Home Web Specials Tiga reformasi terpenting untuk Malaysia

Tiga reformasi terpenting untuk Malaysia

Reformasi diperlu untuk membendung masalah gaji untuk rakyat, brain drain dan tadbir urus

FILE PHOTO

Join us on Telegram and Instagram for the latest.

Oleh Wong Chen

Politik Malaysia ini seperti roller coaster.

Saya bertuah kerana dapat merasai masa sebagai ahli parlimen kerajaan dan juga sebagai ahli parlimen pembangkang. Rupa-rupanya tak banyak beza pun, nak jumpa menteri lebih kurang sama susah dan bila nak beri pandangan dasar-dasar reformasi, tiada yang betul-betul berminat untuk dengar pun.

Oleh itu, ucapan saya ini adalah ditujukan kepada semua. Dari berpuluh-puluh dasar reformasi yang penting, ucapan pendek saya ini hanya ada masa untuk tiga reformasi terpenting sahaja; iaitu gaji untuk rakyat, masalah brain drain dan akhir sekali tentang tadbir urus

1. Gaji untuk rakyat

Saya mulakan dengan isu gaji bagi golongan golongan 40% terbawah (B40) yang tidak naik-naik setiap tahun. Walau siapapun kerajaan, tetap tidak naik. Tak kira sama ada harga ayam naik atau tidak, gaji tetap tidak naik bagi golongan 40% terbawah.

Kita hidup di negara yang rakyatnya berbilang kaum dan agama. Our diversity, diberi penekanan yang kuat oleh semua orang politik.

Ada orang Cina yang kaya, tetapi terasa hidup mereka tidak adil sebagai second class citizen.

Ada jutawan India yang rasa dia dibuli sebagai third class citizen.

Ada pula golongan bumiputera elit yang sangat kaya tetapi kononnya hendak membela nasib nelayan dan petani yang miskin.

Sungguh hebat pendirian masing-masing, dan setiap pendirian ada pula elemen-elemen kebenaran dan elemen-elemen kelentong.

Tetapi apabila isu gaji minimum dikemukakan, tiba-tiba golongan elit, sama ada Melayu, Cina atau India secara ajaib dapat menonjolkan satu tahap muhibah yang hebat sekali. Golongan elit dari semua kaum bersatu padu menolak kenaikan gaji minimum.

Gaji minimum bukannya isu perkauman, tetapi isu morality, isu inequality dan isu penindasan kelas atasan terhadap yang miskin. Banyak yang mencadangkan, termasuk saya, supaya gaji minimum dinaikkan kepada kadar RM1,500 sebulan, namun saya tahu ini pun tidak mencukupi untuk satu keluarga.

Dengan tanggungan yang banyak dan kos sara hidup yang tinggi, gaji minimum haruslah sekurang-kurangnya dapat memberi pendapatan RM2,700 sebulan bagi setiap keluarga untuk menjalani kehidupan yang bermaruah.

Dari segi ekonomi, gaji minimum bukannya satu solusi jangka masa panjang, dan ia adalah satu jenis wage distortion. Kalau kita benar-benar hendak, dengan izin, market forces to set wages, maka kita perlu mereformasikan hak-hak pekerja supaya ia mencapai tahap ILO [Internasional Labour Organization] agar ia seimbang dengan hak-hak pelabur dan pemegang saham.

Dari segi impak kepada ekonomi pula, apabila gaji golongan 40% terbawah dinaikkan, 90% daripada wang ini akan kitar balik ke dalam ekonomi tempatan dan ini akan meningkatkan overall economic consumption.

Sebagai bandingan, sekiranya kerajaan cuma membuat dasar-dasar pro-business untuk memenuhi kehendak golongan elit, apa-apa peningkatan harta golongan elit akan keluar dari ekonomi tempatan melalui capital flight.

READ MORE:  Helen Mary Johnson: Komrad yang bersemangat kental dan komited

Oleh yang demikian, prinsip dasar untuk menaikkan gaji adalah sesuatu dasar, dengan izin, that is both morally correct and also good economics.

Adakah kerajaan dan majikan swasta berupaya menanggung kenaikan gaji golongan 40% terbawah? Jawapannya adalah boleh, tetapi ia haruslah dilakukan melalui kawalan berperingkat.

Dimanakah dana untuk membayar kenaikan gaji ini? Kita perlu menstruktur semula subsidi, bukan batal tetapi membuat konsolidasi dan menukarkan sebahagian subsidi kepada bantuan gaji minimum.

Pada masa kini, program-program subsidi kerajaan menelan kos RM52bn setahun. Malaysia mempunyai 2.6 juta keluarga dalam kategori golongan 40% terbawah; jika jumlah subsidi besar RM52bn ini dibahagikan sama rata kepada semua keluarga golongan ini, ianya bersamaan dengan bantuan RM1,600 sebulan kepada setiap keluarga dalam golongan 40% terbawah.

 Oleh itu, jika mana-mana kerajaan berpegang kepada alasan bahawa tidak cukup dana untuk menyelesaikan isu gaji minimum ini, kerajaan itu sebenarnya tidak bercakap benar. Dalam bahasa kelate, duit itu belanar.

Ada tak contoh kerajaan yang berjaya menaikkan gaji tanpa menjejaskan ekonomi? Ada. Kenaikan gaji minimum 7.6% setahun di Brazil pada masa pentadbiran Lula Inácio, telah berjaya menolong 10% penduduk Brazil, iaitu 20 juta rakyat Brazil keluar dari kemelut kemiskinan. Dasar ini juga diakui sebagai good economics oleh badan-badan kapitalis seperti Internasional Monetary Fund (IMF) dan World Bank.

Sebenarnya kita tidak perlu naikan gaji golongan 40% terbawah pada kadar seperti Brazil pun, tapi naik pada kadar Consumer Price Indeks (CPI) campur 2% atau 3% sudah memadai. Dasar ini juga perlu ada sunset clause, iaitu selepas lima ke 10 tahun, hak asasi pekerja dibawah piawaian ILO perlu mengambil alih dasar minimum. 

2. Brain drain

Saya menukar poin sekarang kepada dasar reformasi kedua iaitu masalah berkaitan brain drain. Malaysia memang mempunyai satu human development index yang baik, dengan markah 0.81, iaitu a very high level of human development.

Namun demikian, kenapa pula negara kita masih tidak dapat mengatasi the middle-income trap? Kenapa negara lain seperti Korea Selatan telah jauh melonjak depan ke taraf developed country tetapi Malaysia masih belum lagi?

Memang terdapat banyak faktor yang menyebabkan kemunduran ini. Bagi saya, faktor terbesar adalah disebabkan brain drain.

Setiap tahun, Malaysia dapat melahirkan graduan-graduan terbaik dari segi human development index tetapi ramai yang berpotensi dan berbakat ini pula mengambil keputusan untuk berpindah ke negara lain seperti Singapura.

Untuk membawa Malaysia ke tahap status fully developed seperti Singapura, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan, kita perlu ada dasar yang baik untuk memastikan majoriti besar pelajar-pelajar terbaik Malaysia memilih untuk bekerja dan berkhidmat di Malaysia.

READ MORE:  A poignant reflection on Workers’ Day

Apa dasar-dasar yang perlu dilakukan? Yang paling penting adalah peningkatan gaji. Kalau Singapura menawarkan gaji tiga ke lima kali ganda kepada graduan kita, graduan itu memang akan tertarik untuk berpindah ke Singapura.

Ya, memang ada graduan yang meninggalkan negara kerana isu politik, kebebasan dan hak asasi yang terbantut di Malaysia, sistem merit yang tidak adil antara kaum dan juga intra kaum.

Semua isu-isu politik seperti hak asasi dan merit boleh diselesaikan sekiranya ada azam politik untuk menegakkan keadilan sosial dan juga keadilan peribadi.

Pada perkiraan saya, yang berpindah ke negara lain oleh sebab politik dan isu merit ini hanya 30% sahaja.

Majoriti besar 70% bakat Malaysia yang berpindah adalah kerana isu asas iaitu gaji dan wang.

Pada perkiraan saya, terdapat lebih kurang 1.2 juta rakyat Malaysia yang telah berpindah dan bekerja di luar negara, majoriti mereka mempunyai ijazah dan bertaraf professional.

Kalau purata pendapatan mereka ialah RM15,000 sebulan ataupun duit Singapura $5,000 sebulan, dan ini adalah anggaran yang rendah dan konservatif, ekonomi dan GDP Malaysia telah kehilangan hasil dan daya produktiviti RM216bn setahun; dan pengutipan hasil cukai pendapatan peribadi juga telah lesap sebanyak RM54bn setahun.

Jadi apakah yang perlu dilakukan untuk menyekat brain drain? Kita boleh kurangkan kadar pemindahan ini sebanyak 30% jika kita amalkan sistem merit berdasarkan keperluan sosial tanpa mengira gender, kaum dan agama. Laksanakan hak asasi yang baik, jangan menindas dan buli golongan minoriti.

Kalau kita buat semua ini, mungkin 30% graduan yang tertarik untuk berkerja di negara lain akan tukar fikiran dan kekal di Malaysia.

