Home Web Specials Pilihan raya 2022: Harga sebuah demokrasi

Pilihan raya 2022: Harga sebuah demokrasi

sukar untuk kita menikmati budaya politik yang lebih bersih dan berintegriti

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Aira Azhari

Pilihan raya umum 2022 yang bakal berlangsung pada 19 November ini bakal menyaksikan banyak ‘pertama’.

Inilah kali pertama rakyat Malaysia berusia 18-20 tahun layak mengundi, kali pertama pilihan raya negeri (selain daripada Sarawak) diadakan berasingan dan kali pertama pengundi yang tidak berdaftar sebelum ini sudah didaftar secara automatik dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengundi muda dan yang didaftar secara automatik menyumbang kepada pertambahan jumlah pengundi sebanyak 5.8 juta.

Maka tidak hairanlah jika fokus kempen pilihan raya umum kali ini ditumpukan kepada kehendak dan keperluan orang muda, walaupun tiada jaminan bahawa orang muda akan keluar mengundi, apatah lagi kecelaruan politik negara sejak beberapa tahun ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia, bukan sahaja orang muda, malas keluar mengundi.

Langkah Sheraton menjadi titik permulaan terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap pilihan raya dan sistem demokrasi secara amnya.

Sekiranya di Amerika Syarikat kita lihat kebangkitan gerakan Stop the Steal dalam parti Republican yang sehingga kini menafikan kemenangan Joe Biden dalam pilihan raya presiden pada tahun 2020, di Malaysia agak lazim untuk mendengar keluhan bahawa mengundi itu satu usaha yang sia-sia kerana kerajaan boleh ditumbangkan pada bila-bila masa tanpa perlunya pilihan raya.

Inilah antara sebab mengapa rang undang-undang anti-lompat parti mendapat sokongan meluas dalam kalangan masyarakat dan juga ahli politik.

Walaupun sesetengah berpendapat rang undang-undang ini merupakan penyelesaian jangka pendek, ramai juga merasakan perlunya langkah seperti ini untuk sekurang-kurangnya memberi jaminan kepada rakyat tentang kesucian undi mereka.

Namun, keadaan politik negara pasca-Sheraton juga menimbulkan persoalan yang lebih rumit. Persepsi umum bahawa politik merupakan sesuatu yang jijik dan kotor semakin menebal. Penambahbaikan institusi dan pengukuhan undang-undang sering dilihat sebagai sia-sia kerana manusia yang mengisi jawatan ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri itu dilihat sebagai jahat, tamak dan tidak kompeten.

READ MORE:  India's BJP defends the super-rich by giving wealth redistribution policy a sectarian colour during polls

Apa gunanya ada undang-undang jika yang diberi tanggungjawab memperdebat dan meluluskan undang-undang itu tidak berminat mengubah status quo yang sudah lama berakar?

Kurangnya literasi tentang dasar awam dan reformasi institusi merupakan hakikat politik Malaysia yang menyedihkan. Lebih malang lagi, segelintir ahli parlimen yang cakna dengan perkembangan dasar awam dan perjuangan hak asasi manusia seperti Ong Kian Ming dan Kasthuri Patto, kedua-duanya dari DAP, sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Persoalan yang harus kita fikirkan – mengapa terlalu sedikit ahli politik di Malaysia yang benar-benar minat dan fasih tentang dasar awam, penambahbaikan undang-undang dan hak asasi manusia?

Sebaliknya, kita sering dihidangkan dengan budaya politik yang kaya dengan kes-kes rasuah, serangan peribadi, budaya samseng, gangguan seksual, cybertrooper serta berita palsu.

Adakah politik satu bidang kerjaya yang ‘jahat’? Tiadakah ruang untuk manusia yang percaya bahawa politik adalah jalan yang mampu membawa kepada kebaikan dan perubahan?

Sebenarnya tidak mudah untuk menjawab persoalan-persoalan ini. Kita sering menyalahkan budaya politik yang bersifat jangka pendek, cash is king, kemewahan yang keterlaluan serta kekebalan ahli politik daripada tindakan undang-undang.

Tetapi adakah kita pernah terfikir bahawa sistem politik kita direka bentuk supaya kemenangan tidak berpihak kepada ahli politik yang pandai dan kompeten?

Dalam erti kata lain, sistem politik kita memberi ganjaran kepada ahli politik yang pandai ‘buat duit’, yang licik menggunakn kuasa untuk mengisi poket sendiri dan pandai mengambil hati pengundi dengan gula-gula buat mengisi perut yang lapar.

Sebaliknya, ahli politik yang kurang bijak mengambil kesempatan, yang lambat mengejar habuan dan tidak cekap ‘mengatur langkah’ akan ketinggalan, kepenatan, tenggelam dibawa arus dan akhirnya menyerah kalah.

