Home Web Specials Protes pemandu lori: Kerajaan harus tetapkan caj pengangkutan minimum wajib

Protes pemandu lori: Kerajaan harus tetapkan caj pengangkutan minimum wajib

OPENCLIPART-VECTORS/PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Antara warga pekerja yang paling kurang diiktiraf adalah mereka yang bekerja dalam sektor logistik, satu sektor yang sangat penting kepada ekonomi negara.

Pengeluar komoditi dan barangan buatan akan lumpuh sekiranya pengedaran tidak dilakukan ke seluruh pelosok negara dan ke peringkat antarabangsa.

Jadi, protes yang dilancarkan oleh pemandu dan pengusaha lori di beberapa buah negeri sejak 16 Oktober harus dipandang serius dan diberi perhatian segera. Protes tersebut menandakan ketidakpuasan hati yang amat sangat dalam kalangan pemandu lori, baik mereka yang turun protes atau yang tidak. Ia perlu dilihat sebagai satu tindakan ‘pilihan terakhir’ (last resort) akibat tekanan yang tidak dapat ditahan lagi.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gabungan Marhaen menggesa menteri pengangkutan supaya memberi keutamaan kepada masalah pemandu lori dan kontraktor lori dengan mengadakan perbincangan bersama perwakilan mereka. Kami juga ingin mengesyorkan supaya satu caj pengangkutan minimum wajib dikenalkan sebagai cara mengatasi punca masalah muatan.

Ada banyak masalah yang dihadapi oleh pemandu lori dan kontraktor lori, tetapi fokus protes kali ini adalah tentang isu saman untuk kesalahan lalu lintas dan sistem penalti mata demerit yang bermasalah. Sekiranya seorang pemandu lori didapati membawa muatan yang melanggar had ‘berat dengan muatan’ – iaitu muatan yang bahaya, yang melebihi had berat, tinggi dan lebar – dia boleh disaman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Saman ini dikenakan ke atas pemandu lori dan bosnya.

Polisi menyaman pemandu lori amat tidak adil dan tidak dapat diterima oleh pihak pemandu dan kontraktor lori. Ini kerana pihak yang membuat keputusan tentang spesifikasi muatan adalah majikan atau pengeluar atau pengilang yang menyewa lori. Pemandu lori hanya tukang angkut sahaja. Dia perlu ikut arahan jika dia hendak terus bekerja dengan majikannya. Kita tidak harus lupakan bahawa lebih daripada 90% pemandu lori tiada perlindungan kesatuan, maka suara mereka lemah.

READ MORE:  When lorry drivers are driven to the limit

Pemandu lori yang disaman dikenakan mata demerit. Bagi 20 mata demerit yang pertama, pemandu lori diberikan amaran. Selepas itu, untuk 20 mata yang kedua, ketiga dan keempat, lesen pemandu lori akan digantung untuk tempoh antara enam dan 12 bulan, bergantung pada jumlah mata.

Perkara yang paling teruk dalam konteks ini adalah penggantungan lesen itu terpakai untuk semua kelas kenderaan – kereta dan juga motosikal. Ini bermakna bahawa pemandu lori yang lesen lorinya digantung tidak boleh membawa kereta and motosikal juga – maksudnya dia dilarang untuk memandu kenderaan bagi satu tempoh masa semasa penggantungan. Bayangkanlah kesannya kepada kehidupan pemandu lori sekeluarga.

Antara tuntutan protes ini adalah untuk membatalkan saman terhadap pemandu lori dan membezakan berat dengan muatan mengikut saiz dan sentimeter padu kenderaan. Kita harus mengambil perhatian bahawa pemandu-pemandu lori ini tidak menuntut supaya kerajaan berlembut terhadap kesalahan pemandu seperti melanggar had laju, memotong di lorong kiri dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Adanya pemandu yang mengatakan bahawa penguatkuasa asyik mengeluarkan saman sahaja, dan ia tidak dapat menyelesaikan masalah. Pada asasnya, isu saman adalah berkaitan dengan kecenderungan syarikat untuk memaksimumkan muatan lori sehingga melebihi had muatan (overload). Tujuannya syarikat logistik atau penyewa lori berbuat demikian adalah untuk mendapatkan lebih keuntungan. Muatan berlebihan membantu menjimatkan kos dengan mengurangkan trip perjalanan.

Set minda untuk keuntungan yang lebih tentulah mempengaruhi amalan muatan berlebihan (overloading). Tetapi terdapat satu unsur penting, yang mungkin menjadi punca utama overloading dan mengundang risiko kepada semua pengguna jalan raya: persaingan hebat antara beribu-ribu syarikat logistik yang wujud di bumi Malaysia. Beribu-ribu buah syarikat logistik dan kontraktor lori masing-masing bersaing untuk merebut kontrak daripada penyewa yang jumlahnya beberapa ratus sahaja.

READ MORE:  When lorry drivers are driven to the limit

Penyewa akan memilih kontrak dengan harga yang murah sekali. Keadaan ini semakin menurunkan harga lantai kontrak pengangkutan, dan memudaratkan keuntungan syarikat logistik. Pengurangan keuntungan syarikat dipindah kepada pemandu lori dalam bentuk penurunan dalam upah dan elaun, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang kurang daripada yang sepatutnya, di samping menyebabkan pengurangan perbelanjaan untuk penyelenggaraan lori.

Dalam senario ini, kerajaan harus memperkenalkan satu caj pengangkutan minimum wajib (minimum mandatory freight charge), iaitu kadar sewa minimum berdasarkan berat dan jenis muatan, serta jarak perjalanan. Peraturan ini dapat mengelakkan tekanan yang terlampau daripada pihak penyewa dan persaingan yang tidak sihat dalam kalangan syarikat logistik.

Ini akan mewujudkan satu situasi lain di mana penyewa akan mengambil kira standard lain seperti keadaan layak dipandu di jalan raya (roadworthiness) bagi kenderaan, rekod kemalangan dan reputasi syarikat, apabila memilih syarikat pengangkutan.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Rani Rasiah, an Aliran member based in Sungai Siput, is coordinator of the Migrant Workers Right to Redress Coalition (MWR2R), a coalition comprising PSM, Tenaganita, MTUC, Sahabat Wanita, Jerit and AOHD. She is also a central committee member and migrant desk coordinator of the Socialist Party of Malaysia (PSM).
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x