Jadi yang lebihan 70% ini macam mana pula? Kita perlu pastikan gaji berpatutan. Bukan naik serta merta, tetapi ada prospek dan harapan gaji akan meningkat secara berterusan dalam jangka masa panjang.

Untuk ini berlaku, kita perlukan dasar perubahan yang besar kepada sistem ekonomi kita.

Ini membawa saya kepada poin terakhir saya, iaitu tentang ekonomi dan tadbir urus.

3. Tadbir urus

Ekonomi Malaysia mula memesat 40 tahun dahulu dan kadar eksport kita meningkat dan pengaliran foreign direct investment pun mantap, tetapi pada masa yang sama unsur-unsur crony capitalism dan rasuah juga berterusan.

Walaupun, selepas skandal 1MDB dan pilihan raya umum 2018, golongan elit maha kaya dari dua, tiga dekad dahulu telah kembali semula dan menjadi dalang ekonomi.

Nampaknya di Malaysia, masalah kroni, rasuah dan salah guna kuasa sudah menjadi satu budaya yang sangat liat untuk dihapuskan. Di arena politik pula, kita telah menyaksikan hujan katak-katak.

READ MORE:  Anti-worker minister should be removed from 'keluarga Malaysia' cabinet

Badan-badan yang sepatutnya bebas dari pengaruh politik pula jelas menonjolkan pengaruh rasuah dan salah guna kuasa. Jelas sekali, dengan izin, bad behaviour is prevalent beyond politics and is deep inside the entire system of government.

Dewan yang mulia ini masih boleh melakukan dua perkara untuk menyekat dan menawan budaya kroni dan rasuah.

Pertama ialah political financing reform perlu disokong oleh semua.

Ahli-ahli Parlimen juga boleh mengambil langkah permulaan untuk mengamalkan transparency penuh di dalam hal kewangan pejabat masing-masing. Janganlah sekadar membuat ucapan di dalam forum, keluarkan kenyataan media, masukan di dalam media sosial dan TikTok bahawa kamu menentang rasuah – semua itu baik tapi tidak cukup.

Kesemua ahli-ahli di dalam Dewan yang mulia ini patut menerbitkan akaun kewangan pejabat yang diaudit untuk diteliti rakyat.

Kalau nak terima duit dari kroni dan golongan elit atau anak-anak taikun, terbitkan fakta ini dalam akaun; biar satu dunia dapat lihat, dan selepas itu biar rakyat buat keputusan sama ada kita ini populis hipokrit atau benar-benar orang politik yang bersih.

Perkara kedua ialah mengenai rombakan sistem kerajaan yang kita guna pakai sekarang, iaitu pengasingan kuasa di antara Parlimen, eksekutif dan penghakiman.

Saya ingin mencadangkan kita mengkaji dengan lebih mendalam sistem yang diamalkan oleh Taiwan. Taiwan mempunyai modal kerajaan demokrasi yang mempunyai unsur-unsur Asian values dengan lima cabang kerajaan.

Untuk menambah baik Parlimen, eksekutif dan penghakiman, Taiwan ada dua lagi institusi yuan iaitu Yuan Pemeriksaan dan Yuan Kawalan.

Di Taiwan, Yuan Pemeriksaan berfungsi untuk memastikan kesemua penjawat awam mempunyai kelayakan, dan hal gaji, pangkat, latihan dan kebajikan adalah bebas dari kawalan orang politik untuk memastikan penjawat awam tidak disalah pengaruhi oleh kabinet atau eksekutif.

Yuan Kawalan pula diberi kuasa untuk kerja penyeliaan dan audit dan juga mempunyai kuasa menjaga hak asasi manusia melalui fungsi seakan-akan sistem ombudsman.

Hujah bahawa orang Asia tidak ada budaya demokrasi, suka authoritarian leadership, boleh terima budaya korupsi, adalah hujah-hujah yang salah.

Di rantau Asia, negara maju seperti Taiwan, Jepun dan Korea Selatan telah membuktikan bahawa Asian values adalah sesuai dengan sistem demokrasi, pendapatan tinggi, korupsi yang rendah, persaingan yang sihat dan paling penting sekali, kesejahteraan rakyat.

Kalau Dewan yang mulia ini boleh mengkaji, mengambil dan menyesuaikan struktur-struktur dan model kerajaan Taiwan ini, kita berpotensi untuk menghentikan rasuah dan salah guna kuasa serta meningkatkan tadbir urus yang baik.

Artikel ini dipetik dari ucapan di Parlimen oleh Wong Chen, Ahli Parlimen Subang

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:


The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x