Semakin
hari Dr. Mahathir kelihatannya semakin tidak sabar untuk
menyingkirkan Abdullah Badawi. Namun senario yang diharapkannya ialah
supaya PM itu disingkirkan oleh Umno sendiri – bukan melalui proses
yang melibatkan pihak pembangkang di Parlimen. Alasan
tersiratnya amat jelas: Jika Abdullah tersingkir oleh Umno
kemungkinan beliau digantikan oleh seseorang dalam Umno sendiri akan
memungkinkan Mahathir terus memanipulasi situasi politik negara ini
dari belakang tabir, lebih-lebih lagi jika si pengganti itu terdiri
daripada para sekutu yang boleh terus dimanipulasinya. Demikian ulasan daripada Rustam Sani.
Oleh
kerana itulah Dr Mahathir bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja
yang berusaha menjatuhkan Abdullah dalam kerangka percaturan politik
kini, termasuklah inisiatif Ku Li. Kinipun beliau sudah menjadi
penceramah favorit dalam kegiatan-kegiatan demikian oleh beberapa
Bahagian dan kelompok dalam Umno.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Namun,
Dr. Mahathir juga sering berhadapan dengan suatu masalah setiap kali
dia mengkritik Abdullah. Bagi setiap “kelemahan” yang
ditimbulkannya, orang akan bertanya tidakkah kelemahan Dr. Mahathir
juga jauh lebih besar, bahkan bukankah dia sendiri yang telah
memulakan kelemahan-kelemahan tersebut?
Lebih
jauh lagi, orang akan bertanya bukankah Mahathir sendiri yang
bertanggungjawab bagi peningkatan kerjaya politik dan pemilihan
Abdullah Badawi sebagai PM? Bukankah monster yang kita hadapi kini
merupakan monster ciptaan Dr. Mahathir?
Oleh
kerana itu di Kajang baru-baru ini, untuk kesekian kalinya, Dr.
Mahathir telah membuat pengakuan bahawa pemilihan dan peningkatan
Abdullah untuk jawatan yang dipegangnya sekarang merupakan
kesilapannya sendiri.
Sebagaimana
biasa, Dr. Mahathir mencoba berselindung di sebalik kelemahan
manusiawinya yang menyebabkan dia menjadi “a very bad judge of
human character”. Menurutnya, pada waktu itu dia telah tersalah
tanggap sifat dan sahsiah Abdullah Badawi yang sebenarnya, kerana
pada waktu itu dia terkenal sebagai “Mr. Clean”.
Soalnya
ialah: Pernahkah Dr Mahathir benar-benar berminat untuk mencari
seorang yang bersih, seorang Mr. Clean, dalam pasukan pimpinannya
maupun dalam kabinetnya?
Dan
kini setelah melihat Abdullah beberapa tahun bertindak sebagai
seseorang yang berkuasa, dia amat menyesali peranannya memilih
Abdullah dahulu. Oleh kerana itulah dia kini begitu ghairah
mengkritik Abdullah – dan berusaha menjatuhkannya!
Bagi
saya alasan yang diutarakan Dr Mahathir ini merupakan alasan yang
amat lemah, penjelasan yang tidak tulus dan sengaja diada-adakan.
Pengunduran
Dr. Mahathir dari kekuasaan yang dipegangnya selama lebih dua
dasawarsa itu bukanlah pengunduran yang berlaku dengan tiba-tiba.
Sejak Umno dan BN menghadapi kekalahan teruk pada tahun 1999 (hampir
sama teruknya dengan kekalahan tahun 2008), Dr Mahathir telah
berusaha keras untuk memulihkan Umno.
Menjelang
tahun 2003 usahanya itu ternyata gagal. Dr. Mahathir mulai sedar
bahawa BN dan Umno akan menghadapi malapetaka yang lebih besar jika
dia sendiri terus memimpin parti itu dalam pilihanraya yang
berikutnya – dijangka akan berlangsung pada tahun 2004.
Dr.
Mahathir ingin meneruskan zaman pemerintahannya yang sudah lama itu,
namun keadaan tidak lagi mengizinkan. Oleh itu, dia sejak beberapa
lama sudah merencanakan pengundurannya tetapi dengan hasrat
terselindung untuk terus dapat mempertahankan legacy dan kepentingan
diri dan keluarganya.
Oleh
yang demikian, dia tidak berminat untuk mencari seorang pengganti
yang dijangka akan lebih mantap daripada dirinya sendiri – dan
dengan itu akan dapat menghindarkan kemungkinan kegemilangan zaman
dan dirinya dimalapkan oleh kejituan penggantinya itu.
Abdullah
Badawi merupakan pilihan yang dilakukan secara sedar oleh Dr Mahathir
dalam kerangka rancangan “pengunduran dirinya” yang palsu dan
tidak berniat murni itu.
Dr
Mahathir bukan baru mengenal Abdullah – dia merupakan rakan
sejawatannya dalam kerajaan dan dalam Umno selama berdekad-dekad
lamanya. Malah dia pernah menjadi musuh – dan disingkirkan –
kerana keterlibatannya dengan kelompok Ku Li yang telah mencabar
kepimpinan Dr Mahathir.
Oleh
yang demikian, tentulah mustahil Dr Mahathir tidak mengenal Abdullah
Badawi yang sebenarnya, menyedari segala kekuatan dan kelemahannya,
apakah beliau merupakan “bahan” yang wajar dijadikan calon PM
negara ini.
Namun
pemilihan Abadullah telah dirancang dengan tujuan tertentu.
Oleh
yang demikian, banyak orang yang terperanjat dan kaget, apabila Dr
Mahathir pada mulanya memilih Abdullah sebagai timbalannya dalam Umno
dan dalam kerajaan – melangkahi beberapa tokoh lain yang jauh lebih
tinggi kedudukannya dalam hirarki kepimpinan Umno.
Nyatalah
bahawa Abdullah telah dipilih (mengatasi tokoh-tokoh lain itu) bukan
kerana kekuatan dan kelebihannya – malah kerana kelemahannya.
“Kelemahan” itu diperlukan sebagai semacam jaminan bahawa
legacynya sendiri tidak akan dimalapkan dan diatasi (overshadow) dan
penggantinya itu akan terus dapat dimanipulasi untuk terus melindungi
kepentingan dirinya sendiri.
Salah
satu faktor besar yang menjadi pertimbangan Dr. Mahathir dalam
membuat perkiraan tentang penggantinya itu ialah Anwar Ibrahim yang
ketika itu sedang meringkuk di penjara Sungai Buloh.
Dr
Mahathir perlu memastikan bahawa si penggantinya kelak merupakan
seseorang yang tidak begitu bersimpati (malah kalau boleh bersikap
amat membenci dan memusuhi) terhadap Anwar demi menjamin bahawa
nemesisnya itu tidak akan kembali dengan segala kekuatannya untuk
menghantui Dr. Mahathir pada waktu zaman persaraannya kelak.
Dan
siapakah yamg lebih membenci Anwar Ibrahim pada waktu itu,
berdasarkan sejarah persaingan antara mereka dalam konteks kepimpinan
Umno, kepimpinan Umno Pulau Pinang, persaingan dalam sejarah
gerakan-gerakan pelajar yang mereka pimpin (PKPIM dan GPMS)?
Dr
Mahathir memerlukan Abdullah sebagai tangkal untuk menghindar rasukan
momok Anwar Ibrahim yang masih bertapa di Sungai Buloh ketika itu.
Sewaktu
Dr Mahathir mengumumkan pengunduran dirinya dalam suatu peristiwa
yang penuh drama dan air mata di pentas Perhimpunan Agung Umno pada
tahun 2003, kedudukan Abdullah sebagai penggantinya telah menjadi
begitu kuat dan mantap.
Abdullah
seterusnya memperoleh kemenangan dan mandat besar dalam PRU-11 pada
tahun 2004 – bukan atas reputasi dirinya sebagai penerus warisan Dr
Mahathir tetapi sebagai pengganti Mahathir. Abdullah mwmpin BN dalam
pilihanraya tahun 2004 itu sebagai lambang cahaya baru dan harapan
baru setelah tiga dekad yang muram lagi melemaskan di bawah Dr
Mahathir.
Kemenangan
besar Abdullah itu sesungguhnya merupakan kekecewaan pertama bagi Dr
Mahathir dalam keresahannya untuk memastikan bahawa legasinya tidak
diatasi oleh penggantinya.
Kekecewaan
itu semakin hari semakin bertambah pula, berikutan dengan langkah
Abdullah menguak ketepi beberapa rancangan dan dasar yang telah
dimulakannya – dan dengan Abdullah sendiri mula memantapkan amalan
kronisme dan nepotismenya sendiri pula.
Oleh
yang demikian, dakwaan Dr Mahathir bahawa perlantikan Abdullah
sebagai penggantinya itu merupakan suatu kesilapan merupakan dakwaan
yang tidak berasas dan tidak boleh dipercayai. Malah perlantikan itu
merupakan suatu rencana jahat yang ternyata tidak menjadi.
Kini,
Dr Mahathir tampaknya sedang berusaha gigih untuk memastikan bahawa
Abdullah Badawi akan tumbang melalui proses yang berlaku dalam batang
tubuh Umno sendiri. Sebab itu dia tidak sekadar rajin berceramah di
majlis anjuran Bahagian-Bahagian Umno yang anti-Abdullah dan
memberikan sokongan kepada beberapa inisiatif seperti inisiatif yang
dipimpin Ku Li.
Dr
Mahathir amat mengharapkan bahawa senario yang demikianlah yang akan
terjadi. Kejatuhan Abdullah melalui penolakan Umno sekurang-kurangnya
akan memberikan harapan tentang kemungkinan kuasa Abdullah diambil
alih seseorang yang mungkin dapat dimanipulasinya – tambahan pula
jika anak sendiri terlibat dalam kelompok berkuasa tersebut.
Yang
amat ditakuti Dr. Mahathir kini adalah kemungkinan Abdullah tewas
melalui proses di Parlimen yang akan menyebabkan kuasanya jatuh ke
tangan pihak pembangkang.
Dengan
terjadinya senario yang demikian, kemungkinannya memanipulasi akan
hilang dan pendedahan tentang dosa-dosa masa lampaunya akan menjadi
lebih mungkin – seperti yang telah terjadi dalam hubungannya dengan
kes pita Lingam dan dakwaan Param Coomaraswamy baru-baru ini.
Patutlah,
dalam usahanya untuk menggesa para ahli Umno lebih cepat bertindak,
tuduhan terakhirnya ialah bahawa pihak pembangkang kini (yakni para
pemimpin Pakatan Rakyat) merupakan penyokong dan peminat Abdullah
Badawi yang paling besar. Oleh itu Umno harus bertindak segera
menjatuhkan Abdullah, sebelum pihak pembangkang berjaya melakukannya.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme