Ahli-ahli Parlimen perlu penuhi kedatangan di setiap sesi perbahasan, gunakan ruang yang secukupnya dan buktikan kepada rakyat jelata kemampuan mereka untuk menyemak kerajaan ini secara menyeluruh, ujar WH Cheng.
Rata-rata apabila Perikatan Nasional yang kini menerajui kerajaan berjaya melalui saat-saat genting dengan memperoleh “kelulusan bersuara” daripada sidang Dewan Rakyat, bagi pembentangan Dasar Belanjawan 2021 tersebut, ada dalam kalangan ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan dikecam hebat oleh orang ramai kerana gagal mengundi secara beramai-ramai bagi menolak Belanjawan 2021 itu dengan sebulat suara.
Sebaliknya, hanya 13 orang ahli Parlimen sahaja yang berdiri sebagai tanda membantah Belanjawan 2021 tersebut tetapi ianya tidak memenuhi korum bagi mengesahkan penerimaan penolakan tersebut secara rasmi.
Ini menyebabkan ramai yang tertanya-tanya kenapa blok PH dan PH campuran tidak sehaluan di dalam hala tuju mereka untuk menolak Belanjawan tersebut.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Ada banyak sebab-sebab yang tidak dapat kita nyatakan dengan sepenuhnya kerana terdapat beberapa karenah politik di kedua-dua kamar kerajaan dan pembangkang yang saling membuahkan maklumbalas yang tidak menentu pada masa itu.
Tetapi yang pasti kami nampak pada hari itu adalah seolah-olah ahli Parlimen PH diarah tidak menyokong penolakan, sebaliknya bersikap berkecuali pada saat-saat akhir, ada sebab-sebab yang munasabah yang kita perlu restui.
Sekiranya Belanjawan 2021 tersebut ditolak bulat-bulat, PN akan terang-terang mendakwa PH telah menderhakai titah Yang di-Pertuan Agong, sejurus itu akan menyerang PH habis-habisan mengenai isu-isu yang melibatkan raja-raja ini.
Yang kedua, penolakan terus Belanjawan tersebut juga akan memperlihatkan PH tidak mengambil berat tentang kebajikan rakyat jelata dan para petugas di barisan hadapan kerana penolakan tersebut akan sekaligus menyekat penyaluran bantuan dan insentif kepada rakyat jelata pada keseluruhan.
Ketiga, Umno yang pada mulamya telah mempamerkan niatnya untuk menolak Belanjawan tersebut secara tiba-tiba telah memutuskan untuk menyokong Belanjawan tersebut; justeru itu menyebabkan PH tidak mendapat sokongan secara menyeluruh bagi mengusahakan penolakan tersebut dengan lebih berkesan.
Yang keempat, PH tidak mahu dilihat sebagai pengganggu-gugat politik negara di saat-saat negara sedang dilanda wabak Covid dengan menggunakan kesempatan politiknya untuk menumbangkan kerajaan tersebut walaupun secara hakikatnya PN telah memperoleh kuasa tersebut melalui satu rampasan kuasa terancang. Strategi PH kali ini dilihat yakni, membiarkan PN untuk meneruskan usaha pengawalan wabak Covid dengan sewajarnya kerana PN lah penyebab utama penyakit berjangkit itu menular akibat daripada rampasan kuasa pada bulan Februari 2020 yang lalu.
Oleh itu, kita harus membiarkan episod kelulusan perbahasan Belanjawan peringkat dasar baru-baru ini lalu berlalu, sebaliknya bertumpu sepenuhnya kepada perbahasan Belanjawan peringkat jawatankuasa yang sedang berlangsung.
Untuk makluman, perbahasan Belanjawan peringkat jawatankuasa ini adalah suatu penyemakan terhadap belanjawan tersebut yang lebih mendalam dan teliti di mana setiap peruntukan dan cadangan perbelanjaan akan diperinci secara menyeluruh mengikut kementerian-kementerian. Ini bagi membocorkan sebarang cubaan “menyorok” beberapa peruntukan yang tidak disenaraikan dengan menyeluruh atau tidak dinamakan dengan lebih jelas sewaktu perbahasan dasar pada minggu yang lalu.
Untuk itu, ahli-ahli Parlimen yang kini sedang membahaskan belanjawan tersebut di peringkat jawatankuasa adalah digesa supaya memperincikan setiap butir-butir kewangan dan projek yang tersembunyi.
Mereka patut mendedahkan apajua peruntukan yang tidak sepatutnya ditawarkan, pembaziran dan apa-apa peruntukan yang dapat dilihat bakal mengundang kepada penyalahgunaan kuasa dan kewangan kerajaan untuk kepentingan kelompok-kelompok politik yang tertentu agar ianya dapat dibatalkan dengan kadar segera sebelum peruntukan tersebut dapat diluluskan dan digazetkan untuk perlaksanaan.
Selain daripada itu, adalah juga penting bagi ahli-ahli Parlimen yang membahaskan Belanjawan tersebut mengumumkan secara berperingkat-peringkat isi-isi kandungan yang diperbahaskan, mendedahkan kesalahan-kesalahan, kelemahan-kelemahan, unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dan sebagainya kepada media dari masa ke semasa. Dengan demikian, orang ramai dapat mengetahui isi-isi sebenarnya yang terkandung di dalam Belanjawan 2021 tersebut.
Pendek kata, apajua perbahasan dan isu-isu berbangkit perlu diedarkan kepada umum pada setiap hari bagi membuahkan kesedaran orang ramai bertapa perlunya Belanjawan 2021 ini disemak dan diteliti dengan lebih mendalam. Ini juga dapat menyedarkan orang ramai betapa pentingnya peranan Parlimen dalam menyemak imbang apajua kegiatan, perlaksanaan dan perbelanjaan yang diketengahkan oleh kerajaan.
Dalam pada itu, adalah tidak berakhlak sekiranya ada ura-ura Speaker Dewan Rakyat sekarang akan cuba menyekat atau memendekkan perbahasan bagi sesuatu isu yang perlukan perhatian, khusus kerana jika ianya berlaku, Speaker akan dianggap bersekongkol dengan kerajaan bagi mengelakkan sesuatu peruntukan dibahaskan dengan lebih mendalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengetuai bahagian pengurusan Parlimen di Jabatan Perdana Menteri juga harus memberhentikan campurtangannya yang kerap dengan seringkali memberikan arahan kepada Speaker Dewan Rakyat dalam usaha menyekat pelbagai persoalan dan perbahasan ahli-ahli parlimen, serta melakukan pindaan yang kerap terhadap jadual perbahasaan belanjawan tersebut.
Difahamkan bahawa Speaker Dewan rakyat adalah seorang yang tidak berparti, jadi beliau seharusnya mempamerkan sikap tidak memihak kepada sesiapa sewaktu mempengerusikan sesi perbahasan tersebut.
Oleh itu, ahli-ahli Parlimen dan kalangan pemimpin parti kerajaan harus ingat bahawa sebarang usaha penyemakan imbang ataupun penolakan terhadap dasar-dasar, perlaksanaan dan perbelanjaan kerajaan tidak boleh dijadikan modal isu-isu menderhakai raja untuk menyerang mana-mana pihak. Ini adalah peranan Parlimen dalam proses demokrasi berparlimen, dan peranan tersebut haruslah digalakkan dengan sewajarnya seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
PN hendaklah menggunakan usaha mereka sendiri bagi menyakinkan umum bahawa mereka tidak punyai sebarang agenda yang tersembunyi dan jangan menggunakan taktik-taktik kotor serta asyik berselindung di sebalik raja-raja bagi melarikan diri daripada proses-proses yang sah dari sisi Perlembagaan Persekutuan.
Kepada PH di dalam dewan, penuhi kedatangan di setiap sesi perbahasan, gunakan ruang yang secukupnya, buktikan kepada rakyat jelata kemampuan untuk menyemak kerajaan ini secara menyeluruh dan berkesan. Dengan demikian, rakyat jelata tidak akan termakan dengan apajua tipu helah dan dakyah yang sering dimainkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan tertentu.
Sumber: whcheng18.wordpress.com
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme