Home Web Specials Peranan Parlimen mengawal dan menegur kerajaan bukan mainan politik

Peranan Parlimen mengawal dan menegur kerajaan bukan mainan politik

Ianya adalah suatu bentuk kawal dan imbang yang wajar di dalam amalan demokrasi berparlimen

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Kita telah pun lihat dan asyik mendengar kenyataan yang sering dikeluarkan oleh beberapa pemimpin kerajaan yang beberapa kali mendakwa ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang yang mengawal, mempersoal dan menegur belanjawan, dasar dan perlaksanaan yang dijalankan oleh kerajaan sebagai suatu cubaan untuk mempolitikkan isu-isu dan menggugat kestabilan negara.

Ketua kerajaan, menteri kewangannya serta beberapa menteri kabinetnya sering mendakwa ahli-ahli Parlimen dari parti-parti pembangkang terus mencetuskan “keadaan politik yang tidak stabil” yang boleh “menggugat usaha pemulihan negara” yang kini sedang dilaksanakan, sebaliknya perlu menyokong sepenuhnya rancangan tersebut demi manfaat rakyat.

Ingin kami tegaskan bahawa kenyataan yang sering dibuat oleh para pemimpin ini sebagai memutarbelitkan keadaan, memberikan kenyataan yang tidak tepat dan kadang-kala memesongkan keadaan menggambarkan seolah-olah parti-parti pembangkang ini anti-rakyat, anti-kerajaan dan cuba menggagalkan pemulihan ekonomi negara yang kini sedang dilaksanakan.

Bagi orang ramai yang masih kurang arif dengan maksud sistem demokrasi berparlimen akan mudah terpengaruh dengan segala dakyah palsu yang sering dikeluarkan oleh Perikatan Nasional ini lantas akan marah dengan tindakan ahli-ahli Parlimen parti pembangkang yang cuba sedaya upaya mengawal kegiatan-kegiatan kerajaan baik di dalam mahupun di luar Parlimen.

Orang ramai perlu mendalami erti politik dan demokrasi berparlimen yang sebenarnya. Parti-parti pembangkang bukannya anti-kerajaan; parti-parti pembangkang juga bukannya musuh ketat kerajaan ataupun suka membabitkan diri dengan perebutan kuasa. Cara kerajaan melabelkan parti-parti pembangkang dan ahli-ahli parlimennya adalah amat mendukacitakan kerana mereka tidak menganggap peranan pembangkang ini sebagai rakan atau usahasama demi memanfaat rakyat dan negara, sebaliknya cuba membuahkan suatu gambaran buruk terhadap ahli-ahli Parlimen dari parti-parti pembangkang.

Hakikatnya adalah kerajaan sering menyebarkan pelbagai berita dan tohmahan bagi mempengaruhi rakyat jelata mengenai “rancangan jahat” yang sedang dipelopori oleh ahli-ahli Parlimen parti-parti pembangkang.

READ MORE:  Checks and balances at risk: G25 unpacks the Mufti Bill

Di dalam amalan demokrasi berparlimen, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab secara berpelembagaan setiap ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk mengawal imbang, menegur dan mempersoalkan dasar-dasar, belanjawan dan apajua perlaksanaan yang dijalankan oleh kerajaan.

Ini bagi memastikan ianya dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan cekap agar rakyat jelata memperoleh kebaikan daripada dasar-dasar ataupun perlaksanaan tersebut. Ianya bukan suatu cubaan pembangkang untuk menghalang atau mensabotaj sesuatu kebaikan daripada disalurkan oleh orang ramai, tetapi ianya bertujuan untuk memastikan ianya disalurkan dengan lebih cekap dan berkesan agar tidak ada kelompok masyarakat yang akan terpinggir atau dipinggirkan sewenang-wenangnya.

Cubaan kerajaan PN untuk menghalang Parlimen daripada bersidang semula dalam masa yang terdekat dengan alasan penularan wabak Covid masih belum terkawal bukannya satu sebab yang dapat diterima dengan mudah. Ianya jelas satu cubaan kerajaan untuk mengelak daripada bersemuka dengan ahli-ahli Parlimen dan perbuatan mereka ini adalah amat mendukacitakan, tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya sidang parlimen tidak dapat diteruskan secara fizikal, ianya masih boleh dilaksanakan melalui platform talian (online), tetapi langkah alternatif ini turut ditolak oleh kerajaan PN atas alasan mereka kekurangan sumber dan tenaga pakar untuk menganjurnya secara talian. Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan PN telah menjadi semakin tidak bertanggungjawab dan sanggup melakukan apajua cara bagi mengelak daripada bersemuka dengan Parlimen.

Hampir pada setiap hari, kita telah melihat Mahiaddin Yasin mengadakan mesyuarat secara talian dengan para pegawai tinggi kerajaan dan juga wakil-wakil negara-negara asing, menggunakan pelbagai peralatan talian yang canggih dan berteknologi tinggi. Dengan adanya pelbagai kemudahan-kemudahan canggih dan berteknologi tinggi di Jabatan Perdana Menteri dan kementerian-kementerian yang lain, agaknya kenapa mereka masih juga memberi alasan kekurangan sumber dan tenaga pakar untuk melaksanakan sidang parlimen secara talian? Kami amat yakin, bahawa ianya disengajakan bagi memastikan Parlimen tidak diberi sebarang akses ataupun maklumat penuh berkenaan kegiatan harian dan dasar-dasar kerajaan.

READ MORE:  Checks and balances at risk: G25 unpacks the Mufti Bill

Dan apabila ahli-ahli Parlimen pembangkang cuba memasuki parlimen untuk bertemu dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan memulakan prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), wakil-wakil rakyat tersebut disambut dengan sekatan di jalan masuk ke Parlimen oleh ratusan anggota polis yang ditempatkan di situ.

Beberapa hari kemudian, ahli-ahli Parlimen ini pula dipanggil oleh pihak polis untuk disoalsiasat satu demi satu untuk diambil kenyataan mereka kononnya berlakunya suatu “perhimpunan haram” pada hari tersebut di jalan masuk ke Parlimen dan di Dataran Merdeka.

Apakah yang dimaksudkan “perhimpunan haram”? Ahli-ahli Parlimen ini mempunyai hak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan untuk memasuki Parlimen bagi menjalan apajua urusan rasmi walaupun tidak ada sebarang aturan mesyuarat pada hari tersebut.

Tindakan ini jelas merupakan suatu kesalahan yang serius di bawah Seksyen 124, 124B, 124C Kanun Keseksaan di mana ahli-ahli Parlimen telah dihalang daripada memasuki Parlimen untuk menjalankan tugas mereka dan kerajaan juga telah melakukan pelbagai cara yang dilihat mengganggu-gugat amalan demokrasi berparlimen.

Rakyat jelata perlu faham bahawa mengawal dan menegur kerajaan bukannya satu perbuatan yang “menentang kerajaan”. Ianya adalah suatu bentuk kawal dan imbang yang wajar di dalam amalan demokrasi berparlimen.

Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan ahli-ahli Parlimen untuk memainkan peranan mereka dalam mengawal imbang apajua kegiatan harian kerajaan bagi memastikan segala perlaksanaan dasar dan belanjawan dikelolakan secara telus, terbuka, cekap dan bertanggungjawab. – whcheng18.wordpress.com

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x