Home Web Specials Pindaan PPPA: Antara pujukan baru dan rinduan lama

Pindaan PPPA: Antara pujukan baru dan rinduan lama

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Selagi ada ciri-ciri lama yang bukan demokratik dalam pindaan ini dan budaya politik, selagi itulah kebebasan media tersekat. Akta ini seharusnya dimansuhkan saja, ujar Mustafa K Anuar.

Photo credits: uppercaise

Dalam sebuah sistem demokrasi, rakyat jelata diandaikan mempunyai hak dan kebebasan untuk bersuara untuk meluahkan perasaan dan akal fikiran yang ingin dikongsi bersama melalui media massa, forum, petisyen, demonstrasi jalanan dan lain-lain. Dan pendirian yang ingin disuarakan itu mempunyai pelbagai bentuk dan ciri: menyokong dan membantah sesuatu perkara atau isu atau pihak yang berkenaan.

Jadi tidaklah keterlaluan jika rakyat dalam masyarakat yang demokratik ini mengidamkan, misalnya, media cetak yang bebas dari cengkaman politik dan perniagaan.

Dalam konteks ini, apa yang diperlukan oleh sesiapa yang ingin menerbitkan akhbar ataupun majalah ialah dana dan kepakaran teknikal dan profesional yang mencukupi dan memadai. Dan dalam kes Malaysia, mungkin peraturan yang diperlukan adalah sekadar memberitahu pihak berkuasa nama penerbitan dan pemiliknya. Itu saja.

Sesungguhnya ini tidak bermakna kebebasan ini tiada sempadannya hingga boleh menyebabkan anarki dalam masyarakat di mana-mana saja, termasuk AS dan Eropah, kerana realitinya ialah tiada kebebasan yang mutlak. Di Malaysia, kita ada Akta Fitnah, Akta Hasutan dan lain-lain yang boleh membendung seseorang penulis atau pemberita itu dari berbuat sesuatu yang boleh mendatangkan mudarat kepada individu, kelompok mahupun masyarakat pada keseluruhannya.

Jadi berpandukan prinsip ini, apa yang dianggapkan pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan itu adalah suatu euforia yang meleset. Ini kerana ada ciri-ciri lama dalam akta lama yang tidak demokratik masih berkekalan.

Ya, tidak boleh disangkal bahawa ada peruntukan dalam pindaan ini yang berupa anjakan paradigma: Pertama, permit penerbitan dan lesen mencetak tidak perlu diperbaharui setiap tahun. Permohonan hanya diperlukan sekali saja.

Kedua, Menteri Dalam Negeri tiada punyai “budi bicara” yang mutlak untuk menentukan “nasib” permohonan atau tempoh kesahan permit dan lesen yang sedia dipegang. Dengan kata lain, keputusan menteri mengenai permit dan lesen itu boleh dicabar dalam mahkamah.

Namun begitu, masih terdapat peruntukan yang mencabul hak bersuara dan kebebasan media cetak. Kesan dari peruntukan dari Seksyen 8B, 8C(1) and 8C(2) ialah penerbitan yang mendapat perintah mahkamah dari pendakwa raya terpaksa digantung untuk buat seketika sementara siasatan dibuat. Dan bagi penerbit yang baru dibebaskan dari tuduhan kesalahan bersabit dengan penerbitan berkenaan, penerbitan itu masih perlu digantung jika pendakwa raya membuat rayuan sehingga tamatnya kes rayuan ini.

Implikasi dari peruntukan akta ini amat serius. Pelabur yang menanam modal dalam industri media cetak ini sudah tentu berasa gusar apabila perkembangan sesuatu penerbitan itu “terencat” akibat daripada gantungan permit. Pendek kata, dia bimbang akan keuntungan dari pelaburannya.

Bukan itu saja. Senario ini boleh menyuburkan budaya tapisan sendiri atau self-censorship dalam kalangan editor dan wartawan, kalau tidakpun pemilik media itu sekali. Tapisan sebegini lebih merbahaya kerana secara formalnya tiada bukti yang membolehkan pihak editor atau pencinta kebebasan media dan bersuara menuding jari kepada kementerian dalam negeri. Ini sudah tentunya mengganggu kebebasan penerbitan itu pada keseluruhannya.

Selain daripada masalah ini, kita juga harus mengambil kira kemungkinan “tapisan” tidak langsung seperti panggilan telefon dari “pihak atas” yang “menegur” laporan berita tertentu; pengeluaran surat tunjuk-sebab dari kementerian berkenaan; dan juga perjumpaan yang kerap antara editor dan pegawai tinggi kementerian tersebut. Proses politik ini boleh menakut-nakutkan pihak media berkenaan.

Walaupun menteri dalam negeri tiada lagi hak mutlak untuk menentukan nasib penerbit dan pencetak, namun begitu beliau masih mempunyai kuasa untuk “mempertimbangkan” permohonan penerbit dan pencetak. Sebagai pihak yang berkepentingan, ada kemungkinan menteri itu membuat keputusan yang berat sebelah yang boleh menyebabkan penerbitan berkenaan ditolak permohonannya atau digantung permit atau lesennya. Sekurang-kurangnya proses ini boleh mendatangkan kesan melengah-lengahkan kewujudan atau “mengganggu” sesuatu penerbitan.

Dalam sebuah demokrasi, hak untuk menerbit dan bersuara tidak perlu dibuat melalui jaringan eksekutif seperti menteri dalam negeri. Apa-apa masalah yang berkaitan dengan kebebasan untuk menerbit dan meluahkan pandangan sepatutnya ditentukan oleh pihak mahkamah yang bebas.

Prinsip ini penting dan perlu dihormati kerana hak untuk bersuara harus diadili dan kelihatan diadili oleh pihak yang tiada kepentingan dalam hal ini, iaitu institusi perundangan yang bebas lagi adil.

Kebebasan untuk menerbitkan sesuatu penerbitan juga penting kerana ini merupakan salah satu cara bagaimana kepelbagaian pendapat dan kepentingan dari pelbagai kelompok masyarakat dapat dilayani sebaik mungkin melalui pelbagai jenis media cetak. Kepelbagaian ini penting dari perspektif yang melihat kepelbagaian sebagai sumber kekayaan masyarakat dari segi cetusan idea, pandangan dan kepakaran yang sedia ada dalam usaha kolektif membina negara.

Selagi ada ciri-ciri lama yang bukan demokratik dalam pindaan ini dan budaya politik, selagi itulah kebebasan media tersekat. Akta ini seharusnya dimansuhkan saja.

Mustafa K Anuar ialah pemerhati media dan politik.

Sumber: http://www.merdekareview.com/bm/

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x