyair bergulat dengan bahasa. Melalui sastera dan penulisan, mereka menguji cuba keupayaan bahasa untuk mengungkapkan. Malah, penulis juga tidak berbalah dengan bahasa lain, tetapi asyik berkelahi dengan bahasa sendiri.

Kita juga barangkali akan menemui kekuatan, politik dan sifat mudah lentur bahasa dalam tradisi lisan yang sudah berakar panjang dalam masyarakat negara ini. Hanya sahaja, kita tidak terlalu memberi tumpuan terhadapnya.

Di ranah paling bawah ini – di sastera atau persuratan – bahasa berkembang dan mencari tempatnya melalui proses penawaran dan penolakan, melalui perhubungannya dengan pelbagai bahasa lain. Hal ini misalnya lebih jelas dapat dilihat melalui kerja-kerja penterjemahan dan penyaduran yang sudah lama diusahakan oleh para pesilat bahasa kita. Karya-karya sastera dan bahasa secara umum tidak mungkin dapat dikenali tanpa adanya pertembungan seperti ini.

READ MORE:  Dual-language programme: How political meddling is failing Malaysia's students

Bahasa Melayu sendiri pernah berkembang dan menjadi bahasa kosmopolitan, digunakan tidak hanya dalam urusan jual beli, tetapi juga dalam mengurus tadbir masyarakat. Namun, ia tidak terjadi dengan semena-menanya.

Tidak berlebihan jika dikatakan bahawa dengan kehadiran bahasa Inggeris – atau lebih tepatnya kerana pertemuan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sejak sekian lama – maka kita akhirnya menjadi lebih mudah berhubungan dengan masyarakat dari luar kebudayaan sendiri. Malah, tidak hanya bahasa Inggeris, bahasa Melayu juga turut berterima kasih dengan adanya bahasa-bahasa dunia lain seperti bahasa Arab, Sanskrit, Parsi, Portugis, mahupun Belanda.

Bagi saya, tumpuan utama yang harus diberikan bukanlah terhadap keupayaan kita untuk menyusun dan menyebut kata-kata Melayu di luar lingkungan sendiri, tetapi terhadap usaha untuk menawarkan cara pandang dunia kita ke luar. Dengan itu, kita tidak menjadi terlalu tegar dengan bahasa, sebaliknya lebih senang bermain-main dengan kecantikan dan kejelikan atau kesempitan dan keluasan bahasa.

Jadi, untuk memperjuangkan bahasa, kita perlu bertenang-tenang dan bantulah dalam mengembangkan sastera dan dunia penulisan sendiri. – Suara Nadi, Penang Institute

Izzuddin Ramli merupakan penyelidik di program kajian sejarah dan serantau, Penang Institute dan ahli Aliran

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x