Mujahid Yusof Rawa menyeru dan merayu supaya hak kitab suci agama lain termasuk penganut Kristian hendaklah dipelihara haknya kepada penganutnya.
Tahun baru 2014 seolah-olah tidak menjaminkan hubungan antara agama yang menjanjikan kedamaian hubungan dan hidup dalam keadan hormat menghormati antara satu sama lain. Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuannya ke atas premis Persatuan Bible Selangor hari ini (2 Januari) walaupun berasaskan Enakmen 1988 (Kawalan Penyebaran Agama kepada Orang Muslim) telah meninggalkan kesan yang berbekas dalam hubungan antara agama di negara ini. Sebanyak 300 naskhah injil telah dirampas menurut berita yang diterima.
Persoalan kebebasan agama yang termaktub dalam perlembagaan kita dengan mengambil kira Islam sebagai agama resmi Persekutuan seolah-olah tercemar dengan tindakan Jais dan mengisyaratkan sesuatu yang bercanggah dengan perintah dan firman Allah yang maksudnya “tiada kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa Rahmat ke Alam ini” (Al Anbiya: 107).
Hubungan Islam dengan bukan Islam adalah bersandarkan “Tiada paksaan dalam agama” (Baqarah: 256) dan itu adalah janji dan jaminan kerahmatan Islam kepada penganut agama lain termasuk hak memiliki kitab agama masing-masing. Oleh kerana itu apa saja tindakan yang bertentangan dengan prinsip ini dianggap mencemari nama baik Islam.
Maka dengan ini, saya menyeru supaya:
- Kuasa hendaklah digunakan dengan hikmah apatah lagi yang melibatkan prinsip hubungan antara agama yang telah jelas digariskan oleh Syariat Islam. Dalam hal ini memelihara prinsip Islam lebih utama dari segala perkiraan sentimen atau politik.
- Jika ada apa-apa bukti bahawa pihak tertentu menyebarkan atau menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam dengan menggunakan kalimah ‘allah’ maka pihak yang terlibat hendaklah diambil tindakan kerana menyalahi semangat kebebasan agama dengan mengambil kira Islam sebagai agama resmi Persekutuan. Hanya dengan tertera perkataan ‘allah’ dalam injil bukan alasan untuk mengambil tindakan tanpa bukti kukuh unsur penyebaran dan menggugat akidah Tauhid umat Islam.
- Merampas kitab suci penganut agama lain walaupun atas nama larangan menggunakan perkataan ‘allah’ perlu ditangani dengan hikmah dan teliti kerana ia akan memburukkan sifat Rahmat Islam kepada semua penganut beragama, antara lainnya ialah hak kebebasan beragama mereka.
- Memaksa orang lain dalam agama bukan bererti secara fizikal sahaja tetapi menentukan apa yang boleh dan tidak boleh ke atas agama lain juga adalah bentuk paksaan yang dilarang oleh Islam seperti perintah Allah: “Jika Tuhan mu mengkehendaki (wahai Muhaamd) nescaya akan beriman seluruh manusia di mukabumi ini, apakah engkau (wahai Muhammad) mahu memaksa orang sehingga mereka menjadi beriman?, Tiada jiwa yang boleh beriman melainkan dengan izin Allah lalu Allah jadikan azab pada mereka yang tidak beraqal” (Yunus: 99-100).
- Pihak Gereja juga perlu tampil menyatakan pendiriannya dengan tegas bahawa mereka tidak ada agenda tersembunyi yang boleh menjejaskan keharmonian kehidupan beragama di Malaysia bagi menghilangkan keraguan pihak tertentu yang mendakwa proses Kristianisasi sedang berlaku.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Atas alasan di atas, saya menyeru dan merayu supaya hak kitab suci agama lain termasuk penganut Kristian hendaklah dipelihara haknya kepada penganutnya, dan menjadi tanggungjawab otoriti agama Islam di Selangor memelihara prinsip ini seperti yang dituntut oleh Islam.
Dato’Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen untuk Parit Buntar
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme