
Akui atau tidak, antara masalah pendidikan adalah disebabkan oleh jurang sosio-ekonomi yang wujud di Malaysia, ujar Farah Najihah.
“SPM 2016: GPN lebih baik, 8,647 calon dapat semua A.” Begitulah tertulisnya tajuk utama berita oleh portal Bernama berkenaan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2016.
Bagaimana kita mengukur kecemerlangan anak muda dalam pendidikan? Adakah sekadar menjadikan abjad A hingga F dan indeks Gred Purata Nasional (GPN) sebagai kayu pengukur?
Indikator pendidikan tidak seharusnya terhenti kepada penilaian angka semata-mata tanpa mengambil kira aspek lain yang menyumbang kepada kecemerlangan seseorang. Jika disingkap dengan lebih mendalam, saya melihat bahawa aspek sosio-ekonomi sering dipandang sepi oleh pihak yang bertanggungjawab dalam membuat penilaian.
Akui atau tidak, antara masalah pendidikan adalah disebabkan oleh jurang sosio-ekonomi yang wujud di Malaysia. Perbincangan tentang pendidikan tidak dapat dipisahkan dengan soal jurang sosio-ekonomi kerana kedua-dua aspek ini saling melengkapi.
Pendidikan penting bagi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara; sebaliknya keadaan ekonomi yang stabil membantu dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Masalah jurang sosio-ekonomi yang tidak diperhalusi dan diatasi akan merencatkan kualiti pendidikan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Memetik pendapat penganalisis dari Institute of Strategic and International Studies (ISIS), Dr Abdul Wahed Jalal dalam artikelnya yang bertajuk “Rethinking our education”, beliau melihat bahawa Malaysia terperangkap dalam lingkaran pendapatan sederhana.
Oleh itu, sebilangan rakyat di Malaysia kurang mampu untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak mereka. Pelajar dari sekolah-sekolah berprestasi rendah kebiasaannya berlatarkan keluarga yang berhadapan dengan keadaan sosio-ekonomi yang mencabar.
Lebih menyedihkan apabila ada antara mereka yang tidak dapat menghabiskan zaman persekolahan. Rangka Tindakan Pendidikan Nasional 2013-2025 melaporkan bahawa satu daripada lima pelajar di Malaysia tidak berjaya menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah.
Antara kesan kepada perkara ini adalah hasil lanjutan kitaran ganas kemiskinan yang menghantui sebahagian populasi di Malaysia. Mereka yang terperangkap dalam kitaran ganas kemiskinan ini beranggapan bahawa kegagalan dilihat sebagai sesuatu yang normal. Sesetengah ibu bapa mengambil sikap tidak ambil peduli terhadap perihal pembentukan masa hadapan anak-anak mereka.
Pengalaman saya ketika berkhidmat sebagai tenaga pengajar sambilan selepas waktu persekolahan di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang menimbulkan rasa yang tidak enak terhadap masa hadapan anak-anak muda yang berhadapan dengan situasi ini.
Beberapa pelajar Tingkatan Empat masih lagi tidak tahu membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris walhal mereka hanya mempunyai waktu yang singkat untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lebih menggusarkan apabila ada di antara mereka yang perlu bekerja usai waktu persekolahan untuk membantu menyara keluarga.
Sikap segelintir pihak yang menjadikan pendidikan sebagai ruang untuk mengaut keuntungan lebih memburukkan keadaan yang sedia ada.
Kita seharusnya sedar bahawa pendidikan tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan pelajar dalam subjek yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan semata-mata. Pendidikan secara adilnya mestilah bersifat holistik merangkumi literasi, pembangunan kendiri, pembentukan masa hadapan dan penjanaan nilai kritis dan kreatif.
Namun, sesetengah pihak melihat perkara ini sebagai alasan untuk menyediakan program pendidikan yang boleh membawa keuntungan yang lumayan kepada mereka. Hal ini menyebabkan ramai pelajar tidak mampu untuk melibatkan diri dalam program-program pendidikan yang sepatutnya boleh memberikan manfaat kepada mereka akibat kekangan kewangan.
Isu-isu yang dibincangkan di awal dan pertengahan artikel ini telah menarik perhatian organisasi bukan bermotifkan kerajaan dan untung di Malaysia. Sebagai contoh, Teach for Malaysia berusaha bersama Kementerian Pendidikan untuk menamatkan ketidakadilan pendidikan (education inequity) dengan memperkasakan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah berpretasi rendah melalui Rangka Tindakan Pendidikan Nasional sebagai garis panduan.
Agensi di bawah kerajaan negeri seperti Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang juga mempunyai aspirasi untuk mentransformasi Pulau Pinang kepada masyarakat yang lebih progresif melalui pembangunan belia. Pelbagai program disediakan oleh perbadanan ini meliputi aspek pembelajaran, sukan dan sebagainya dalam usaha untuk membangunkan belia.
Selain itu, kekangan kewangan menyebabkan kanak-kanak yang memerlukan dari kalangan etnik minoriti dan anak yatim tidak mampu untuk turut terlibat dalam kelas-kelas tuisyen komersial. Oleh itu, Teach for the Needs, sebuah pertubuhan oleh sekumpulan sukarelawan muda, berusaha untuk menyediakan akses percuma kepada pembelajaran akademik dan pendidikan sekolah rendah yang berkualiti.
Natijahnya, dalam usaha kita melahirkan masyarakat yang berpendidikan, perubahan terhadap penilaian harus dilakukan tanpa melupakan bahawa akses pendidikan perlu diperluas. Perihal sosio-ekonomi perlu diberikan penekanan dalam menilai keberkesanan sistem pendidikan di Malaysia.
Usaha-usaha organisasi bukan bermotifkan kerajaan dan untung setidak-tidaknya mampu untuk membuka ruang dalam memperbaiki sistem pendidikan serta mengalihkan pandangan pihak bertanggungjawab dan masyarakat kepada wacana baru mengenai pendidikan.
Akhir kata, saya ingin mengungkap kata-kata pemenang anugerah Nobel Keamanan, Malala Yousafzai, “One child, one teacher, one book, and one pen can change the world. Education is the only solution. Education first.”
Farah Najihah, seorang graduan politik sains di salah sebuah universiti di Pulau Pinang, telah mengambil bahagian dalam Bengkel Penulis Muda Aliran pada tahun lalu dan kini bekerja di Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC). Beliau percaya pada suatu masa kelak bayi dan kucing akan menguasai dunia.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme