Home Web Specials Undi18: Adakah rakyat sekali lagi dikhianati?

Undi18: Adakah rakyat sekali lagi dikhianati?

PN takut dengan kebangkitan dan kesedaran golongan muda akan menyebabkan pemerintahan mereka tidak akan bertahan lebih lama seperti yang diharapkan

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Undi kita telah dikhianati oleh Bersatu apabila parti tersebut memberontak terhadap kepimpinan gabungan yang dianggotainya, Pakatan Harapan dan meninggalkan gabungan tersebut. Sejurus selepas pemberontakan mereka, ianya telah mengakibatkan kejatuhan kerajaan yang diterajui oleh PH pada penghujung Februari 2020 yang lalu.

Bersatu seterusnya membentuk satu gabungan politiknya yang baru bernama Perikatan Nasional dan mengajak Barisan Nasional serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bersamanya membentuk sebuah kerajaan bagi mengambil-alih tampuk pemerintahan daripada PH pada awal Mac 2020.

Kerajaan pimpinan PN, hasil kerjasama BN dan GPS, yang dipimpin oleh Bersatu telah menarik balik beberapa siri pembaharuan yang telah dan sedang diusahakan oleh kerajaan sebelum ini. Undi kita sekali lagi dikhianati apabila kerajaan pimpinan PN ini memansuhkan rang undang-undang pindaan perlembagaan yang menghadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada hanya dua penggal, sejurus itu membenarkan seseorang pemimpin parti menjawat jawatan perdana menteri mengikut keselesaannya tanpa had.

Tidak lama kemudian, negara kita sekali lagi dikejutkan dengan satu lagi pengkhianatan apabila kerajaan pimpinan PN turut memansuhkan rang undang-undang pembentukan suruhanjaya bebas aduan dan salahlaku polis (IPCMC) tanpa sebarang alasan yang munasabah. Tujuan pembentukan IPCMC yang dirancang sebelum ini adalah untuk membentuk suatu mekanisme semak imbang terhadap polis yang turut meliputi aspek penambahbaikan, pemodenan organisasi dan pembaharuan menyeluruh terhadap pasukan keselamatan tersebut.

Baru-baru ini, kita dikejutkan sekali lagi dengan satu siri pengkhianatan apabila kerajaan pimpinan PN menunda perlaksanaan Undi18 kepada satu tarikh yang belum dapat ditentukan lagi, untuk dilaksanakan hanya dalam tahun 2022-2023.

Alasan yang diberikan oleh PN adalah kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak meempunyai cukup masa untuk merealisasikan perlaksanaan tersebut. Ini disebabkan oleh perintah darurat dan perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa yang turut menyebabkan perlaksanaan pendaftaran pengundi baru secara automatik juga tidak dapat dilaksanakan.

Persoalannya adalah, kenapa Undi18 hanya dapat dilaksanakan apabila pendaftaran pengundi baru secara automatik dapat dijalankan? Kenapa Undi18 tidak boleh dilaksanakan terlebih dahulu, sementara pendaftaran pengundi baru secara automatik boleh dilaksanakan kemudian? Kenapa ianya wajib dan perlu dilaksanakan serentak?

Kami berpendapat Undi18 tidak dapat dilaksanakan disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 itu hanya alasan remeh semata-mata. Kita dapat perhatikan selama ini PN tidak dapat menerima hakikat kebangkitan suara anak-anak muda yang telah menyedari betapa pentingnya politik dalam hidup mereka. Kesedaran golongan muda semakin rancak dalam keinginan mengetahui dengan lebih mendalam hal-hal berkaitan perlembagaan, pemerintahan, pembuatan dasar serta perkara-perkara yang berkenaan dengan hak asasi kemanusiaan, kebebasan bersuara dan sebagainya.

Apabila penangguhan Undi18 itu mula mendapat kecaman umum, kerajaan pimpinan PN mula berdolak-dalik dan menyalahkan SPR pula, kononnya mereka (PN) tidak mempengaruhi keputusan tersebut. Bersatu mendakwa “tidak dapat menerimanya” tetapi “tetap akur” dengan keputusan SPR. Sementara itu Pas pula mendakwa perlaksanaan Undi18 belum lagi sesuai di masa kini kerana kematangan golongan muda dalam politik belum lagi mencapai tahap yang menyakinkan.

Seterusnya, kerajaan pimpinan PN juga telah mengarahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan terhadap golongan muda dan beberapa pemimpin muda yang telah mengadakan bantahan terbuka baru-baru ini terhadap keputusan PN untuk menangguhkan perlaksanaan Undi18.

Hampir kesemua negara di Asia Tenggara telahpun meminda had umur mengundi rakyat mereka bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya apabila mereka telah mencapai umur 18. Ini bermakna kerajaan pimpinan PN masih memandang rendah akan kematangan muda-mudi negara kita ini – ataupun PN sebenarnya amat takut dengan kebangkitan dan kesedaran golongan muda yang mula menyerlah dalam hal-ehwal politik negara.

PN takut dengan kebangkitan dan kesedaran golongan muda akan menyebabkan pemerintahan mereka tidak akan bertahan lebih lama seperti yang diharapkan. Sebab itulah PN mengambil kesempatan daripada wabak Covid-19 ini untuk menangguhkan terus perlaksanaan Undi18 tersebut agar ianya hanya direalisasikan dalam setahun dua lagi.

Ketakutan PN juga jelas terbukti apabila kerajaan mengarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan agar menolak terus permohonan pendaftaran Ikatan Demokratik Perpaduan Malaysia (Muda) tanpa mengemukakan sebarang alasan bagi penolakan tersebut walaupun setelah jawatankuasa penaja Muda berjaya memenuhi semua permintaan jabatan pendaftaran  bagi membolehkan permohonannya memperoleh kelulusan.

Rakyat kita sudah berkali-kali dikhianati: satu demi satu kami menyaksikan pengkhianatan tersebut di depan mata. – whcheng18.wordpress.com

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Santana
Santana
15 Apr 2021 6.35am

Ada kah penafian PN hak mengundi golongan muda menutup peluang mereka menentukan bakal kerajaan yang akan terbentuk lepas GE15? Sungguh dari satu sudut ianya benar golongan muda harap jangan putus asa. Mereka masih boleh mempengaruhi GE15 dengan menyokong parti politik pembankang yang mereka percayai akan kembalikan hak mengundi mereka apabila meneng dalam GE15. Golongan muda wajar berganding bahu berkempen sekuat kuat bagi parti pembankang untuk mengajar kerajaan PN . Ayuh golongan muda bangkit untuk mengalahkan PN.

1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x