READ MORE:  French election update: No bloc secures absolute majority

Maka terjadilah kitaran jahat yang mengukuhkan dominasi mereka yang berduit, berkuasa dan mahir mencatur di belakang tabir. Tertutuplah peluang mereka yang menyertai politik untuk  melaksanakan dasar awam yang menyumbang kepada pembangunan negara seterusnya menguntungkan rakyat dalam jangka masa panjang.

Perkara yang kurang disedari ialah kelemahan struktur dan institusi banyak mempengaruhi budaya politik.

Contoh yang terbaik ialah ketiadaan undang-undang yang mengawal pendanaan politik. Apabila ahli politik bebas menerima wang daripada mana-mana pihak, dan sesiapa sahaja dibenarkan memberi wang kepada ahli politik, maka timbullah beberapa masalah.

Pertama, politik akan dikawal oleh pengaruh golongan kaya raya yang memberi berjuta ringgit kepada ahli politik yang bersetuju menunaikan tuntutan mereka.

Kedua, pemberian wang yang tidak terkawal jumlahnya meningkatkan risiko berlakunya rasuah, penggubahan wang dan salah guna kuasa.

Masalah yang kurang jelas tetapi lebih serius ialah, apabila saluran wang dalam politik tidak dikawal, hanya sekumpulan kecil ahli politik mempunyai akses dan pengaruh yang diperlukan untuk mendapat modal yang cukup untuk berpolitik.

Wang hanya berlegar dalam lingkungan elit politik yang biasanya didominasi lelaki tua yang sudah berpuluh tahun menjadikan politik sebagai kerjaya utama mereka. Maka jangan hairan jika arena politik kita kekurangan orang muda, wanita dan golongan minoriti.

Wang sangat penting untuk menggerakkan kerja-kerja politik. Itu tidak boleh dinafikan. Di seluruh dunia, politik menelan kos yang besar dan kian meningkat, antara sebabnya ialah kebergantungan kepada media sosial sebagai alat berkempen. Pilihan raya pertengahan penggal di Amerika Syarikat yang bakal berlangsung beberapa minggu sebelum pilihan raya umum kita diunjurkan menelan kos sebanyak $7bn.

Di Malaysia, kita mungkin tidak tahu berapa sebenarnya yang harus dibelanjakan oleh setiap calon dan parti untuk pilihan raya umum nanti, tetapi tanya sahaja mana-mana calon yang bertanding, tentu mereka akan berkongsi keperluan wang untuk setiap satu pergerakan ketika berkempen – kenderaan, petrol, makanan, mencetak poster, bendera dan baju, menyewa alat audio visual untuk ceramah, duit poket untuk tukang pemacak bendera dan macam-macam lagi.

READ MORE:  Maduro wins Venezuela presidential election

Jikalau satu hari nanti Parlimen berjaya meluluskan akta pendanaan politik sekalipun, kos politik tidak akan menjadi lebih murah. Ketelusan sumber dana wajib diperjuangkan, tetapi ada persoalan lebih besar yang harus kita fikirkan, iaitu harga sebuah demokrasi dan siapa yang akan membayarnya.

Di Amerika Syarikat, syarikat-syarikat bahan api, farmaseutikal dan senjata sentiasa agresif melobi ahli-ahli Kongres dan menyumbangkan berbilion US dolar untuk setiap pilihan raya. Akibatnya, segala usaha untuk mengawal pemilikan senjata dan pengeluaran karbon menemui jalan buntu kerana nyawa politik ahli-ahli Kongres berada di dalam tangan syarikat-syarikat pelobi tersebut.

Hal ini disedari ramai dalam kalangan masyarakat sivil di Amerika Syarikat dan ada usaha yang bersungguh oleh beberapa ahli Kongres seperti Alexandra-Ocasio Cortez dan mantan calon presiden Bernie Sanders untuk mengubah sumber dana kempen mereka. Berbeza dengan Malaysia.

Bukan sahaja kos aktiviti politik dan kempen politik di negara kita menelan belanja yang tidak sedikit, dana untuk menggerakkannya datang daripada sumber yang tidak jelas.

Lebih malang lagi, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang menganggap orang politik harusnya berduit tanpa mempedulikan daripada mana datangnya segala wang tersebut.

Hakikatnya, selagi tanggapan seperti ini berterusan, maka sukar untuk kita menikmati budaya politik yang lebih bersih dan berintegriti.– The Malaysian Insight

Aira Azhari sedang menjalani Fulbright professional exchange program di State University of New York, Amerika Syarikat dalam bidang sains politik

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x