ALIRAN
   Home   Aliran Monthly    Statements   Human Rights    NGOs   Links   Join Us   About Us
Undilah untuk Demokrasi
Aliran Monthly 2004:2

reformasi6 (10K)
Berjuanglah untuk demokrasi
Rakyat Malaysia akan membuang undi untuk kali yang kesebelas pada 21hb. Mac 2004. Sebanyak dua ratus dan sembilan belas kerusi Parlimen akan menjadi rebutan.

Sudah tentunya BN akan menang dalam pilihanraya yang bakal diadakan. Parti ini akan mencatat pretasi yang lebih baik dari pencapaiannya pada November 1999 apabila ia hanya meraih 56% undian popular tapi berjaya mengekalkan majoriti dua-pertiganya dalam Parlimen. Ini kerana sistem undian bercorak first-past-the-post (atau majoriti yang mudah). Ada beberapa faktor kenapa BN akan mencapai kemenangan yang lebih baik pada 21hb Mac 2004.

Menukar Peraturan dan Sempadan

Dengan majoriti dua-pertiganya dalam Parlimen yang lalu, pemerintah BN telah meluluskan pindaan terhadap Akta Pilihanraya dan Akta Salahlaku Pilihanraya pada April 2002. Pemerintah juga menambahkan kerusi baru serta menggaris semula sempadan kawasan pilihanraya pada 2003. Pindaan dan perubahan terhadap sempadan kawasan pilihanraya ini telah menguntungkan BN dan sebaliknya merugikan pihak pembangkang.

Antara pindaan yang dilakukan terhadap Akta Pilihanraya ini ialah, senarai pengundi yang telah digazetkan tidak boleh dipertikaikan dalam mana-mana mahkamah, walaupun jika ada pengundi hantu. Wang cagaran yang dikenakan terhadap calon pilihanraya telah dinaikkan kadarnya dari RM5,000 ke RM20,000. Kenaikan kadar ini tidak menjejaskan kedudukan kewangan parti komponen BN yang mempunyai aset antara lain seperti ibupejabat parti yang indah, empayar media, kolej dan universiti, dan pelbagai syarikat, disenarai dan tidak disenaraikan. Parti BN juga dibantu oleh jutawan dan kroni yang kaya raya. Bagi barisan pembangkang yang kurang berada itu, ini bermakna satu bebanan kewangan yang agak berat.

Mengikut satu pindaan terhadap Akta Salahlaku Pilihanraya, adalah menjadi satu kesalahan "jika bertindak atau membuat kenyataan yang bertujuan atau mempunyai kecenderungan untuk mengapi-apikan perasaan benci, tidak puas hati, atau bermusuh-musuhan antara individu dari keturunan yang sama atau berlainan atau dari kelas sosial yang sama atau berlainan�" (lihat AM Vol. 22 No. 3 untuk butir lanjutan). Peruntukan dalam pindaan Akta ini terlalu luas sekali hingga boleh menyebabkan kebanyakan kritikan terhadap pemerintah BN oleh pembangkang, yang bertujuan untuk menumpu kepada isu serius, boleh ditafsirkan sebagai satu kesalahan.

Seseorang itu akan tertanya-tanya bagaimana skandal dan kesalahan pemerintah, atau sebutan kroni, boleh dibangkitkan dalam keadaan begini. Adakah kritikan terhadap pengisytiharan BN bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam dianggap sebagai satu kesalahan pilihanraya? Bagaimana jika pihak pembangkang mengingatkan kita bahawa bekas perdana menteri Mahathir telah menyamakan Suqiu dengan pengganas?

Bagaimana dengan kritikan terhadap program Sekolah Wawasan BN dan juga prestasi BN yang buruk dari segi memberi peruntukan kepada sekolah rendah jenis kebangsaan? Bagaimana dengan kesengsaraan pekerja estet yang masih berlarutan? Bagaimana dengan kebanyakan kes belia India yang dianggap penjenayah dan ditembak? Dan bagaimana sekiranya pemimpin UMNO dikritik kerana melencong dari ajaran Islam mengenai kebenaran, keadilan dan kesaksamaan?

Dalam membangkitkan isu-isu ini, sesetengah orang di beberapa tempat di Malaysia sudah tentunya akan mengalami "perasaan benci, tidak puashati dan bermusuhan". Bagaimanakah hukuman dijatuhkan jika undang-undang itu dilanggar? Dalam pilihanraya 1999, terdapat BN-lah yang memanipulasi perasaan etnik.

Ada di antara iklannya yang amat provokatif: "Undi Pembangkang dan Anda Membuang Kebebasan Budaya Anda", "Jangan Biarkan Keganasan Menang", "Jangan Biarkan Anarki Menang" atau "DAP: Hapuskan Hak Melayu" yang membawa kita hujung sempadan huru-hara. Kami ingin bayangkan bagaimana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) cuba menangani pemarakan semangat etnik oleh BN. Apakah yang akan dilakukan oleh SPR ini terhadap iklan BN yang provokatif yang lazimnya disiarkan oleh media elektronik dan akhbar yang dimiliki atau dikawal oleh BN? Atau, adakah pindaan ini bertujuan untuk "membisukan" lagi parti-parti Pembangkang?

Kerja menggaris semula sempadan kawasan pilihanraya ditamatkan pada tahun 2003 dan ini menyebabkan kemunculan kerusi tambahan terutama sekali di kawasan bandar kecil di mana BN mencapai kejayaan besar pada tahun 1999. Tiada kerusi tambahan diketakkan di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah di mana Pas mencatat kejayaan yang amat besar. Sebaliknya, Sabah mendapat 5 kerusi tambahan, Johor 6, Selangor 5, Pahang 3 dan Pulau Pinang 2. Negeri-negeri ini merupakan tempat di mana BN mencapai kejayaan yang baik pada tahun 1999.

Lagipun, sempadan kawasan pilihanraya ini juga telah digariskan semula di negeri-negeri di utara Semenanjung di mana terdapat ramai penduduk Melayu, terutama sekali di Terengganu dan Kedah. Perubahan besar juga dilakukan terhadap sempadan kawasan pilihanraya di Perak. Perubahan ini, mengikut pakar, akan menguntungkan BN (lihat AM Vol. 23, No. 6).

ISA, Tahanan dan Kesalahan

Satu lagi sebab kenapa BN akan mencapai kejayaan berkait dengan penggunaan ISA, undang-undang keras lain serta mahkamah untuk membantutkan pembangkang sejak lima tahun yang lalu. Walaupun BN meraih kemenangan pilihanraya pada bulan November 1999, mood orang ramai berpihak kepada parti Pembangkang pada tahun 2000 dan 2001. Ini kerana prestasi PAS yang mengkagumkan di negeri di mana terdapat ramai bilangan orang Melayu yang akhirnya mencetuskan "tawanan" dewan negeri Kelantan dan Terengganu, dan juga pecahan 50-50 undian UMNO di negeri Kedah yang dulunya disifatkan sebagai kubu UMNO.

start_quote (1K) Vote for a Strong Opposition to act as a check on the Executive, and with a view towards developing a two-coalition or two-party system over the long term. end_quote (1K)
Walaupun Parti Keadilan hanya memenangi sedikit kerusi, ia berjaya mengikis kemenangan BN di kerusi pelbagai golongan etnik dari purata 60-70% pada tahun 1995 ke 55-60% pada tahun 1999. Hakikatnya ialah satu pertiga kerusi di semenanjung Malaysia telah dimenangi kurang dari 10% margin (lihat AM, Vol. 23, No. 6). Kemenangan Keadilan melawan BN di pilihanraya kecil Lunas, yang sebahagiannya disebabkan kerjasama dengan Suqiu, mengingatkan pihak pembangkang betapa sengitnya pilihanraya 1999 itu walaupun keputusannya ialah BN akhirnya menggondol majoriti dua pertiga di Parlimen.

Walau bagaimanapun, arus perubahan ini terbantut kemudiannya. Pertama, sebilangan dari pemimpin berkarisma Parti Keadilan dan pergerakan reformasi - Ezam Mohamed Nor, Tian Chua, Saari Sungib, Lokman Noor Adam, Dr Badrulamin Bahron, Hishamuddin Rais (dan pada suatu ketika Raja Petra dan Gobalakrishnan juga) telah ditahan di bawah ISA atas dakwaan yang kononnya mereka mengancam keselamatan negeri. Naib presiden Mohd Azmin Ali telah dibawa ke mahkamah dan akhir dijatuhkan hukuman 18 bulan penjara pada tahun 2001 kerana sumpah bohong. Timbalan Ketua Wanita Irene Fernandez juga telah dibawa ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan kerana didakwa bahawa beliau menerbitkan berita palsu. Ezam, ketua Pemuda, yang telah ditahan di bawah ISA, telah dibawa ke mahkamah atas dakwaan bahawa beliau telah membocori rahsia rasmi dan seterusnya dihukum penjara selama dua tahun. Walaupun Ezam, Azmin dan Fernandez sekarang diikat jamin dan memohon rayuan, mereka tidak dibenarkan bertanding dalam pilihanraya 2004 atas kesalahan tersebut.

Sekumpulan orang Malaysia, yang berkait dengan sayap Pemuda PAS, telah ditahan di bawah ISA kerana kononnya mereka terbabit dengan apa yang dipanggil Kumpulan Militan Malaysia (KMM), yang kononnya ada hubungkait dengan Jemaah Islamiyya yang dianggap proksi kepada al-Qaeda di Asia Tenggara. Dua belas dari tahanan ISA ini telah memulakan mogok lapar pada permulaan bulan Mac kerana memprotes penahanan yang dilanjutkan tanpa perbicaraan.

Sementara itu, rayuan Anwar Ibrahim untuk mempertikaikan hukuman yang dijatuhkan terhadap dirinya atas sebab rasuah dan hukuman penjara enam tahun yang dijatuhkan oleh Hakim Augustine Paul pada bulan April 1999, telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan, dan kemudian oleh Mahkamah Persekutuan. Rayuan Anwar berdasarkan pendedahan terhadap komplot, kelulusan bukti yang selektif, dan penolakan saksi utama peguambela oleh Hakim, tetapi kesemuanya ini ditolak oleh Mahkamah. Dalam hal ini, beberapa badan Malaysia dan antarabangsa, termasuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Persatuan Peguam Anarabangsa, Presiden Kesatuan Eropah, Amnesty International, Asia Watch, International Federation of Human Rights, dll. telah meluahkan kritikan mereka terhadap keputusan Mahkamah menolak rayuan Anwar, hukuman yang dijatuhkan ke atas Fernandez dan pemimpian Keadilan yang lain, dan penyalahgunaan ISA pada umumnya menahan pengkritik tanpa bicara. Adalah ketara bahawa Badan Kehakiman telah kehilangan kebebasannya dan tunduk kepada Badan Eksekutif.

Satu lagi gejala yang menghantui barisan pembangkang ialah kesulitan yang timbul dalam usaha untuk mencantumkan Parti Keadilan dan Parti Rakyat, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan ramai pemimpin yang ditahan di bawah ISA. Satu lagi faktor yang mengecewakan ialah apabila Pendaftar Persatuan (ROS) melengah-lengahkan dan enggan meluluskan cantuman itu walaupun cantuman ini akhirnya telah dipersetujui kedua-dua parti. Jadi, walaupun Parti Keadilan Rakyat yang baru telah dilancarkan pada bulan Ogos 2003, ia tidak boleh bertanding dalam pilihanraya 2004 sebagai sebuah parti. Nasibnya yang sama juga melanda Parti Sosialis Malaysia yang telah memohon pendaftaran kepada ROS sebelum pilihanraya 1999, dan masih lagi tidak berdaftar. Sebaliknya, Sarawak Progressive Democratic Party, sebuah parti yang berkait dengan BN dan parti serpihan SNAP, telah berjaya didaftarkan dalam jangkamasa yang singkat.

Peristiwa di atas menunjukkan bagaimana pemerintah BN telah menyalahgunakan kuasanya untuk membentuk semula proses pilihanraya, menahan dan menyalahkan pemimpin pembangkang yang berkaliber, dan membisa dan mengekang parti pembangkang untuk memastikan kemenangan BN yang berlarutan dalam pertandingan pilihanraya. Pilihanraya di Malaysia mungkin bebas pada tahap tertentu tetapi sudah tentunya tidak adil bagi pembangkang.

Perang Terhadap Keganasan

Arus perubahan juga menjejas pihak Pembangkang disebabkan dua faktor lain yang bukan dirancangkan oleh BN. Pertama, tragedi September 11, 2001, yang diikuti oleh pencerobohan AS terhadap Afghanistan dan Iraq, dan beberapa peristiwa pengeboman oleh golongan radikal Islam di Asia Tenggara. Disebabkan perkembangan ini, timbul keluh kesah, terutama sekali di kalangan orang bukan Islam, tentang Islam politik.

Di tengah-tengah perkembangan ini, Dr. Mahathir, dulunya perdana menteri - dengan sokongannya terhadap pencerobohan AS terhadap Iraq dari satu sudut, kutukan terhadap pencerobohan AS terhadap Iraq dari segi lain - telah menjelma sebagai wira Islam moderat dan juga pemimpin blok Selatan, di dalam dan luar negara.

Sebagai perbandingan, terdapat kebimbangan terhadap hubungan PAS dengan KMM, dan seterusnya JI, yang sekarang dipertanggungjawabkan terhadap pengeboman di Asia Tenggara. Walaupun tiada bukti tentang hubungan PAS ini, walau bagaimanapun perubahan mendadak iklim politik antarabangsa, keghairahan dengan faktor keganasan, kehilangan nyawa akibat dari pengeboman, dan penahanan ISA kesemuanya membawa kesan di Malaysia.

Ini telah mempertingkatkan lagi ketakutan terhadap hasrat PAS lebih-lebih lagi di kalangan orang bukan Islam. Keluh kesah ini membara kerana PAS telah menumpukan perhatiannya terhadap persoalan memperkenalkan undang-undang Hudud dan Qisas, dan pemerintahan bercorak Islam di Terengganu - dan bukan menangani dasar tidak demokratik dan tidak adil BN, serta memajukan bentuk pembangunan yang lebih adil sejak kemenangannya pada tahun 1999. Selain itu, media massa yang dimiliki atau dikawal oleh BN telah memaparkan secara sistematik PAS sebagai parti yang bersikap kurang adil terhadap golongan wanita, terlalu asyik dengan urusan mengasingkan jantina, membenteras apa yang dipanggil pakaian dan hiburan yang tidak bercorak Islam. Kekurangan bermusyawarah dan penolakan kritikan mengenai dasar-dasar ini lazimnya digembar-gemburkan hingga menjana imej bahawa PAS lebih bersifat kuku besi jika bandingkan dengan UMNO dan parti komponen BN lain. Kematian pemimpin PAS, Fadzil Noor, yang selalu dianggap sebagai senang diajak runding dan bersikap terbuka, dan penggantinya Abdul Hadi Awang, yang disifatkan sebagai memencilkan diri dan berfikiran tertutup, telah memperhebatkan lagi imej negatif PAS ini.

Di tengah-tengah perkembangan ini Democratic Action Party (DAP) yang berlandaskan etnik Cina akhirnya menarik diri dari Barisan Alternatif (BA). Jelaslah barisan pembangkang hari ini tidak sepadu dan BA juga tidak merupakan gabungan pelbagai etnik sepertimana ianya pada tahun 1999. Secara perbandingan, BN yang mempunyai 13 ahlinya mengekalkan barisan pelbagai etnik dan kelihatan berpadu. Kebanyakan dari perkelahian dalaman parti telah diatasi, atau sekurang-kurangnya buat ketika ini. Peralihan dari Dr Mahathir ke Abdullah Badawi, yang akan memimpin BN bertanding dalam pilihanraya 2004, telah juga meningkatkan imej parti itu di mata rakyat Malaysia.

Apa yang perlu kita ingat juga ialah tiga faktor penting: wang, kawalan media, dan penggunaan jentera kerajaan yang menguntungkan BN.

Menjangkaui UMNO lwn PAS, Menjangkaui Pilihanraya

Oleh itu, pilihanraya 2004 bukanlah mengenai usaha mengganti pemerintah. Dan juga bukan mengenai usaha untuk menidakkan majoriti dua pertiga BN. Bercanggah dengan pendapat ramai orang bukan Islam yang tidak begitu tertarik kepada UMNO dan takuti PAS, pilihanraya 2004 ini juga bukanlah satu pertandingan antara UMNO dan PAS. Pilihanraya ini sudah tentunya bukan antara "hantu yang kita ketahui" dan "hantu yang kita tidak ketahui". Kita akan jatuh ke dalam perangkap dan akhirnya memberi sokongan kepada pemerintah BN jika kita beranggapan bahawa pertandingan ini ialah bercorak "menang semua atau kalah".

Kita perlu membuat perkiraan semula. Sesungguhnya, pilihan kita bukan terhad kepada membuat pilihan antara UMNO dan PAS. Walaupun adanya kelemahan, parti pembangkang yang lain memerlukan sokongan kita. Jika kita membuang undi untuk membolehkan pemimpin Parti Rakyat, Parti Keadilan dan DAP masuk ke Parlimen dan dewan undangan negeri akan mempertingkatkan kualiti perdebatan dan juga kebolehan institusi ini berperanan sebagai satu mekanisme mengawal-imbang BN.

Terdapat juga ramai individu dalam PAS serta BN yang memerlukan sokongan kita. Ada di antara mereka yang menghadapi ancaman dari ketua mereka sendiri. Demi menjaga kepentingan kita bersama, adalah penting bagi kita membuang undi untuk memastikan individu seperti ini diberikan peluang untuk memasuki Parlimen.

Juga, ada di antara mereka dalam BN khususnya yang bukan sahaja tidak perlu kita perkirakan, malah mereka perlu di humban keluar dari Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, atau dikuarantinkan. Tetapi lebih dari itu, wujudnya arena politik bukan formal yang terkeluar dari politik kepartian dan pilihanraya. Rakyat biasa mempunyai banyak peluang untuk melibatkan diri dalam proses membuat keputusan mengenai isu yang mempunyai kesan terhadap kehidupan seharian dalam arena politik yang tiada hubungan dengan politik pilihanraya.

Arena pilihanraya formal ini jelas didominasi oleh gabungan BN. Ini menawarkan skop yang terhad bagi rakyat biasa untuk meluahkan pandangan, untuk bercanggahan pendapat dan untuk menyusun strategi, dan untuk melibatkan diri dalam proses membuat keputusan. Tetapi rakyat biasa seharusnya menuju ke arah politik demokrasi yang menjangkaui pilihanraya 2004, dan bertanyakan bagaimana penglibatan mereka dalam pilihanraya 2004 boleh memperluaskan ruang demokrasi. Pilihanraya ini bukanlah satu referendum tentang apa yang kita suka; ianya bukanlah satu jemputan untuk mengundi dan lantas berdiam diri. Pilihanraya ini ialah satu peluang untuk kita cuba membentuk satu persekitaran yang boleh meningkatkan lagi amalan demokrasi di negara ini.

Kepentingan pilihanraya umum 1999 ialah dua arena politik itu muncul bersama. Isu seperti rule of law, kebertanggungjawapan, pemansuhan undang-undang keras dan ISA, hak minoriti, pencemaran persekitaran, keadilan bagi semua, yang lazimnya ditekankan oleh pihak NGO dalam arena politik bukan formal telah mendapat tempat dalam arena politik yang formal pada tahun 1999. Ramai aktivis dan intelektual dari NGO dan organisasi lain juga melibatkan diri mereka dalam gabungan pembangkang pada tahun 1999, sama ada secara langsung atau tidak. BN juga telah menjadi lemah akibat dari dua krisis - krisis kewangan dan peristiwa Anwar - pada tahun 1999.

Salah satu hasil dari gabungan dua arena itu ialah pembaikan persekitaran bagi hak minority dan kaum wanita. Sesungguhnya, usaha membanteras rasuah masa kini boleh dikaitkan dengan persekitaran yang muncul pada tahun 1999.

Pada tahun 2004 tiada percantuman yang wujud. Hasilnya adalah jelas, majoriti dua pertiga BN hampir terjamin. Rakyat, yang selama ini dimaki hamun, dimarahi, berasa lega dengan stail yang sunyi sepi dan bersopan. Mereka suka apa yang mereka lihat setakat ini mengenai usaha anti-rasuah, usaha yang kononnya membanteras keganasan polis, usaha untuk membantutkan sebilangan projek mega. Tetapi kita tidak boleh menerima bulat-bulat bahawa arah ke hadapan ialah memberi kemenangan yang besar kepada BN, malah teruk lagi sasaran mereka untuk mencapai "sifar pembangkang". Sebaliknya, ada eloknya kita memberi petanda kelulusan dengan menunjukkan ketidaklulusan kita, dengan menghantar mesej jelas tentang "anti-rasuah, ya; pusing balik, tidak".

Akhir sekali, adalah lebih baik kita meluahkan keinginan kita dengan membentuk Parlimen supaya kita mendapat ruang demokrasi yang paling luas, dengan memastikan wujudnya pembangkang yang kuat. Jika kurang dari itu, kita akan memberi mesej yang salah kepada parti yang selama ini telah menunjukkan keupayaannya untuk meraih lebih banyak kuasa bagi kepentingannya jika diberikan peluang untuk berbuat demikian.

Oleh itu kami menggesa semua rakyat Malaysia, untuk:

Undi untuk Pembangkang Yang Kuat bagi mengawal-imbang Badan Eksekutif, dan dengan tujuan membina sistem dua parti jangkamasa yang panjang. Pilihan antara dua parti adalah norma di beberapa Negara, baik negara membangun seperti Jamaica, Guyana dan India mau pun negara maju seperti Britain, Amerika Syarikat, Austrialia dan Kanada. Sudah terdapat perkembangan yang jelas yang menuju ke arah kuasa bertukar ganti melalui sistem pilihanraya pelbagai parti di negara jiran ASEAN seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Undilah juga Semua Calon, tanpa mengira parti, yang membantu memantapkan demokrasi. Memantapkan demokrasi di sini bermakna pemansuhan kesemua undang-undang keras dan pemulihan rule of law, berunding dengan rakyat antara dua pilihanraya, dan dipertanggungjawabkan. Juga undilah media massa yang bebas dan bertanggungjawab. Tolak kawalan parti politik terhadap media massa.

Undilah mereka yang benar-benar memajukan dialog dan kerjasama antara kaum. Ini bermakna mengiktiraf hak masing-masing untuk mengamal dan mempromosi bahasa, budaya dan agama kita, dan tanggungjawab menghormati dan bekerjasama dengan mereka yang mempunyai bahasa, budaya dan agama lain. Tolaklah mereka yang memanipulasi sentimen kaum dan cuba memecah-belahkan kita berdasarkan kaum dan agama.

Undilah juga pengagihan kekayaan negara yang lebih demokratik dan saksama kepada semua tanpa mengira latarbelakang kaum. Hentikan semua kronisme. Jika kita mahu menghapuskan rasuah, Badan Pencegah Rasuah perlu bertaraf bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan PM. Pembangkang yang lebih kuat akan memastikan Parlimen menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan. Akhirnya ujian yang sebenarnya peperangan terhadap rasuah ialah apabila ikan jerung didakwa ke mahkamah.

Akhir sekali, demokrasi mesti diperjuangkan menjangkaui pilihanraya umum 2004. Kita mesti mempromosikan penglibatan rakyat biasa seluas mungkin dalam hal membuat keputusan tentang isu yang mendatangkan kesan kepada kehidupan harian mereka. Kita tidak boleh membiarkan tugas ini kepada parti politik, tentunya bukan BN.

Now e-mail us and tell us what you think. Your comments might be published in the Letters section of our print magazine, Aliran Monthly.

Alternatively, post your comments to the message board.