
Respon kepada kenyataan kerajaan negeri Perak mengenai pengusiran petani Kanthan:
Kami telah membaca kenyataan akhbar YAB pada 26 Oktober di mana YAB menafikan pengusiran secara paksa telah dilaksanakan terhadap sekumpulan petani kecil di kawasan A, Kanthan-Tambun, pada 24-25 Oktober.
Tolong mengizinkan kami memberi maklum balas berkaitan beberapa isu yang dibangkitkan oleh YAB.
Pada bulan Mei 2021 sekumpulan petani dari kawasan C Kanthan telah dibawa untuk melawat tapak penempatan semula di Kampung Kolam, Changkat Kinding.
Tapak ini telah dipilih dan dikenal pasti tanpa melibatkan kami atau mendapatkan pandangan kami langsung, jika ianya bersesuaian untuk penanaman sayur.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Apabila petani kawasan C dibawa untuk lawatan tapak, mereka mendapati bahawa kawasan itu berbukit-bukit dan tiada sumber air yang mencukupi untuk penanaman sayuran.
Tambahan pula, wujudnya beberapa kolam menternak ikan di kawasan kaki bukit dan pihak kami khuatir bahawa baja dan ubat racun yang biasa digunakan dalam penanaman sayur-sayuran boleh mencemari kolam-kolam ini.
Perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan juga pejabat tanah dan galian Petani telah memohon perbincangan lanjut berkaitan masalah-masalah ini. Tetapi sesi perbincangan yang kami minta itu masih belum diaturkan oleh PKNP ataupun pejabat tanah dan galian
Tambahannya pula untuk makluman YAB, sampai sekarang, tiada sesiapa petani Kanthan yang telah menerima tawaran lot tanah di Changkat Kinding.
Berkaitan dengan “pelan tindakan sekuriti makanan” yang disebut oleh YAB, adakah Dato Seri sedar bahawa kurang daripada 30% keluasan dalam enam buah kawasan “taman kekal pengeluaran makanan” yang diwujudkan di Perak sejak tahun 2010 sedang diusahakan. Dan lebih daripada 50% daripada kawasan yang diusahakan adalah ditanam dengan kelapa sawit bukannya sayuran.
Pada masa ini, enam kawasan taman kekal pengeluaran makanan yang diwujudkan bukan merupakan pengganti kawasan Kanthan yang membekalkan sayur-sayuran sebanyak 60 tan setiap hari.
Dato’ Seri juga menyatakan bahawa pengosongan tanah adalah dilakukan mengikut saluran undang-undang. Kami mohon tidak bersetuju dengan kenyataan ini kerana:
- Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang digunakan terhadap kami hanya boleh digunakan terhadap penceroboh yang tiada kebenaran menggunakan tanah kerajaan. Pihak kami telah bertapak di kawasan ini sejak 70 tahun dahulu dan telah dibenarkan oleh pentadbiran penjajah dan juga oleh kerajaan Malaysia sehingga dua minggu yang lalu. Oleh itu, kami mempunyai ‘persetujuan tersirat’ (implied consent). Kami berada di sini dengan pengetahuan dan izin pihak pentadbir. Petani Kanthan pernah diberi bantuan oleh Jabatan Pertanian dalam bentuk baja sebelum ini
- Pihak PKNP pernah menawarkan pajakan untuk tanah yang kami usahakan pada tahun 2012. Ini bererti bahawa mereka tahu kami memang bertapak di sini dan pada masa itu mereka ingin mengekalkan kehadiran kami di sini. Jadi, penggunaan Seksyen 425 terhadap kami adalah salah di sisi undang-undang
- Dalam notis yang dikeluarkan pada 13 Oktober, kami diberi satu minggu untuk mengosongkan tanah. Adakah tempoh begitu singkat ini munasabah? Dan rayuan kami melalui surat-surat kepada PKNP, pejabat tanah dan galian dan YAB sendiri yang dihantar dalam minggu yang lalu untuk perbincangan dan pelanjutan masa tidak dilayan sama sekali
- Kanun Tanah Negara menyatakan bahawa seorang yang tidak mematuhi Seksyen 425 boleh disabit denda tidak melebihi RM10,000 dan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun selepas diadili di mahkamah. Seksyen 425 tidak memberi pejabat tanah dan galian hak untuk menceroboh ke dalam kebun, menolak dan mencederakan orang dan memusnahkan segala tanaman. Tindakan sebegini lebih merupakan tingkah laku kumpulan samseng, bukan sebuah pentadbiran yang berhemah dan menghormati rakyat serta undang-undang negara
- Untuk pengetahuan YAB, kami telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mengetengahkan perkara-perkara di atas. Kami langsung tidak berpuas hati dengan cara kami, petani di kawasan A, Kanthan-Tambun, dilayani secara kasar oleh pihak pejabat tanah dan galian dan PKNP pada 24 Oktober
Kami ingin memohon YAB dan para pemimpin dalam kerajaan supaya berhenti menggunakan istilah seperti “setinggan” dan “haram” terhadap pekebun sayur kecil kerana ia tidak memberikan gambaran sebenarnya tentang sejarah dan situasi terkini pihak kami, dan ia mewujudkan persepsi bahawa kami adalah penjenayah yang boleh dilayani secara yang kasar.
Kami dibenarkan untuk meneruskan aktiviti pertanian di Kanthan oleh kerajaan penjajah dan juga oleh kerajaan Malaysia selepas kemerdekaan kerana kerajaan sedar akan kami memainkan peranan penting dalam membekalkan makanan kepada rakyat dengan harga yang munasabah.
Ramai antara kami telah memohon geran, pajakan dan lesen pendudukan sementara, tetapi biasanya permohonan kami tidak dijawab oleh pihak pejabat tanah.
Kami sentiasa bersedia untuk membayar sewa atau cukai tanah.
Apabila pihak PKNP menawarkan pajakan tanah kepada kami pada tahun 2012, hampir semua pekebun di kawasan ini telah menerima dan menandatangani borang persetujuan. Tetapi malangnya PKNP tidak meneruskan dengan cadangan itu.
Sebenarnya, dasar pejabat tanah dan galian dan kerajaan negeri Perak yang mewujudkan situasi di mana kebanyakan petani pengeluar sayur-sayuran masih belum memegang sebarang dokumen. Ini bukan kegagalan ataupun kedegilan pihak kami.
Pada pandangan kami, pihak kerajaan negeri telah, dalam 20 tahun yang lalu, mengamalkan dasar tanah yang kurang bijak.
Selain daripada kami, enam orang petani yang mengalami pemusnahan kebun-kebun kami pada 24-25 Oktober, ada lagi 200 orang petani sayur-sayuran di kawasan Tambun yang diancam oleh pengusiran kerana tanah-tanah yang diusahakan mereka telah pun dilupuskan (alienated) kepada pemaju ataupun syarikat kerajaan. Mereka sedang cuba mempertahankan kebun-kebun mereka tetapi tanpa kerjasama kerajaan, sudah tentu mereka akan diusir tidak lama lagi.
Nampaknya, kerajaan negeri Perak sebelum ini langsung tidak mengambil kira isu keterjaminan makanan untuk negara kita sebelum mereka melupuskan tanah-tanah yang telah diusahakan untuk menghasilkan barangan makanan.
Kami sangat berharap YAB boleh memulihkan keadaan dengan mengekalkan tanah-tanah yang masih digunakan untuk mengeluarkan sayur-sayuran sebagai kawasan kekal pengeluaran makanan.
Untuk mencapai matlamat ini, YAB harus mengambil balik tanah-tanah yang terlibat dengan membayar pampasan yang sewajarnya kepada para pemaju, mungkin dengan bantuan kewangan daripada Ahli Parlimen Tambun.
Tanah ini harus dipajak kepada petani-petani yang sedang berada atas tanah itu sekarang untuk tempoh 10 tahun dengan syarat bahawa hanya bahan-bahan makanan (selain daripada kelapa sawit) boleh ditanam di dalam kebun- kebun ini.
Adalah amat penting untuk kesejahteraan rakyat Malaysia, sekiranya kerajaan-kerajaan negeri dapat menerima pakai pendekatan yang mengutamakan pemeliharaan kawasan- kawasan tanah yang mengeluarkan sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan tawar untuk rakyat kita.
Dr Jeyakumar Devaraj
bagi pihak petani-petani Kanthan-Tambun
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme